Ramai bersetuju bahawa demam pilihan raya sudah bermula ke Malaysia. Lawatan Pengerusi BN, Najib Razak ke seluruh negara berkempen masuk bakul sendiri, mencemuh pembangkang, dengan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, semakin rancak. Timbalannya, Muhyiddin Yassin turut memperlengkap misi sambil memperbetul kedudukan BN yang memang goyah difahamkan budaya cah keting juga berjalan di peringkat tertinggi Umno terus merebak.
Najib umumnya sudah ketakutan peringkat gaban dan meraban cuba pastikan mengelak daripada menjadi PM terakhir daripada Umno, dengan menggunakan apa juga kaedah, jentera yang ada tak kira jentera UMNO atau jentera Kerajaan serta segala kemudahan, tanpa mempedulikan kos yang bakal dihanguskan. Sentuhannya kerap tidak menjadi, malah bermacam-macam slogan muluk ciptaannya memakan diri dan ujudkan mimpi ngeri.
Semasa parti-parti komponen BN, terutama MCA, Gerakan dan MIC terkial memperbaiki imej, hubungan Umno dengan rakyat nampak semakin longgar. Sokongan akar umbi, termasuk di desa dan kampung-kampung dilihat merosot. Kenaikan harga barangan keperluan asas begitu menjerut leher golongan kebanyakan. Jurang maklumat yang menguntungkan BN selama ini berjaya didekatkan.
Projek-projek mega yang diumumkan Najib menaikkan lagi kemarahan orang ramai, apatah lagi dengan kisah sensasi isterinya Rosmah Mansor; terkini dengan cincin berlian RM24.4 juta dan sebelumnya dengan cerita penguasaan melampau Rosmah ke atas pentadbiran kerajaan. Rosmah umpama duri dalam daging yang paling sukar ditangani PM!
Apa pun, tanpa meremehkan persiapan pilihan raya di bandar-bandar besar, yang membabitkan kelas menengah Melayu dan masyarakat Tionghua, tumpuan gerakerja Pakatan tidak dapat lari daripada mendekati dengan lebih jujur dan akrab komuniti kampung-kampung tradisi. Sensitiviti dan aspirasi mereka mungkin berbeza. Kesedaran berpolitik masih menjadi isu besar.
Ada pandangan popular Parlimen akan dibubarkan pada Oktober depan. Sekurang-kurangnya untuk mengesan kelemahan jentera pilihan raya Pakatan, elok tarikh itu disandarkan bagi menilai keberkesanan persiapan. Dengan jangkaan tempoh kempen akan disingkatkan (ingat tuntutan Bersih agar 21 hari diberikan), fokus patut diberikan di kawasan yang memerlukan masa lebih lama untuk menemui pengundi.
Dalam pada itu, saya bersetuju dengan pandangan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bahawa isu sebenar berkaitan himpunan Bersih 2.0 dan riuh-rendah serangan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah kepercayaan rakyat. Saya sering membangkitkan peruntukan Perkara 114(2) Perlembagaan yang mengkehendaki Yang di-Pertuan Agong membantu SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM.
"Itulah sebabnya yang sebenar, bukan soal dakwat kekal atau biometrik. Isunya adalah kepercayaan kepada SPR," kata Saifuddin. Jika SPR menggunakan teknologi apa sekalipun, tambahnya, selagi masalah kepercayaan terhadap suruhanjaya itu belum diatasi, ia tetap tidak akan dipercayai.
Lebih memburukkan imej SPR apabila Timbalan Pengerusinya, Wan Ahmad Wan Omar dikatakan antara orang paling dipercayai Najib, yang diamanah menjalankan "misi sulit", dengan sokongan pelbagai kemudahan, bagi memenangkan BN dalam PRU13. Tindak-tanduk Wan Ahmad menguatkan lagi syak itu.
Kepercayaan awam kepada SPR, apatah lagi bagi parti-parti pembangkang, yang sedia tercalar, kini hampir musnah. Kita amat mengharapkan YDP Agong dapat menggunakan kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan untuk menjernihkan keadaan. Keanggotaan SPR mesti dirombak dan dibarisi tokoh-tokoh yang diyakini rakyat.
Lutfi Detkdaily secara peribadi, membayangkan Pakatan dalam "kedudukan terburuk" agar penambahbaikan dapat dilakukan sebelum terlambat. Saya turut perhatikan selama ini pemimpin DAP jarang melahirkan optimisme mereka menjelang pilihan raya. Ternyata mereka begitu berhati-hati sekali.
Namun, pendirian terbaru Lim Kit Siang cukup menarik: "... saya akan katakan buat pertama kali, mengambil-alih kuasa kerajaan pusat, bukan lagi mustahil, ia boleh dicapai."
Dalam wawancara dengan Malaysiakini, beliau yang aktif berpolitik sejak 1969 menekankan: "Nampaknya PM dan kerajaan sekarang gagal melihat dan menyelami kehendak rakyat... Makin hari mereka makin terpisah, (kerajaan pula) mengambil tindakan yang memutuskan mereka daripada sokongan akar umbi."
Selain isu kos hidup yang terus meningkat, juga keberanian rakyat dalam himpunan Bersih 9 Julai, dan gelagat "Wanita Pertama" Rosmah yang memburukkan lagi persepsi terhadap Najib, Sdr Lutfiumumnya memperhatikan kematian Teoh Beng Hock tetap menjadi isu besar dalam kempen PRU13 nanti.
Malah, jika diteliti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD), jelas sekali imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada pada kedudukan hampir sama dengan SPR. Sekadar membelek sambil lalu laporan tersebut umumnya sudah dapat merumuskan bahawa banyak sekali penyelewengan dan salahguna kuasa pegawai SPRM yang terbabit.
SPR dan SPRM, dalam aspek tertentu, tidak lebih daripada satu lagi perkakas Umno-BN untuk mengekalkan kuasa. Personaliti keji Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim bersama dua lagi pegawainya yang terbabit secara langsung dalam siasatan terhadap Beng Hock membayangkan hubungan istimewa mereka dengan aktor-aktor politik, sekali gus menguatkan lagi dakwaan bahawa ia selari dengan usaha BN merampas Selangor.
Memetik perenggan 176, laporan SSD itu: "Kami mendapat bahawa dia (Hishamuddin) seorang yang angkuh, bercakap bohong, tidak jujur dan tidak akan bertolak ansur ..." Tentulah ada sesuatu yang menarik untuk dibongkar apabila beliau dilihat mempunyai imuniti dan kuasa tidak terbatas.
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment