Kenyataan Bersama oleh Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden KEADILAN dan Ahli
Parlimen Lembah Pantai; Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP Pusat dan Ahli
Parlimen Petaling Jaya Utara; dan Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Majlis
Pimpinan PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor
Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat menerima jemputan cabaran debat ‘satu-lawan-satu’ dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar pada bila-bila masa dalam suasana yang adil dan telus
Kami merujuk kepada laporan The Malay Mail semalam yang menyiarkan cabaran Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin kepada salah seorang daripada kami dalam debat tentang penggunaan wang Kumpulan Wang Skim Pekerja bagi membiayai pinjaman pemilikan unit-unit perumahan PPR.
Raja Nong Chik berkata, “golongan miskin ini tidak mungkin mendapat perumahan tanpa bantuan. Adakah mereka (ahli-ahli parlimen PR) merasakan golongan ini tidak layak mendapat perumahan?.” Beliau juga menambah cabaran kepada kami untuk berdebat dalam sesi debat “satu-lawan-satu” di hadapan semua penduduk PPR terbabit.”
Pertama sekali, kami sudah berkali-kali menyatakan pendirian Pakatan Rakyat yang mendukung sepenuhnya objektif mulia bagi menyediakan perumahan mampu milik untuk warga miskin bandar seluruh Negara. Pun begitu, matlamat ini -iaitu memastikan warga miskin bandar memiliki perumahan- adalah merupakan tanggungjawab. kerajaan sedia ada, dan bukannya dipertanggungjawabkan kepada tenaga pekerja Malaysia.
Justeru, kami amat mengalu-alukan debat dengan Menteri demi kebajikan dan maslahat rakyat bagi menjawab semua isu berkait di dalam suasana yang terbuka dan telus.
Dan di dalam memastikan masyarakat umum mengetahui isu sebenar kontroversi penggunaan dana KWSP ini, debat bersama Menteri haruslah terlaksana di dalam suasana adil, terbuka dan sama rata. Debat yang bakal berlangsung ini tidak boleh terhad kepada penduduk rumah PPR di Kuala Lumpur sahaja, tetapi perlu dibuka kepada semua warga Malaysia, khususnya pencarum-pencarum KWSP. Sebaik mungkin, debat yang akan diadakan kelak juga seharusnya tersiar di dalam televisyen untuk memastikan semua rakyat Malaysia yang mungkin tidak dapat turut serta termasuk pencarum KWSP Sabah dan Sarawak, diberi peluang menilai keberkesanan skim pinjaman khas ini.
Tambahan lagi, demi keterbukaan dan akauntabiliti, kami percaya Raja Nong Chik, yang bersedia berdebat dengan salah seorang daripada kami, akan bersedia melampirkan keseluruhan perjanjian antara agensi-agensi pilihan kerajaan dan KWSP. Hanya lampiran perjanjian penuh yang diberi kepada ahli-ahli parlimen dan rakyat secara umum dapat menjamin debat yang telus dan bermakna.
Dalam laporan akhbar yang sama di dalam *The Malay Mail,* Raja Nong Chik juga cuba mengajar kami makna pinjaman “sub prima”. Beliau berkata Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah silap dalam membandingkan skim pinjaman khas perumahan DBKL dengan pinjaman sub-prima yang katanya merujuk kepada pinjaman perumahan yang berdasarkan pada harga dua kali ganda nilai hartanah sebenar.
“Adakah mereka tahu apa pinjaman sub-prima? Hartanah tersebut bernilai dua ataupun tiga kali ganda dari harga yang diminta oleh Dewan Bandaraya,” jelas beliau yang malangnya terkeliru di dalam membuat kenyataan sedemikian.
Raja Nong Chik sebenarnya telah melakukan kesilapan di dalam usaha mempamerkan ‘kecerdikan’ beliau di dalam isu ini. Agensi bebas di Amerika Syarikat, the Federal Deposit Insurance Corporation (FDIC), dengan jelas mendefinisikan “sub-prima” sebagai:
“ciri-ciri kredit peminjam individu. Peminjam sub-prima biasanya mempunyai sejarah kredit yang lemah, termasuk gagal membayar pinjaman secara konsisten … Mereka juga memaparkan keupayaan pembayaran balik yang lemah seperti yang diukur oleh skor kredit, nisbah hutang-kepada-pendapatan, atau kriteria lain yang merangkumi peminjam dengan rekod kredit yang tidak lengkap, tanpa menyebut nilai harta.”
Jelasnya, fenomena sub-prima di sini merujuk kepada dana KWSP yang digunakan untuk meminjam wang kepada peminjam yang dianggap tidak layak untuk menerima pinjaman daripada kacamata bank-bank di dalam negara – seperti yang diakui sendiri oleh Menteri.
Pandangan Raja Nong Chik tentang isu sub-prima dan kaitannya dengan nilai hartanah kos rendah bernilai dua atau tiga kali ganda harga jualan semasa adalah jauh tersasar daripada hakikat sebenar.
Seeloknya Menteri menggilap pengetahuan kredit dan pinjaman sub-prima sebelum mengambil cabaran untuk berdebat dengan salah seorang daripada kami, demi meyakinkan rakyat tentang keberkesanan dan kelayakan setiap ahli kabinet BN, terutamanya yang bukan dilantik oleh rakyat tetapi dilantik selaku Senator.
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
No comments:
Post a Comment