Al kisah seorang Tok Guru
Pada satu masa dahulu di Gunung Lagensia, seorang Tok Guru yang mendermakan seluruh masanya untuk mendidik prinsip ‘Amar makruf dan nahi mungkar’ telah didatangi oleh seorang bijaksana yang ingin melawan hujahnya.
Ketibaan orang bijaksana itu disambut dengan satu kain rentang besar di pintu besar sekolah yang dibina Tok Guru. Kain rentang itu menulis, “Selamat datang. Bila masuk cuba toleh ke belakang dulu sebelum berhujah.”
Orang bijaksana tidak mempedulikan kata-kata di kain rentang itu dan terus memasuki dewan berjumpa Tok Guru dan memulakan hujahnya.
“Raja kita yang bagi kita kerja, kita makan tapi Tok Guru menyuruh anak murid tetap melawan kemungkaran yang dibuat oleh Raja. Itu bukan nahi mungkar, itu sengaja mencari pasal,” kata orang yang bijaksana itu.
Tok Guru senyum dan terus menyiram pokok.
“Dia Raja, apa salahnya baginda kalau baginda ambil projek untuk untung duit. Mana boleh Raja hidup dalam keadaan tidak bermewah? Siapa nak hormat jika Raja tak ada duit?” hujah orang yang bijaksana itu.
Tok Guru terus menyiram pokok.
“Raja ambil projek bagi orang-orang dia untuk jadi kaya supaya kedudukan Raja dapat diperkukuhkan dengan sokongan pembesar-pembesar. Takkan itu pun perkara yang mungkar? Projek bernilai 1 jongkong emas diberi pada harga 2 jongkong emas untuk membeli kesetiaan. Takkan Tok Guru tak boleh faham?” kata orang bijaksana itu lagi.
Tok Guru masih tersenyum dan menyiram pokok.
“Kat mana-mana tamadun ada orang yang akan mati kelaparan. Takkan itu salah Raja? Kalau negara tak ada orang miskin, siapa nak jadi petani, pengutip sampah, bersih longkang dan sanggup menjual anak untuk dijadikan askar untuk kegunaan perang. Ini cara pengurusan, takkan pula ini perkara yang mungkar yang Tok Guru menghasut anak murid untuk melawan,” hujah lagi orang bijaksana itu.
Tok Guru sedang memetik buah daripada pokoknya.
“Rakyat kena dikekalkan dalam keadaan mereka masih memerlukan Raja untuk menyuapkan makanan. Jika tidak, rakyat tidak akan taat dan mendengar kata-kata Raja. Raja kadang-kala terpaksa gunakan kekerasan supaya rakyat beringat siapa yang berkuasa. Hanya anjing yang lapar sahaja kenal siapa tuan dia?” hujah orang bijaksana itu lagi.
“Awak bodoh sahaja tak faham prinsip menjaga negara. Orang besar dalam istana Raja kena kayakan mereka untuk beli kesetiaan. Takkan semua kesetiaan boleh dibeli, bangkraplah negara. Jadi sebab itu, rakyat di luar kena dibiarkan lapar, itu cara lain untuk mendapat kesetiaan. Mak ayah awak juga pernah mendapat kebaikan daripada Raja, tahu?” hujah orang bijaksana itu lagi.
Tok Guru senyum dan teruskan kerja berkebunnya.
“Orang kata awak ini bijak. Aku cakap sepanjang ini, satu patahpun tak terlawan kata-kata aku. Awak ini tin kosong sahaja. Pakar menghasut dan pakar penipu,” jerit orang bijaksana itu lagi.
Tok Guru tetap senyum dan kini mula mencangkul mencari cacing untuk memancing nanti.
Orang bijaksana itu merasa lagi marah. “Tak guna pun benda. Malas aku nak cakap dengan kamu. Dahlah bodoh, bisu pula!”
Orang bijaksana itu pun beredar. Setibanya di pintu besar, orang bijaksana melihat kain rentang yang menyambutnya tadi. Di belakang itu rupa-rupanya ada tulisan.
“Wahai orang bijaksana, dunia ini milik Allah. Siapalah raja tanpa rakyatnya? Raja masih ada jika tiada pembesar kaya-raya bersamanya. Raja tak mungkin wujud jika tiada rakyat bersamanya. Rakyat setia jika Raja adil. Rakyat akan lebih setia sekiranya Raja dapat memastikan rakyatnya hidup subur dan makmur. Jika rakyat berada dalam kelaparan, dan tatkala musuh yang menyerang memberikannya kekenyangan, apakah kesetiaan yang ingin dicari oleh Raja melalui kelaparan akan kekal pada masa itu?
Ibubapa saya memang pernah mendapat habuan daripada Raja. Oleh itu, saya jualkan segala harta peninggalan mereka untuk membina sekolah ini untuk memberikan pendidikan yang percuma kepada semua yang memerlukannya. Sekolah ini tidak perlu sekiranya sekolah yang dibina Raja tidak mahal yurannya kerana para pembesar yang Raja sayangi nak kekal hidup mewah. Renungkan dan selamat pulang.”
Orang bijaksana tersentak. Baru dia faham mengapa Tok Guru tak jawab apa-apa. Rupanya Tok Guru dah tahu apa isi hujahnya.
Selepas orang bijaksana beredar, anak murid Tok Guru bertanya mengapa Tok Guru boleh bersabar tatkala dihina sehingga moyang pun dihina.
“Jika seseorang datang dengan hadiah di tangan, dan anakanda tidak menerimanya, akhirnya hadiah itu milik siapa?” tanya Tok Guru kembali.
“Orang yang membawa hadiah itu, Tok Guru,” jawab anak muridnya.
“Sama juga dengan perasaan dengki, marah dan penghinaan,” kata Tok Guru. “Apabila ia tidak diterima, ia kembali ke tangan orang yang membawanya.”
“Oh sebab itu di hujung tadi orang itu yang jadi marah walhal dia nak Tok Guru yang berasa marah.”
Tok Guru tersenyum sambil mengusap kepala anak muridnya. “Senyum!”
Cerita panjang untuk Hari Ahad.
Senyum
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
No comments:
Post a Comment