Hafiz Yatim
3:37PM Okt 2 2013
Masih ada individu dalam Khazanah Nasional Bhd yang dibenarkan untuk menggunakan kad caj korporatnya, walau gagal mengisytihar perbelanjaannya sejak bulan-bulan terdahulu.
Ia menyebabkan jumlah perbelanjaan tidak dikenalpasti yang tertunggak sebanyak RM1.26 juta bagi kad yang dikeluarkan untuk Khazanah – jumlah paling tinggi dalam tempoh empat tahun.
Ia melibatkan tertunggak melebihi satu bulan – RM487,317, jumlah RM291,000 untuk tempoh dua bulan dan juga sebanyak RM485,187 bagi tempoh dua hingga enam bulan.
Pada 2009, jumlah tertunggak adalah RM610,902; turun kepada jumlah RM270,330 pada 2010 dan kemudiannya meningkat semula kepada RM726,462 pada 2011.
Laporan audit menyebut, komunikasi kewangan bertarikh 1 Jun 2006 menunjukkan bahawa kad caj American Express yang dikeluarkan kepada pengarah dan ketua eksekutif Khazanah.
Sehingga 4 Disember 2012, sebanyak 106 kad caj dikeluarkan oleh Khazanah tanpa had penggunaan.
Laporan itu juga menyebut bahawa pengguna kad caj tersebut diingatkan supaya menyediakan analisis ke atas perbelanjaan bulanan, mengemukakan resit untuk mengesahkan perbelanjaan, dan mendapatkan kelulusan ketua jabatan
“Sekiranya perbelanjaan tidak diluluskan, bayaran akan dituntut daripada pemegang kad melalui pembayaran cek atau potongan gaji.
“Semua pemegang kad kredit AMEX dikehendaki menyediakan analisis tersebut dalam tempoh satu bulan dari tarikh penyata AMEX dikeluarkan.
“Kegagalan menyediakan analisis dan mengisytiharkan perbelanjaan kad kredit sebanyak 3 kali boleh menyebabkan kemudahan kad kredit kepada individu berkenaan dibatalkan,” laporan itu dipetik.
Audit juga mendapati terdapat kakitangan Khazanah yang gagal me mengemukakan atau mengisytihar perbelanjaan bulanan mereka, menyebabkan bayaran sebanyak RM1.26 juta untuk untuk kad caj tersebut masih tertunggak.
Khazanah dalam penjelasannya pula menyebut, baki berkenaan telah dilangsaikan walau kakitangan tersebut tidak mengisytihar perbelanjaan mereka.
Khazanah juga menjelaskan, satu audit dalam dijalankan ke atas tuntutan perbelanjaan terbabit di antara 2011 hingga 2013, dan kegagalan individu tersebut untuk mengemukakan senarai perbelanjaan mereka juga dibincangkan.
No comments:
Post a Comment