PAA 2012 langgar hak rakyat berhimpun secara aman
KUALA LUMPUR 23 November: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal peranan Perlembagaan Persekutuan dalam undang-undang Malaysia kerana seolah-olah menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
“Yang kita bangkitkan ialah isu pokok, iaitu undang-undang tentang Akta Perhimpunan Aman (PAA 2012) kerana ia melanggar hak rakyat,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur.
Mahkamah hari ini mendengar hujahan peguam Anwar, Karpal Singh berhubung isu sama ada Seksyen 4(1)(c) dan 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.
“Dalam masyarakat yang ditadbir oleh undang-undang, mahkamah harus waspada dalam mempertahankan hak asasi dan teliti dalam memeriksa mana-mana larangan,” hujah Karpal.
Lanjutan itu, Hakim Kamardin Hashim menetapkan Jumaat depan untuk mendengar hujahan balas pendakwaraya.
Anwar pada 16 Oktober lalu memfailkan permohonan bagi merujuk persoalan perundangan berhubung satu daripada tiga pertuduhan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 terhadapnya.
Pada 22 Mei lalu, Anwar dan Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali serta Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin didakwa di Mahkamah Sesyen kerana dituduh menyertai protes jalanan yang kononnya menimbulkan kekecohan di ibu negara.
Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyertai protes jalanan kononnya bagi maksud membantah perintah Majistret Zaki Ashraf Zubir yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya orang awam tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April hingga 1 Mei 2012.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sepanjang Jalan Tun Perak di sini antara 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April lepas mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga pimpinan itu merupakan kumpulan individu pertama didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman yang berkuat kuasa tahun ini.
Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu berjaya menarik kehadiran ratusan ribu rakyat pelbagai kaum yang berhimpun serentak di bandar utama di Malaysia dan luar negara.
Ia bertujuan mendesak kerajaan membersihkan sistem pilihan raya dan isu daftar pemilih yang diseleweng Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak sekian lama.
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
No comments:
Post a Comment