
FOTO: Maziah (tiga dari kiri) menyiram air di atas pusara suaminya, Ahmad Sarbani di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor semalam.
KUALA LUMPUR - Ketibaan jenazah Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed disambut dengan linangan air mata dan penuh hiba oleh kira-kira 300 orang yang memenuhi Surau Ar-Rahman, Kelana Jaya dekat sini semalam.
Ibu Allahyarham yang dikenali sebagai Aishah, 70-an, pengsan beberapa minit sebaik menatap wajah anaknya itu.
Jenazah yang telah dikafankan itu dibawa dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras. Ia tiba di surau itu pada pukul 5.10 petang untuk disolatkan.
Imam bagi solat hajat yang dijalankan sebelum itu turut mengumumkan bahawa solat sunat berkenaan bertujuan untuk mendapatkan petunjuk Allah bagi menyerlahkan kebenaran dan menyelesaikan kes tersebut.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui pemberita di Kuarters Kastam di Kelana Jaya berkata, kerajaan negeri Selangor turut berasa sedih atas pemergian Allahyarham.
"Yang penting sekarang kita perlu mencari kebenaran dan penyiasatan terhadap kematian Allahyarham bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu," katanya.
Turut hadir untuk menyempurnakan solat jenazah ialah Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman.
No comments:
Post a Comment