Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin

pasbs2

pasbs2

pasbs baner

pasbs baner

Thursday, May 27, 2010

BANK ISLAM - JANGAN KEJAM

Saudara Pengarang,

Saya seorang pengguna pinjaman peribadi di Bank Islam Berhad berasa sangat sedih di atas layanan yang tiada tolak ansur dengan semangat Islam di dalam menyelesaikan masalah hutang tidak berbayar saya kepada mereka. Untuk pengetahuan pembaca, saya tidak mempunyai pekerjaan sejak tahun 2007.

Saya membuat pinjaman Al-Bainah di sebuah cawangan Bank Islam di Gombak pada tahun 2002 selama 7 tahun untuk mendapatkan wang sebanyak RM10,000. Jumlah keuntungan yang dikenakan ke atas pinjaman saya ialah sebanyak RM4,400 dan menjadikan jumlah pembiayaan sebanyak RM14,400 yang perlu habis dibayar sebanyak RM177 selama 84 bulan.

Sehingga hari ini baki yang belum berbayar ialah RM2,900 dan tempoh bulan pembiayaan perlu dibayar sudahpun tamat pada hujung tahun lepas. Jika dikira di sini, jumlah asal atau prinsipal pinjaman sebanyak RM10,000 sudah pun dibayar dan mereka sudah pun mengutip sebanyak RM1,500 kadar keuntungan daripada pinjaman tersebut. Dengan kata lain, baki RM2,900 boleh dikira sebagai baki kadar keuntungan mereka.

Kadar keuntungan inilah yang saya minta kurang kerana ia lebih baik lagi kepada Bank Islam supaya dapat memberikan satu jumlah akhir yang disifatkan menang-menang antara kedua-dua pihak. Saya tidak saja bertanggungjawab membayar RM14,400 tersebut tetapi juga perlu membayar kos guaman RM400 hanya setakat untuk surat peguam kepada saya. Bila peminjam sudah susah hendak bayar hutang ditambah lagi dengan kekejaman kos guaman pula.

Namun begitu, yang menjadikan saya yang perit menghadapinya ialah pihak Bank Islam tidak bertanggungjawab di dalam etika mengutip hutang baki tersebut. Mereka menggunakan agensi kutipan hutang luar yang kononnya bila menelefon kami mengatakan bahawa mereka adalah staf Bank Islam. Saya tidak kisah kalau mereka menghubungi saya untuk meminta saya membayar hutang tetapi mereka juga menelefon orang tua saya di kampung. Mereka menggunakan apa-apa cara sahaja sebagai ’Along’ di dalam perniagaan yang halal mengikut undang-undang dengan memaksa orang bukan peminjam asal membuat bayaran kepada Bank Islam sebagai ganti.

Dalam kes ini, ’Along Bank’ ini memaksa bapa saya yang berumur lebih 70 tahun untuk tolong membayar bagi pihak saya TANPA pengetahuan saya. Sebagai seorang bapa yang kasihankan anak yang susah kerana tiada pekerjaan walaupun anaknya mempunyai ijazah lanjutan dan sukar mendapat pekerjaan, pastinya seorang bapa mithali sedia melakukan apa saja untuk anaknya. Termasuklah berulang setiap bulan dengan menaiki motor sejauh 20 kilometer ke Bank Islam berhampiran untuk membuat bayaran bulanan baki pinjaman saya.

Sebelum itu, saya sudah pun memberitahu agen berkenaan dan pihak retail collection bank bahawa saya tidak mampu membuat bayaran bulanan sejumlah itu sejak tahun 2008. Mereka mengetahui nombor telefon saya tetapi tetap mengganggu ibu bapa setiap bulan untuk membuat bayaran di Bank Islam. Jika mengikut undang-undang, jika gagal mendapat kerjasama saya sekali pun, mereka tidak dibenarkan mendedahkan maklumat begini kepada individu-individu lain. Jika masih gagal hubungi saya atau tidak mendapat jalan penyelesaian masalah ini, pihak Bank perlu membawa kes ini ke mahkamah. Yang menghairankan, agen berkenaan menyuruh bapa saya menelefonnya jika sudah membuat pembayaran di kaunter bank. Bukankah jika benar dia staf dari bank Islam, sewajarnya dia boleh memeriksa akaun secara online saja.

Sungguhpun begitu, saya merasa amat tertekan dengan sebuah bank bernama Islam yang Islam pada nama dan pinjaman sahaja tetapi tidak pada ruh dan penyelesaian hutang Islam yang terbaik. Saya sejak tahun 2008 sudah pun memberitahu pihak bank saya tidak mampu membayar sejumlah RM177 lagi setiap bulan dan hanya mampu membayar RM50 sehinggalah keadaan kewangan dan kerjaya saya menjadi stabil. Bukan sahaja hutang Bank Islam sahaja, saya juga mempunyai banyak lagi komitmen pinjaman di bank lain yang perlu dirunding.Tetapi pihak Bank Islam di Bahagian Kutipan Hutang di Maju Junction tidak mengendahkan keadaan dan rayuan saya. Maklumlah semua perbualan ketika itu hanyalah melalui perbualan telefon. Akhirnya, mereka meneruskannya dengan agen kutipan hutang.

Sekali lagi saya tegaskan, apa yang berlaku antara bapa saya dan agen along Bank Islam itu tidak diketahui oleh saya. Ibu bapa saya juga tidak mahu memaklumkan kepada saya kerana bimbangkan saya yang terawang-awang mencari rezeki di Kuala Lumpur. Namun, akhirnya terbongkar juga setelah saya dapat tahu bapa saya sudah pun membayar pinjaman bulanan sehingga jumlah hampir RM2,000 (Akaun saya menjadi hutang tidak berbayar ketika bakinya RM5,000 pada tahun 2008).

Dengan rasa kecewa dan marah setelah mengetahuinya, saya pun menulis surat kepada Bank Islam di Maju Junction untuk mendapatkan pengecualian daripada baki hutang yang tertunggak iaitu jumlah keuntungan mereka daripada pinjaman saya yang bukan lagi jumlah prinsipal. Ini kerana saya mendakwa pihak Bank Islam telah melanggar undang-undang prosedur pinjaman kerana menggunakan orang lain iaitu bapa saya membuat janji dan membayar hutang bulanan saya. Bagi saya sudah banyak kerosakan yang telah dibuat oleh tindakan agen Bank Islam kepada hubungan keluarga saya dengan gara-gara pinjaman kecil ini. Pihak agen kutipan Bank Islam sangat-sangat tidak bertanggungjawab kerana memikirkan komisyen mereka sahaja semasa mengutip hutang saya tanpa memikirkan undang-undang dan kemanusiaan.

Di dalam surat tersebut, saya juga merayu supaya pihak bank memberikan satu bentuk penyelesaian untuk kebaikan kedua-dua pihak supaya kes NPL ini dapat ditutup memandangkan pihak Bank sesungguhnya semakin hari semakin bertambah akaun NPL untuk dikendalikan. Bukan itu sahaja, tujuan saya menulis surat tersebut juga adalah kerana sebagai pra-syarat sebelum saya membuat laporan rasmi kepada Biro Pengantaraan Kewangan di Bank Negara Malaysia mengenai tindakan seperti Along ini. Jika pihak Bank gagal menyelesaikan kesilapan mereka dengan rasa hormat dan bertanggungjawab kerana mengganggu keluarga saya seperti Along selepas surat itu, barulah pihak Biro Pengantaraan Kewangan boleh dihubungi dan mungkin boleh mengambil tindakan.

Saya tahu bank-bank yang lain yang kebanyakan bank-bank konvensional yang pernah saya hadapi masalah gagal membayar hutang sebelum ini, mereka memberikan jumlah penjelasan akhir yang amat berpatutan walaupun hanya untuk mengutip semula wang prinsipal pinjaman mereka sahaja. Malah, ada beberapa bank seperti Maybank yang mencadangkan sejumlah penjelasan akhir yang kurang daripada prinsipal atau mengutip sejumlah had kad kredit yang diberikan kepada saya. Ini kerana sudah mengira kutipan faedah untuk bulan-bulan lepas untuk memperolehi prinsipal mereka semula. Jika bank konvensional boleh bertolak ansur sedemikian, mengapa tidak sesebuah bank berjenama ’ISLAM” manjadi sedemikian?

Saya layak diberikan pertimbangan oleh pihak Bank kerana saya seorang Islam yang miskin yang inginkan jasa baik dan kemurahan roh seorang Islam yang lain yakni Bank Islam. Itulah pandangan tentang Islam yang saya pernah harapkan dan yakini dahulu apabila berurusan dengan Bank Islam Berhad dan bukannya dengan bank-bank lain. Saya bukannya meminta terjadinya sebegini sehingga menjadi miskin bandar tetapi keadaan sudah tidak dapat dielakkan setelah kontrak bekerja terpaksa dihentikan pada tahun 2007 kerana kegawatan ekonomi. Dengan umur yang meningkat, susah pula hendak mendapatkan pekerjaan baru.

Bagi saya Islam bukan saja dari bentuk prosedur dan cara tetapi juga keseluruhan aktiviti serta rohnya perlu dibentuk dengan nilai-nilai Islam. Saya menggunakan unsur teguran secara lisan sebelum ini kepada Bank Islam dan sekarang bertulis untuk memperingati pihak bank Islam sebelum nama baik Islam dipermain-mainkan.

Akhirnya, selepas sebulan saya menghantar surat 4 muka surat kepada Bank Islam mengenai rintihan, rayuan dan kemarahan keadaan ini, mereka menjawabnya dengan sehelai surat yang memaklumkan bahawa mereka tidak akan bertolak ansur di dalam memberikan pengurangan sama sekali ke atas baki pinjaman dan malah tidak memohon maaf di atas sikap Bank dan agen kutipannya di dalam masalah ini yang mengganggu ibu bapa saya.

Tujuan saya menulis surat ini melalui KL-Today.com adalah untuk memaklumkan kepada semua pembaca bahawa di Bank Islam Malaysia Bhd memang banyak masalah begini dan memalukan. Pinjaman dan prosedur pemberiannya sahaja berlandaskan Syariah tetapi tidak pada semangat dan rohnya jika berhadapan dengan para peminjam yang bermasalah seperti saya. Saya juga mengetahui ramai pekerja di Bank Islam yang berhenti kerja dan bekerja di bank lain kerana merasakan sesuatu yang tidak kena dengan keIslaman bank tersebut dalam serba-serbinya.

Rasanya bank-bank Islam yang lain di Malaysia mungkin berhadapan masalah yang saya alami di sini dengan lebih baik, profesional dan lebih Islamik. Sebagai seorang Islam yang mempunyai hak bersuara di negara demokratik ini, saya mengesyorkan orang ramai supaya berurusan dengan bank-bank Islam yang lain jika ingin membuat urusan pinjaman. Untuk mengetahui banyak lagi kekejaman orang Islam di Bank Islam Bhd ini, silalah mencari saja melalui Google.com. Terlalu banyak laporan dan keluhan yang dibuat mereka melalui Internet.

Di dalam kes saya ini, saya akan terus berjuang dan membawa kes ini sehinggalah kepada Menteri Kewangan jika boleh. Bukannya sebab RM2900 itu tetapi untuk menegakkan kebenaran agar orang Islam jangan menggunakan agama untuk menzalimi orang Islam yang lain. Walaupun keluarga saya sanggup memberi pinjam kepada saya dahulu RM2900 untuk membayar sekaligus hutang tersebut, tetapi saya tetap mahu berjuang demi mengelakkan mereka ini yang menggunakan cara memeras Yahudi di dalam menjalankan perniagaan berteraskan Islam. Jika bank-bank yang mengamalkan konvensional pun ada kalanya boleh bertolak ansur di dalam menyelesaikan baki hutang dengan mereka untuk kebaikan kedua-dua pihak, mengapa tidak pula Bank Islam Bhd?Menghairankan ialah mengapakah Bank Islam sanggup membayar sedikit sebahagian daripada baki pinjaman ini kepada agen pengutip hutang mereka? Bukankah lebih baik mereka memberi diskaun banyak kepada pembayar yang bersedia membayar sejumlah penyelesaian akhir supaya akaun NPL boleh ditutup segera?

Dengan jawapan surat mereka itu, saya akan memanjangkan dulu kes ini kepada Biro Pengantaraan Kewangan, BNM dan FOMCA supaya pihak Bank Islam akur bahawa mereka sudah membuat kesilapan di dalam prosedur mengutip hutang tertunggak. Saya juga akan turut menghantar surat kepada ahli-ahli Majlis Syariah Bank Islam Malaysia sebagai bantahan. Saya akan maklumkan kepada pembaca akan perkembangan perjuangan saya ini.Saya berjuang untuk saya dan bumi Malaysia yang mempraktikkan Islam yang benar dan saksama. Insha-ALLAH.

Nasib Pengganggur Miskin Dihina, Kepong

4 comments:

Anonymous said...

Sebenarnya inilah yang berlaku kepada kita orang kerdil di malaysia ini, hutang orang kerdil di kejar sampai kelubang cacing, hutang syarikat besar berbilion di kira npl, dan suruh rakyat menyelesaikannya...inilah cara islam di malaysia.

Anonymous said...

Bila institusi berJENAMA ISLAM..diserah urus kepada KERA me LAYU BN Umngok berkelulusan PMR..tapi jadi lembaga pengarah..inilah jadinya..

KERA kera ini pun menjerit jerit masa pilihanraya..SIAPA KATA Malaysia bukan negara ISLAM..?
Untuk PERUT dan alat bawah PERUT aje..

adriana said...

islam tinggal nama akhirnya...

Anonymous said...

untuk makluman...bank konvensional seperti ... pun sama jugak tapi yang lebih bongkaknya adalah collection agency tu apalagi yang key personal nya orang In..a mereka ni lebih agresif - memang lagak seperti ahlong ..... abih satu dunia dihambatnya hanya hutang tak sampai 5k - bukannya tak bayar cuma lewat dari due date aje.... amat memalukan dan meloyakan... inilah bumi kita bumi islam malaysia - takda keadilan lansung pada rakyatnya yang lemah .. ditindas dicantas dicincang dikejar sampai kelubang cacing...