Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin

pasbs2

pasbs2

pasbs baner

pasbs baner

Friday, March 12, 2010

DALAM PUJI ADA BENCI

Pandangan GuruBashid (Ustaz UMNO) Tentang Nik Aziz

1 Nik Aziz tahu bahawa beliau tidak akan kehilangan sokongan sekalipun Anwar dan PKR dilanda masalah yang bukan sedikit. Malahan krisis yang melanda Ketua UMUM Keadilan itu dan PKR akan menyebabkan orang ramai mengembalikan kepercayaan mereka sepenuhnya kepada Nik Aziz.

2 Kalau dahulu kepercayaan itu terpaksa dibahagi dua-antara Anwar dan Nik Aziz, kini semuanya menjadi lebih mudah apabila mereka langsung memberikannya kepada Nik Aziz seorang. Begitulah hebatnya Nik Aziz, diri yang tetap bertuah walau apa pun kemelut yang melanda pakatan pembangkang.

3 Buat masa ini kedudukan Nik Aziz berbanding kedudukan ahli-ahli politik pembangkang yang lain khususnya yang berada di luar Kelantan dirasakan lebih selamat. Nik Aziz yang sudah lama memimpin PAS Kelantan di mana beliau sendiri adalah Menteri Besarnya bertambah yakin bahawa apa pun yang beliau katakan tentang sesuatu isu tidak banyak menjejaskan diri beliau khususnya dan Kelantan amnya berbanding pemimpin pembangkang di negeri-negeri lain yang dilihat masih belum stabil dan sedang berhempas pulas mendapatkan keyakinan rakyat.

4 Sebab itu, apa pun yang dikeluarkan daripada mulut Nik Aziz dan apa pun sikap yang ditunjukkan oleh beliau terhadap sesuatu, dia tidak sedikit pun takut hilang kepercayaan rakyat di negerinya.

5 Rakyat Kelantan dilihat tetap akan memberikannya kepercayaan malahan sokongan moral, apatah lagi dengan isu royalti yang sengaja dimain-mainka sehingga ke luar garisan bagi membuai harapan rakyat Kelantan terhadap masa depan Kelantan yang cerah lagi makmur jika mendapat royalti minyak yang sedang diperjuangkan.

6 Rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu seolah-olah diajak bersama Tok Guru pujaan mereka dalam memperjuangkan yang konon-kononnya menjadi hak mereka. Sekalipun mereka sudah tahu bahawa tuntutan itu sulit didapati namun rakyat Kelantan berasa bahawa perjuangan itu tidak merugikan mereka malahan tidak pun menyalahi undang-undang kerana di sebalik tuntutan atau yang lebih tepat lagi disebut sebagai “ tekanan politik “ itu telah membuah hasil setelah mereka tetap mendapat emas sekalipun mereka terlepas intan permata.

7 Jadi rakyat Kelantan masih memerlukan keberanian Tok Guru dan meletakkan harapan besar kepada satu-satunya tokoh pembangkang yang masih ada seperti Nik Aziz yang bagi mereka dapat memainkan peranan yang sebaik mungkin dalam hal yang satu ini.

8 Di sinilah kebijaksanaan politik rakyat Kelantan yang sebenarnya sudah banyak mendapat manfaat di bawah pemerintahan kerajaan pusat dan di negeri-negeri lain di bawah pentadbiran kerajaan BN di mana mereka menjadi pekerja yang produktif di negeri-negeri ini.

9 Kembali kepada fokus sebenar tulisan ini, iaitu Nik Aziz. Nik Aziz dilihat memiliki kedua-duanya-ilmu agama dan kelicikan berpolitik. Dulu, ketika dia menumpukan sepenuhnya kepada tugas-tugas mengajar kitab dia digelar Tok Guru, dan sekarang pun, ketika lebih banyak masa diberikan olehnya untuk berpolitik, dia tetap dipanggil Tok Guru. Tak berubah sedikit pun.

10 Suatu ketika dahulu dia hanya ada ilmu agama, kini dia menambahkan satu lagi iaitu kemahiran atau lebih tepat lagi kelicikan berpolitik. Lebih lama Tok Guru ini berenang dalam laut politik, beliau dilihat lebih menguasai kemahiran berpolitik. Nampaknya Tok Guru ini pandai menggabungkan dua kemahiran itu serentak. Inilah yang beliau maksudkan barangkali agama dan politik berpisah tiada.

11 Apabila dia menggabungkannya orang seolah-olah melihat Tok Guru melakukan tugas-tugas suci agama sedangkan jelas apa yang dilakukannya itu hanyalah tidak lebih daripada kepentingan politik PAS.

12 Walau apa pun tanggapan kita terhadap Nik Aziz, pengikutnya tetap percaya kepadanya seperti kepercayaan mereka yang dahulu. Kepercayaan kepada Nik Aziz dilihat tidak sedikit pun berkurangan meskipun sejak akhir-akhir ini banyak isu yang dikaitkan terhadapnya.

13 Bagaimana dia mengekalkan kepercayaan orang ramai terhadapnya, itulah kehebatan yang ada padanya. Asalkan yang keluar itu daripada mulut Tok Guru Nik Aziz mereka tetap percaya.

14 Kalau zaman rasulullah s.a.w., baginda hanya berjaya melahirkan seorang as-Siddik (yang sentiasa membenarkan), kini Nik Aziz melahirkan ratusan malahan ribuan as-Siddik, orang yang sentiasa membenarkan kata-kata dan tindakannya. Atau lebih tepat lagi the yes man.Hebat sungguh tok guru yang bernama Nik Aziz ini.

15 Tok Guru Nik Aziz adalah contoh ulamak politik yang berjaya mengalihkan pandangan seseorang daripada apa yang sebenarnya berlaku kepada apa yang sedang diperkatakannya. Katakan apa sahaja tentang kesalahan yang sedang dilakukan oleh Nik Aziz, orang hampir tidak peduli.

16 Orang hanya berminat untuk mendengar apa yang bakal Tok Guru ini katakan. Dalam berdepan dengan sesuatu isu, mereka seolah-olah menunggu-nunggu apa lagi yang bakal muncul daripada mulut Nik Aziz. Sama ada cara ini sesuai atau beradab dalam konteks politik Malaysia hampir tidak dipedulikan oleh penyokong-penyokongnya.Tetapi itulah hakikat yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa.

17 Yang keluar daripada mulut Nik Aziz itu lebih penting kepada ramai orang daripada perkara-perkara lain.Jangan selidiki lagi kebenarannya jika sesuatu itu keluar daripada mulut Nik Aziz. Yang lain tidak lagi penting asalkan yang mengeluarkannya adalah Nik Aziz.

18 Inilah senario yang berlaku sekarang ini dan hingga ke tahap ini di negara ini. Ia berlaku tanpa sesiapa pun boleh menghalangnya. Semua mata boleh melihat kepada Perdana Menteri melalui gagasan 1Malaysia, tetapi telinga-telinga mereka hanya untuk Nik Aziz. Inilah aura magnetik yang ada pada Nik Aziz.

19 Sebahagian rakyat Malaysia tidak berminat lagi kepada apa yang dilihat dan apa yang sedang dibuat. Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu dan beberapa [pilihan raya kecil yang berlaku selepas itu adalah buktinya.

20 Apa yang dilihat seperti pembangunan, projek, pembinaan, aktiviti dan pelbagai program sudah tidak menarik minat ramai lagi. Yang penting ialah apa yang telah dan sedang menerjah ke telinga mereka.

21 Semakin lama semakin cekap nampaknya Nik Aziz berpolitik. Kalau dahulu dia hanya menggunakan al-Quran dan al-Hadith sekarang dia menambah satu lagi ramuan iaitu kepintaran memanipulasi keadaan.

22 Ya kepintaran yang perlu ada pada seseorang ahli politik, apatah lagi pada masa kini. Dia tahu jika dia kekal sebagai ulamak fiqh yang membacakan kitab di surau dan madrasah, dia tak ubah seperti tok-tok guru pondok yang lain. Tok guru lain mungkin boleh bertahan dengan cara ini sebab mereka tak boleh pergi jauh melewati pondok dan madrasah yang dikuasai mereka.

23 Tetapi ini berbeza dengan Nik Aziz. Dia tak kan ke mana-mana jika kekal dengan cara-cara menadah itu. Dia harus berubah daripada stail sebegitu dengan mengurangkan pergantungannya kepada ilmunya kepada kecekapan menyambar peluang yang ada di sekeliling sebab dia adalah ahli politik ketimbang ulamak..

24 Sebagai ahli politik dia sudah boleh menelah situasi sekarang. Masa bila dia perlu membuka mulut dan masa bila pula da perlu menutupnya rapat-rapat. Masa bila dia perlu keluar dan masa bila dia perlu mendiamkan diri.

25 Masa bila dia perlu meludahnya, kemudian masa bila dia perlu menjilatnya kembali. Dia boleh melakukannya dengan begitu baik sekali tanpa rasa jijik lagi.Mengapa? Jawapannya sebab dia adalah ahli politik.

26 Ketika zaman rasulullah, baginda berjaya melahirkan pelbagai kebijaksanaan yang dilambangkan melalui kemunculan pelbagai jenis sahabat baginda. Suatu bukti kejayaan tarbiyah rasulullah sa.w. – kekerasan hati Saidina Umar, kedermawanan dan kerendahan hati Usman, ketegasan Ali dan kepercayaan seorang Abu Bakar.

27 Tetapi pada zaman Tok Guru Nik Aziz, di mana Nik Aziz adalah ulamak politik pembangkang, dia hanya memerlukan sahabat dari jenis Abu Bakar. Dia hanya memerlukan orang yang setia. Tidak bijak pun tidak mengapa tetapi setia dan bersetuju sahaja.

28 Dia menerima yang lain-lainnya dengan penuh waspada dan sesekali terkeluar juga dari mulutnya yang dia tidak senang dengan kehadiran individu seperti saidina Umar dan Ali di sekelilingnya.

29 Ketika rasulullah bertungkus lumus menyatukan Muhajirin dan Ansar serta membawa Yahudi untuk bersetia dalam kesatuan penduduk Madinah, Nik Aziz sebaliknya berjaya membawa kepercayaan kaum Cina dan India untuk menyokongnya, tetapi pada masa yang sama dia menolak UMNO, saudara se-Islamnya sendiri sebagai rakan perpaduannya.

30 Malahan dia mendakwa ahli UMNO sudah syirik, yang bermakna berjuta-juta umat Melayu di Malaysia sudah tidak layak mencium bau syurga apatah lagi memasukinya.

31 Nik Aziz membenarkan ayat al-Quran digunakan sewenang-wenangnya sekalipun oleh seorang yang belum masuk Islam hanya kerana ia merupakan rakan kongsi politik, tetapi dia memandang jijik kepada individu dan ulamak tertentu seperti dakwaannya ke atas Tuan Guru Haji Harussani.

32 Kalau suatu ketika dahulu, dia hanya ada Al-Quran dan as-Sunnah, tetapi sejak akhir-akhir ini dia sebenarnya hanya ada dirinya sahaja. Dia hanya percaya kepada apa yang dia katakan.

33 Jika sesuatu itu menguntungkan partinya, dia akan menyokongnya, sebaliknya jika sesuatu itu merugikan partinya cepat-cepat dia menolaknya. Biar rakyat tenggelam dalam keadaan celaru dan umat Islam berada dalam keadaan tak menentu; tak mengapa, yang penting partinya tetap mendapat untung daripada semua itu.

34 Begitulah halnya dengan Nik Aziz dan semua kelicikannya. Bagaimana berjayanya dia membentuk taqlid kepada dirinya juga suatu kelebihan yang sangat menyerlah. Dia mahu semua orang berpaut pada jubahnya, tetapi jangan ada sesiapa yang ketika berpaut itu berani membuka mata, apatah lagi mulut mereka.

35 Hanya ikut sahaja.Ya ikut sahaja. Jika takut jatuh, pegang kuat-kuat. Jangan banyak tanya. Tak elok jika tok guru yang sedang mengajarkan sesuatu, ada anak murid yang bertanya.itu biadap namanya.

36 Demokrasi hanya ada dalam politik, tetapi dalam memberikan kepercayaan kepada Tok Guru ini sesuatu yang muktamad dan tanpa kompromi perlu ada. Dia kelihatannya seronok kerana berjaya membentuk pengikut yang begitu. Pengikut yang begitulah yang membesarkan PAS sekarang ini.

37 Bersandarkan ilmu agama yang ada padanya, dia menggunakan faktor ini sebaik-baiknya dengan cekap dan berani serta memperjudikannya dalam berdepan situasi politik seperti sekarang ini.

38 Guru ini mahu semua orang tahu dan melihat dirinya sebagai seorang pejuang Islam tulen yang sedang melakukan perjuangan agama untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam.
Orang ramai lebih teruja dengan kepetahan mulutnya yang tidak lekang-lekang menyebut Islam dan hudud, sehingga orang ramai sanggup melupkannya apa yang telah dia buat ke atas orang Islam yang bukan sekutunya.

39 Untuk memudahkan kerjanya guru ini mahu orang ramai melihat yang UMNO itu adalah musuh orang Islam dan musuh orang bukan Islam juga yang patut dibenci dan tidak layak untuk dijadikan sahabat.

40 Dia cukup membenci UMNO dan semua orang di dalamnya dan pada masa yang sama dia mengajak musuh-musuh UMNO dan musuh PAS juga sebelum ini untuk membenci UMNO.

41 Dia melakukannya dengan penuh cekap dan berani sekali.Guru ini melihat PAS akan mendapat untung berganda dengan berbuat begitu. Apatah lagi setelah teruja melihat musuh-musuh PAS dan musuh-musuh UMNO berpusu-usu datang kepadanya sambil memuja-mujanya.

42 Tetapi adakah umat Islam dan agama Islam di Malaysia ini akan beruntung dengan cara gaya kepimpinan seperti ini, tidak pula menjadi perhatian Tok Guru ini.

43 Dia menjadi tuan guru dalam mendoakan kehancuran UMNO dan kehancuran para pemimpinnya. Ketika Allah menyeru kita untuk berbuat baik ke atas saudara se-Islam dan bersikap keras kepada orang-orang kafir, Guru ini melakukan sebaliknya.

44 Dia bersikap lemah lembut kepada orang-orang kafir sehingga ada yang sepatutnya menjadi milik Islam telah pun tergadai atas darjah tolak ansur yang sungguh besar konon-kononnya, tetapi ke atas saudara Islamnya sendiri dia begitu keras dan benci sekali.

45 Dan lebih dahsyat lagi dia menamakan jenis perjuangan ini Islam.

Hakcipta Abd Bashid Harun

1 comment:

zul_neem said...

Assalamualaikum

Komentar yang dibuat oleh Abd Bashid harun semacam orang yang baru kenali Tok guru NIk Aziz dan baru mempelajari sejarah atau sirah rasullah s.a.w serta pemerhatiannya adalah dari luar pinggiran perjuangan Islam itu sendiri.Asas kepada politik sekular dan leadershipnya tidak boleh menjadi pemangkin untuk mengukur kebolehan dan kebijaksanaan seorang tokoh yang berjuang atas nama Islam.Apatah lagi untuk menjadi bahan thesis dan analisis personnaliti seseorang pejuang Islam.Tetapi percubaan penampilan ketokohan Tok guru Nik Aziz oleh beliau dalam kontek situasi politk Malaysia atas kefahaman kebangsaan dan sudut keMelayuan ini, boleh menjadi lonjakan paradigma untuk membuang kekarutan atau kekalutan yang ada pada mereka sendiri.Penganalisis dari luar telah meletakkan Tok guru Nik aziz kesenarai ke32 dari 500 tokoh dunia Islam yang mempunyai pengaruh, sepatutnya menjadi bahan rujukan bagi panduan dalam kes study beliau ini.Supaya kesalahan dan kekurangan dapat diperbaiki.Ayat kata-katanya dari
no 1 sehingga 45 boleh diperbaiki sekiranya beliau menawarkan diri untuk menjadi anak angkat Tok guru Nik Aziz seketika demi meninjau dan menyelami peribadi MB Kelantan ini dan meyiapkan biografi pemimpin yang disegani samaada pihak lawan dan kawan.