Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin

pasbs2

pasbs2

pasbs baner

pasbs baner

Friday, October 1, 2010

BARU BERUSIA 74 TAHUN, NAK BERSARA JANUARI 2011?


Datuk Seri S.Samy Vellu, salah seorang pemimpin parti paling lama berkhidmat di negara ini, mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatan Presiden MIC pada Januari depan.

Tokoh politik berusia 74 tahun, kelahiran Kluang, Johor, itu berkata timbalannya Senator Datuk G. Palanivel akan mengambil alih jawatan tersebut.

Samy Vellu berkata beliau telah memaklumkan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) mengenai hasratnya itu.

"Saya akan mengumumkan tarikh khusus kemudian," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat CWC di ibu pejabat MIC di sini hari ini.

Menurut bekas Menteri Kerja Raya itu, peletakan jawatan tersebut mungkin berlaku sebelum atau selepas beliau menghadiri perhimpunan kesembilan Pravasi Bharatiya Divas di New Dehli, India, Januari depan.

Pada perhimpunan tahunan itu, Samy Vellu berkata beliau akan membincangkan peluang untuk kontraktor Malaysia membabitkan diri dalam pembinaan infrastruktur di India.

Palanivel, iaitu Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, yang duduk di sebelah Samy Vellu pada sidang akhbar itu, enggan mengulas sambil berkata beliau akan memberi komen pada satu tarikh kemudian.

Semasa Konvensyen MIC Wilayah Persekutuan, Mei lalu, Samy Vellu dilaporkan berkata beliau akan melepaskan jawatan itu 'tujuh atau lapan bulan' sebelum penggalnya sebagai presiden berakhir pada Mac 2012.

Samy Vellu mula menerajui parti kaum India itu pada 13 Sept 1979 dalam kapasiti sebagai pemangku presiden berikutan kematian Tan Sri V. Manickavasagam.

Samy Vellu, yang mengekalkan jawatan presiden MIC bagi penggal ke-11 tanpa bertanding pada September tahun lepas, berkata tindakan untuk bersara awal adalah keputusan beliau sendiri dan bukan atas tekanan mana-mana kumpulan.

Katanya langkah itu bagi membolehkan penggantinya membuat persedian rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Jika saya tunggu untuk dua tahun lagi, saya fikir ianya tidak baik kerana kami mahu pemimpin baru mempunyai dasar dan aturannya sendiri bagi mempersiapkan parti untuk pilihan raya nanti," katanya.

Samy Vellu, yang tewas pada pilihan raya umum lepas pada 2008, berkata selepas pengundurannya, beliau tidak akan mencampuri urusan dalaman parti dan hanya menjadi ahli biasa MIC.

Ditanya mengenai rancangan selepas persaraannya, katanya beliau akan menumpukan kepada usaha meningkatkan hubungan antara Malaysia dan India dari segi pembangunan infrastruktur.

"Wujud banyak peluang untuk kontraktor Malaysia menyertai pelan pembangunan infrastruktur di India dan saya mahu membantu golongan kontraktor tempatan menggunakan kesempatan ini sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, naib presiden Datuk Dr S.Subaramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia, berkata peralihan kuasa dalam parti adalah perkara biasa dan Samy Vellu sebelum ini sudah menyatakan hasratnya kepada ahli parti itu.

"Saya harap peralihan kuasa akan berjalan lancar dan berharap dia (Samy Vellu) sentiasa ada untuk memberi nasihat kepada kepimpinan baru parti," katanya.

Seorang lagi naib presiden, Datuk K. Devamany berkata Samy Vellu telah banyak memberi sumbangan kepada parti dan masyarakat India di negara ini.

- BERNAMA

No comments: