Pengurangan pemanduan sendiri mampu tingkat sistem lalu lintas di bandar raya bestari ISU berkaitan masalah sistem pengangkutan awam, termasuk kegagalannya di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya, mengundang banyak reaksi. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada pihak berkuasa kononnya tidak komited menjayakannya, sama ada melalui tindakan yang tidak menyeluruh atau masalah sistem dilaksanakan itu tidak mampu menampung permintaan. Tanpa hasrat membela pihak berkuasa yang terbabit, beberapa fakta harus dibincangkan secara mendalam untuk membantu semua pihak memahami dengan lebih tepat kedudukan sebenar perkara berkaitan isu terbabit. Jika fakta itu diperhalusi sebaiknya, mungkin timbul cetusan perspektif baru yang dapat membantu memahami seterusnya menyelesaikan kemelut berkenaan. Satu komen Presiden Cuepacs, Omar Osman yang disiarkan dalam akhbar pada 1 Januari lalu menarik perhatian. Kata beliau, kebanyakan jalan di Putrajaya adalah laluan sehala yang menjadi punca kelemahan sistem pengangkutan di situ.
Tanpa ingin menyangkal dakwaan atau memperincikan sama ada Omar sering ke Putrajaya atau tidak, hakikatnya di Presint 1 (lokasi jabatan dan kementerian) saja yang menggunakan sistem jalan sehala. Semua jalan ke Presint 1 bertaraf lebuh raya dan menggunakan sistem dua hala. Kemudian ada jalan-jalan susur di Presint 2, 3 dan 4 yang dijadikan jalan sehala, tetapi dengan laluan yang luas dan papan tanda arah yang banyak. Juga ada jalan dalam kawasan kompleks kementerian tertentu (bukan semua) yang perlu dijadikan sehala untuk mengawal aliran lalu lintas. Oleh sebab itu, kenyataan beliau mungkin tidak tepat dalam konteks isu yang sedang diperkatakan. Putrajaya adalah bandar raya bestari yang pertama di negara ini yang dirancang khusus untuk menjadi pusat pentadbiran kerajaan. Pelbagai infrastruktur disediakan dengan matlamat menjadikannya bandar raya serba lengkap dan berkualiti tinggi.
Sistem perparitan, bekalan elektrik, bekalan air, kamera televisyen litar tertutup (CCTV), perhubungan, pengangkutan dan sebagainya dirancang begitu teliti supaya menjadi prasarana yang dapat menyokong kawasan kediaman dan penduduknya. Namun, hasilnya kelihatan tidak menggembirakan walaupun banyak pelaburan dibuat. Bas-bas Nadiputra yang semuanya menggunakan bahan api gas NGV untuk alam persekitaran yang lebih bersih hanya penuh pada waktu puncak. Pada masa lain, bilangan penumpangnya kadangkala kurang 10 orang. Apakah yang sebenarnya tidak kena dengan Putrajaya ini? Satu faktor yang tidak diberi pertimbangan sewaktu semua perancangan ini dibuat lebih sedekad dulu, ialah manusia atau mereka yang bakal menghuni bandar raya ini. Apakah dengan membina infrastruktur kelas pertama, kita mengharapkan penduduk yang datangnya daripada segenap pelusuk negara ini secara automatik akan mengubah cara hidup mereka menjadi penduduk kelas pertama? Memang ada benarnya jika dikatakan ketidakseimbangan antara kemudahan dengan pemikiran penduduk inilah yang menjadi punca kegagalan yang dibincangkan ini.
Mengubah perangai atau tabiat lama itu sememangnya amat susah. Walaupun bas yang bersih, selesa dan lebih tepat waktu perjalanannya sudah ada memberi perkhidmatan, kita masih memilih untuk memandu kereta sendiri ke tempat kerja. Alasannya? Kereta lebih fleksibel, yakni boleh membuat perjalanan pada bila-bila masa. Macam lah waktu perjalanan bas-bas itu terlalu lama antara satu sama lain. Atau bas tidak sampai ke kawasan perumahan? Atau apakah kita masih dibelenggu sindrom kereta melambangkan status sosial seseorang? Lagi kurang bilangan penumpang dalam kereta, lagi tinggi martabat kita? Kalau masing-masing kita memandu ke tempat kerja, apa akan terjadi dengan ruang meletak kereta yang sememangnya disediakan pada tahap minimum di kompleks kementerian dan jabatan? Kita masih mahu menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak menyediakan kemudahan meletak kereta yang mencukupi? Atau salahnya terletak pada diri kita sendiri yang masih terbawa-bawa dengan tabiat lama di tempat baru? Sistem 'Park & Ride' yang tersedia tidak mendapat sambutan menggalakkan, sama ada di kalangan pekerja, mahupun pengunjung. Sepatutnya dengan pelaksanaan sistem ini, kawasan pusat (Presint 1) menjadi lebih selesa. Berapa penumpang yang ada dalam bas yang terbabit dengan sistem ini? Banyak lagi perkara yang boleh diperkatakan mengenai hal ini. Pada satu pihak, segala perancangan sudah dibuat untuk mewujudkan utopia Malaysia. Di pihak lain, kekurangan pelbagai kemudahan yang tidak setanding dengan jumlah penduduk juga dikatakan sebagai kegagalan sistem. Pokok pangkalnya, adakah kita yang tinggal di kawasan infrastruktur kelas pertama ini sanggup meninggalkan mentaliti dunia ketiga? Tepuk dada, tanya selera! Penulis ialah Perunding Perancangan Pengangkutan yang memegang Sarjana Sains dalam perancangan pengangkutan dari United Kingdom
Posted by CUEPACS
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment