
KUALA LUMPUR, 1 Dis. : Ahli jawatankuasa Surau An-Nur Taman Setiawangsa di sini
hari ini memfailkan saman pemula terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi memohon deklarasi bahawa DBKL tidak
berhak untuk merobohkan surau itu.
Saman itu, yang difailkan melalui Tetuan Boestamam Ahmad & Co di pejabat
Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, menamakan Pesuruhjaya
Tanah Persekutuan dan DBKL sebagai defandan pertama dan kedua.
Dalam saman itu mereka memohon perintah mahkamah supaya defendan mengekalkan
tapak asal Surau An-Nur atau menyediakan satu tapak baru bagi surau itu yang
sama keluasannya iaitu 8,000 kaki persegi.
Mereka juga memohon deklarasi bahawa tindakan kedua-dua defendan melalui wakil
atau ejen mereka yang cuba menanggalkan dan mencabut kemudahan tempat sujud dan
kemudahan lain adalah tidak sah, terbatal serta menyalahi peruntukan Perkara 11
Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi surau itu Mohd Yusof Wazir memberitahu pemberita jawatankuasa juga
memohon perintah injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada
meneruskan kerja meratakan tanah di surau itu.
Surau berusia 20 tahun itu boleh memuatkan lebih 100 orang jemaah. – Bernama
No comments:
Post a Comment