MB Umum Anwar Tanding DUN Kajang. Hadir DAP/PAS
PETALING JAYA 28 JAN : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi DUN Kajang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), umum Menteri Besar hari ini.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu juga dipersetujui pimpinan parti Pakatan Rakyat (PR) yang dimaklumkan dalam satu mesyuarat awal pagi tadi. Katanya, dengan penyertaan Ketua Pembangkang Parlimen itu ke negeri Selangor mampu meneruskan kecemerlangan Kerajaan Selangor.
“Ini adalah keputusan bersama bagi menjadikan Pakatan Rakyat lebih kuat.
“Jadi kita akan menumpukan sepenuh perhatian bagi memastikan kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang,” kata Abdul Khalid.
Abdul Khalid membuat pengumuman berkenaan dalam satu sidang media yang turut dihadiri Anwar serta Lim Kit Siang dan Salahuddin Ayub yang diadakan di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar pula sekali lagi menolak spekulasi bahawa beliau bakal menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
“Keputusan yang dicapai dalam Pakatan Rakyat ini memberi motivasi kepada saya untuk membantu meningkatkan kecemerlangan pentadbiran kerajaan Selangor,” kata Anwar.
Semalam, speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh mengumumkan perletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh daripada PKR. Justeru, selaras dengan Fasal 5 Perkara 70 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi pada masa 60 hari dari tarikh kekosongan.
Dalam pilihan raya umum lalu, Lee sebagai calon PKR menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, BERJASA dan tiga calon bebas. Kawasan itu mempunyai 38,965 pengundi dengan 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan India sebanyak 10 peratus. (SK)
No comments:
Post a Comment