Penduduk nekad berkubu dalam rumah sendiri elak diroboh DBKL
Oleh: Norhayati Umor
SHAH ALAM 9 JUN: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya bersetuju untuk memanjangkan tempoh sehingga Khamis ini kepada penduduk Kampung Chubadak yang mahu dirobohkan hari ini.
Dalam kejadian petang tadi, DBKL mahu merobohkan enam buah rumah di kampung terbabit bagi memberi laluan kepada pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Bagaimanapun, sebuah rumah tidak berjaya dirobohkan ekoran keluarga rumah itu nekad untuk berada di dalam rumah itu walaupun jentolak DBKL bersedia untuk merobohkannya.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata memang sebelum ini mereka diberikan notis hanya beberapa bulan lalu namun secara tiba-tiba hari ini pihak DBKL datang untuk meroboh tanpa memberi amaran terlebih dahulu.
Katanya, tindakan DBKL yang bertindak merobohkan rumah walaupun masih berpenghuni di dalam rumah itu adalah tidak wajar.
Beliau berkata hal itu kerana boleh mengancam nyawa.
“Tanah itu milik Suruhanjaya Tanah Wilayah Persekutuan, ia untuk dibangunkan PPRT.
“Bagaimanapun, selepas perbincangan pihak kami dengan DBKL dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mereka bersetuju untuk memanjangkan tempoh pengosongan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.
Tian Chua berkata sebelum ini, penduduk tidak bersetuju ekoran pampasan yang diterima sangat sedikit.
Katanya, penduduk berpendapat pampasan sebanyak RM7,000 yang ditawarkan oleh pihak terbabit tidak munasabah ekoran kos sara hidup meningkat ketika ini.
“Bagaimanapun, kami akan terus berbincang dengan pihak berwajib supaya nasib penduduk terbela.
“Sebelum ini, sudah banyak kali diadukan kepada Menteri Wilayah persekutuan, namun perkara itu tidak juga diselesaikan.
“100 buah rumah yang berpenghuni di sana sudah tinggal berpuluh tahun, jadi sewajarnya mereka menerima pampasan yang setimpal,” katanya.
No comments:
Post a Comment