PBS Baru Ringankan Guru
KUALA LUMPUR - Sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bentuk baharu setelah melalui proses penambahbaikan akan meringankan beban dan tugas guru di sekolah, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.
Katanya sistem itu sedang melalui proses kajian dan penambahbaikan yang dijangka selesai antara dua hingga tiga minggu lagi sebelum dapat dilaksanakan semula.
"Merujuk kepada respons yang kita terima, banyak yang menyatakan bahawa ia membebankan tugas guru selain ada isu-isu tentang teknologi maklumat (ICT) (dari segi) connectivity dan accessibility.
"Semua perkara ini sedang dilihat secara menyeluruh dan kajian yang dilakukan mengambil kira pendapat dan pandangan semua pihak," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan wacana pada majlis Siri Wacana Fikrah Ummah: Ulul Albab dalam Pembangunan Pendidikan Negara, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kajian PBS selepas pelaksanaannya di sekolah ditangguhkan bagi kajian semula seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Sistem itu yang merupakan transformasi daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik, didakwa membebankan guru ekoran sering tergendala menyebabkan data pelajar terpaksa dimasukkan pada lewat malam.
Idris berkata PBS merupakan satu sistem yang amat baik namun menghadapi kesulitan dari segi pelaksanaannya sahaja yang perlu ditambahbaik.
Dalam pada itu, beliau berkata kementerian telah melaksanakan program pendidikan Ulul Albab di tiga buah sekolah menengah iaitu di Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur pada tahun ini.
Katanya sekolah-sekolah tersebut kini telah mengguna pakai model pembelajaran Ulul Albab yang mengintegrasikan pendidikan sedia ada iaitu sains tulen dengan program aliran agama termasuk tahfiz al-Quran.
"Ini model yang digunakan di sekolah-sekolah Imtiaz di Terengganu sejak tahun 1999 dan dikembangkan di Maktab Rendah Sains Mara pada 2009 yang memberi fokus kepada pembangunan akademik dan rohani selain meningkatkan pemikiran aras tinggi para pelajar," katanya.
Katanya kerajaan berharap dapat menerapkan model itu di sebuah sekolah di setiap negeri pada tahun hadapan bagi memberi peluang lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada model itu. - Bernama
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
No comments:
Post a Comment