
SELAMAT.... Semoga Tsen (kiri) dan Lai tidak menerima nasib yang sama dengan tujuh mangsa yang dibunuh kumpulan serpihan Abu Sayyaf ini kerana gagal membayar tebusan dan dijadikan perisai ketika diserang tentera Filipina. Mereka bergantung nasib kepada Anifah Aman.
HANYA Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang dapat menghulurkan bantuan dalam misi khas untuk menyelamatkan dua mangsa culik Terumbu Karang Sebangkat, Semporna yang dikesan berada di Tawi-Tawi, Selatan Filipina.
Pengurus Pelantar syarikat penanaman agar-agar di Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Salleh Abdul Salleh membuat rayuan berkenaan setelah menerima beberapa maklumat daripada pihak berkuasa Filipina dan sumber tertentu yang mengemukakan beberapa bukti penting yang mengesahkan orang yang ditawan lebih 50 penculik tersebut ialah mangsa Sebangkat iaitu Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau.
“Saya rayu agar Menteri Luar Negeri, Datuk Anifah Aman segera mengutus kawat kepada Kedutaan Malaysia di Filipina dan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur bagi membolehkan usaha menyelamat mangsa dilakukan dengan kerjasama Kerajaan Filipina,” ujar Salleh yang berterima kasih di atas kesungguhan Polis Di Raja Malaysia dan Menteri Dalam Negeri membantu beliau sekalipun pencarian selama lebih 54 hari menemui jalan buntu.
Kata Salleh, pihaknya tidak lagi dapat bersabar dan terpaksa mengambil ikhtiar sendiri untuk mengesan mangsa dengan bantuan beberapa NGO dan Gabenor di Filipina dan berjaya menemui mangsa culik dalam kawalan ketat penculik.
“Ada pihak yang sedang merundingkan pembebasan tebusan dan masalah utama yang mereka hadapi ialah belum mendapat perkenan Wisma Putra dan untuk itu, saya dan seluruh keluarga mangsa culik merayu ehsan Datuk Anifah agar dapat bertindak segera menghantar surat persetujuan dan pengesahan bahawa kedua-dua mangsa adalah rakyat Malaysia. Itu sahaja. Tugas lain biar pihak kami lakukan sendiri,” ujar Salleh yang mendakwa kedua-dua mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri atau dirampas ketika diculik pada 8 Februari 2010.
No comments:
Post a Comment