Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin

pasbs2

pasbs2

pasbs baner

pasbs baner

Friday, May 9, 2014

ZUHUD



Masih ramai umat Islam yang keliru dalam memahami zuhud. Zuhud difahami sebagai sikap menjauhi semua persoalan keduniaan, seperti tidak mahu mencari kekayaan hidup, tidak mahu bekerja untuk kebahagiaan dunia dan tidak mahu memanfaatkan sumber alam.

Sikap ini tentu saja tidak betul, seperti yang dibantah oleh para ulama dan bijak pandai dengan kata‑kata, “Ingatlah, bahawa menguruskan sumber alam adalah bahagian yang sangat penting daripada tujuan syariat.”

Imam al‑Raghib al‑Asfahani mengatakan, bahawa bagi umat Islam, dalam menguruskan sumber alam. setidak‑tidaknya dimotivasi oleh tiga hal yang sangat penting iaitu:

Pertama: Ibadah kepada Allah. Firman‑Nya yang bermaksud:

“Dan (ingatlah. Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.” (az-Dzariyat: 56)

Kedua: Menjalankan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi, sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t tentang fungsi manusia di bumi menerusi dalam firman‑Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” (al-Baqarah: 30)

Ketiga: Kewujudan perintah Allah s.w.t, agar manusia menjadi pengelola seluruh sumber yang ada di bumi (imarat al‑ardhi), seperti terkandung di dalam firman‑Nya yang bermaksud:

“Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.” (Hud : 61)

Ayat ini mengandungi perintah agar kita mengurus seluruh sumber atau hasil alam yang ada di muka bumi.

Oleh yang demikian, zuhud bukan bererti harus meninggalkan usaha atau mengabaikan tugas sebagai pengurus sumber alam. Ia adalah suatu komitmen untuk hidup secukupnya, tetapi tidak menjadikan diri terbelenggu dengan kepentingan dunia sehingga melupakan kepentingan akhirat.

Pendek kata, ibarat kita berjalan di atas muka bumi tetapi kepala kita menengadah ke atas. Kita hidup di dunia dengan hati sebagai penghuni akhirat. Kita bekerja untuk dunia seolah‑olah hidup selamanya dan bekerja untuk akhirat seolah‑olah akan mati esok.

Inilah prinsip yang dipegang teguh oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w.

Jadi, prinsip zuhud yang benar ialah kita menguasai dunia tetapi dunia tidak menguasai kita. Dunia hanya ada di tangan, tetapi tidak di dalam hati. Maka tidak hairan kalau ramai sahabat Rasulullah s.a.w. yang menjadi orang kaya, misalnya Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin ‘Auf, padahal mereka tergolong sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga.

Mereka kaya, tetapi mereka tidak dikuasai oleh harta benda dan hiasan dunia lainnya.

Abdul Rahman bin ‘Auf misalnya, telah mengikut Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Dia rela meninggalkan rumah, kebun dan segala hartanya di Mekah. Di Madinah, dia mulakan hidup dari kosong.

Namun, semangat berusaha Abdul Rahman bin ‘Auf tidak pernah surut. Ketika dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w dengan Sa’ad bin Rabi’ al‑Ansari, Sa’ad menawarkannya untuk memilih salah satu rumahnya sebagai tempat tinggal dan menawarkan hartanya untuk dibahagi dua.

Abdul Rahman bin ‘Auf membalas pemberian yang sangat berharga ini dengan penuh kewibawaan, sambil berkata, “Semoga Allah memberkati keluarga, rumah dan harta anda, tetapi aku adalah seorang pedagang, maka tunjukkanlah kepadaku di mana ada pasar di sini.”

Ketika itu pasar di bawah monopoli Bani Qainuqa’ dari golongan Yahudi. Namun Abdul Rahman bin ‘Auf yakin dan sedia bersaing dengan Bani Qainuqa’ yang menguasai ekonomi.

Dalam waktu yang singkat dia mampu bersaing dengan orang Yahudi. Sehinggalah pada suatu hari dia datang kepada Rasulullah s.a.w dengan bau yang sangat harum. Maka apabila Rasulullah s.a.w. bertanya, dia menjawab, “Saya sudah bernikah, wahai Rasulullah.”

Rasulullah s.a.w. bertanya lagi, “Apakah sudah mengadakan walimah?” Dia menjawab, “Belum!” Maka Rasulullah s.a.w berkata, “Laksanakan walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.”

Walaupun Abdul Rahman bin ‘Auf memulakan usahanya dari kosong di Madinah, namun ketika dia meninggal dunia, dia meninggalkan emas yang cukup banyak.

Seperti dikatakan Ibnu Sa’ad, bahawa emas peninggalan Abdul Rahman dibahagikan kepada empat isterinya dengan bahagian masing-masing 80,000 dinar. Jumlah ini hanyalah satu pertiga daripada semua jumlah hartanya.

Cuba bayangkan, berapakah jumlah keseluruhan harta Abdul Rahman bin ‘Auf yang pada ketika itu nilai dinar dan dirham sangat tinggi.

Bagaimanapun, dia tidak teragak‑agak menginfaqkan berjuta-juta hartanya untuk membantu semua keperluan pasukan jihad dan membantu fakir miskin.

Demikian juga kekayaan Uthman bin Affan. Dunia dalam genggaman mereka, tetapi mereka tidak sampai gila kepada dunia. Mereka ‘memperhambakan’ dunia tetapi mereka tidak ‘diperhambakan’ oleh dunia.

Jelaslah, betapa dalam mencari harta dunia, yang penting, dunia tidak dijadikan satu‑satunya ‘kegilaan’ supaya dunia tidak memperhambakan kita. Inilah zuhud yang sesungguhnya.

Bagaimanpun, ada juga umat Islam yang memburukkan imej ajaran Islam, seperti yang dilakukan oleh segelintir masyarakat yang gaya hidup melambangkan kemiskinan. Mereka memutuskan sama sekali dengan keduniaan. Mereka hidup tanpa bekal, tanpa bekerja, padahal mereka mampu bekerja.

Jelas amalan ini bertentangan dengan syariat Islam dan tidak sesuai.

Ketika Umar al-Khattab melihat beberapa orang duduk berdiam diri di dalam masjid setelah solat Jumaat, beliau bertanya kepada mereka, “Siapakah kamu?” Mereka menjawab, “Kami adalah orang yang bertawakal kepada Allah.”

Lalu Umar berkata, “Sesungguhnya kamu adalah orang pasrah yang tidak mahu berusaha untuk mencari rezeki dan hanya berdoa: “Ya Allah berilah kami rezeki.” Padahal mereka tahu bahawa langit tidak menurunkan hujan emas atau perak, tetapi Allah s.w.t yang memberikan rezeki kepada manusia. Apakah kamu tidak pernah mendengar firman Allah: Apabila telah ditunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi?”

Setelah berkata demikian, Umar segera mengusir mereka dari masjid.

No comments: