Tak pasal pasal lilin pula menjadi isu politik. Dr. Zambery MB Perak telah mencabar Tuan Guru Nik Aziz supaya keluarkan fatwa terhadap perbuatan Nizar yang turut memegang lilin di dalam upacara mengingati si mati Teoh Beng Hock beberapa hari yang lalu.
Apabila beliau membuat cabaran itu, tentunya di dalam benak fikirannya berkata bahawa Nizar telah melakukan sesuatu yang haram di sisi Islam, cuma Zambry tidak mahu berkata begitu kerana beliau lebih berminat untuk menunggu fatwa Nik Aziz yang mengharamkan tindakan Nizar memegang lilin.
Nik Aziz di dalam reaksi cabaran terhadapnya pula telah menempelak Zambery dengan berkata bahawa dirinya bukanlah seorang mufti yang boleh mengeluarkan fatwa sewenang-wenangnya, tetapi beliau telah memberikan pandangannya bahawa upacara memasang lilin itu bukanlah satu upacara keagamaan sebaliknya ia adalah upacara tradisi (adat) sebagaimana kelaziman upacara menyala dan meniup lilin ketika menyambut hari jadi, sambil menyanyi lagu Selamat Hari Jadi.
Najib menyalakan pelita Deepavali
Nizar (Kiri) memegang lilin bersama pemimpin DAP
Jika Zambery atau sesiapa pun yang pernah menyambut hari jadi dengan upacara meniup lilin yang dicucuk di atas kek, apakah boleh kita mendakwanya telah menyimpang daripada ajaran Islam? Jika meniup lilin mengingati si mati berkehendakkan fatwa Nik Aziz, maka kita juga bimbang sindrom ini akan berjangkit kepada tradisi menyambut hari jadi yang menyalakan lilin dan meniupnya berkehendakkan juga fatwa....mungkin mufti Perak Harussani Zakaria boleh serasikan fatwanya mengikut selera Menteri Besarnya, Zambry?
Dahulu pun mufti ini pernah mengeluarkan fatwa bahawa 'sure heboh' itu haram di sisi Islam, tetapi kesudahannya karnival tV3 itu tidak menjadi haram apabila pertunjukkan tersebut diadakan di Lumut, Perak baru-baru ini. Adakah Zambery terlupa bahawa muftinya itu sering berubah-ubah fatwanya sehingga terkeliru umat Islam dibuatnya? (Lihat foto Zambery dengan muftinya, Harussani)
Bukan itu saja, kalau tak silap saya Majlis Fatwa Kebangsaan juga pernah mengeluarkan fatwanya bahawa upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan yang diadakan pada setiap tahun Hari Pahlawan itu sebagai 'haram', namun demikian upacara itu masih tetap dijalankan sehingga hari ini. Fatwa itu telah diketepikan, seolah-olah ianya hanya 'Fatwa Pujangga' (nyanyian S. Afendi)?
Demikianlah malangnya jika perkara remeh temeh dijadikan isu politik sehingga menuntut ianya difatwakan dan akhirnya fatwa itu menjadi bahan persendaan. Inilah padahnya jika ulamak sering menari mengikut rentak yang dipalu oleh umaraknya.
Nampaknya episod lilin yang dicanangkan oleh Zambery tidak mengena sasaran, sebaliknya dilihat telah membakar diri. UMNO hendaklah berhati-hati jika hendak bertikam dengan musuhnya. Pastikan di rumah sendiri tidak berlaku kecurangan sebelum menuding jari kepada orang lain. Lilin bukan sahaja dinyalakan oleh Nizar, tetapi pemimpin kita juga sering diundang ke upacara menyalakan lilin di Hari Deepavali.
PAS tidak mejadikannya sebagai isu mungkin kerana mereka menganggapkan bahawa itu adalah adat resam dan budaya Hindu. Orang Islam pun memasang pelita ketika menyambut malam tujuh lekor. Jadi, kenapa faktor lilin yang menjadi pilihan Zambery untuk berpolemik dengan musuhnya?
No comments:
Post a Comment