Sekat pelajar IPT berpolitik tidak sah
2011/11/01
Mahkamah rayuan putuskan Seksyen 15 (5)(a) AUKU bercanggah perlembagaan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam memutuskan peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan 2-1 oleh panel tiga hakim, diketuai Datuk Wira Low Hop Bing itu memutuskan seksyen 15 (5) (a) AUKU bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan AUKU sebagai sah di sisi perlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.
Pada 28 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan empat pelajar Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Hilman Idham, 22; Woon King Chai, 23; Muhammad Ismail Aminuddin, 23 dan Azlin Shafina Mohamad Adza, 23, yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.
Dalam saman pemula yang difailkan pada 1 Jun tahun lalu, mereka menamakan kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM bagi mencabar tindakan universiti mengemukakan notis menghadiri Lembaga Disiplin UKM bagi menjawab tuduhan melanggar seksyen berkenaan. Bagaimanapun, mereka didapati tidak bersalah oleh lembaga itu dan menamatkan pengajian masing-masing bulan lalu.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus, berpendapat Seksyen 15(5)(a) berhubung larangan itu tidak munasabah dan tidak dapat melihat bagaimana sokongan atau bangkangan pelajar ke atas mana-mana parti politik boleh memudaratkan kepentingan atau moral awam.
“Bukankah parti politik adalah entiti sah dari segi undang-undang yang menjalankan aktiviti politik yang sah. Bukankah pemimpin politik, termasuk menteri dan penggubal undang-undang persekutuan dan negeri juga adalah ahli parti politik.
“Peruntukan ini tidak rasional. Kebanyakan pelajar universiti sudah mencapai usia majoriti, mereka boleh memasuki perjanjian dalam kontrak, boleh menyaman dan disaman, berkahwin, menjadi ibu bapa dan menjalankan kewajipan kekeluargaan.
“Mereka boleh mengundi jika mencapai usia 21 tahun dan boleh menjadi pengarah syarikat dan pemegang jawatan sesuatu pertubuhan. Ironinya mereka pula diberitahu, mengikut undang-undang mereka tidak boleh berkata apa-apa yang ditafsirkan sebagai menyokong atau membangkang sesebuah parti politik,” katanya.
Mohd Hishamuddin berkata, beliau juga berpendapat Seksyen 15(5)(a) menghalang perkembangan sihat minda kritikal dan pemikiran asal pelajar yang bukan saja tidak produktif, malah mengongkong kerana universiti sepatutnya menjadi institusi yang melahirkan pakar pemikir serta pembaharuan dan bukan pelajar yang dilatih seperti robot.
Datuk Linton Albert pula berkata, yang jelas, peruntukan dalam AUKU tidak masuk akal kerana empat pelajar berkenaan berdepan tindakan tata tertib, termasuk dibuang universiti hanya kerana menghadiri kempen pilihan raya kecil itu.
“Oleh kerana ia tidak munasabah, maka penghakiman saya berhubung Seksyen 15(5)(a) tidak berada di bawah ruang lingkup Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan (hal ketenteraman awam), bercanggah Perkara 10(1)(a) (kebebasan bersuara) dan tidak sah seperti termaktub dalam Perkara 4(1) perlembagaan,” katanya.
Sementara itu, Hop Bing yang tidak bersetuju dengan kedua-dua penghakiman itu, berkata larangan pembabitan pelajar dalam politik perlu bagi menghalang penyusupan ideologi politik, termasuk sifat ekstremis di kalangan pelajar.
Beliau turut menyarankan (bukan sebahagian dari penghakiman) bahawa Parlimen mungkin boleh menimbangkan untuk meminda Seksyen 15(5) secara khusus dan keseluruhan akta secara umumnya bagi tujuan pemansuhan dan semakan.
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
1 comment:
Apakah berpuak-puak dan berpecah belah dalam kampus kerana fahaman politik suatu yang dikehendaki dan baik di IPTA sebagai tempat pengajian? Apa relevannya parti politik dikampus dan apa hak mereka untuk mencampuri urusan dan dasar IPTA? Maka Mahkamah Rayuan perlu nampak dan jangan pura-pura tidak nampak bahawa kekangan pada auku adalah untuk menghilangkan benih yang akan menjejaskan kententeraman awam (pubic order) di sesebuah IPTA agar falsafahnya sebagai tempat pengajian dihormati. Pun begitu, politik (seperti sukan etc)sebagai sebuah kurikulum (matapelajaran) dengan buku dan artikel rujukan digalakkan.
Pendidikan haruslah bedasarkan pemikiran secara disiplin (seperti thesis) bukannya pemikiran yang tanpa disiplin dan haru biru. Mungkin pemikiran "haru biru dan kurang disiplin" adalah lumrah bagi orang politikus namun pendidikan dan dasar pengajian, pemikiran itu hendaklah berstruktur dan berdisiplin.
Kalau jaguh berfikiran, buatlah artikel dan thesis dengan metolodoginya dan sebagainya. Tanggapan bahawa berpolitik boleh merangsangkan pemikiran berdisiplin itu suatu tanggapan yang terpesong. Pendidikan itu pemikiran berdisiplin harus difahamai bukan pemikiran beremosi dan popular.
Masih belum putus sehingga Mahkamah Federal memutuskan - itu prosedurnya.
Post a Comment