KUALA LUMPUR, 28 Jan. - Polis tidak akan mengambil keterangan daripada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berhubung kenyataannya yang mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan ahli pergerakan Pemuda Umno dalam kes serangan gereja di Desa Melawati awal bulan ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata polis tidak perlu mendapatkan keterangan Azmin kerana beliau bercakap atas kepentingan politik semata-mata.
“Azmin hanya orang politik yang boleh membuat andaian dan tuduhan yang bermacam-macam,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Azmin semalam yang mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan Pemuda Umno Bahagian Gombak dan Ampang dalam kes membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, pada 8 Januari lepas.
Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata beliau sedang berusaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian anggota Umno yang didakwa terbabit.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Umno juga boleh membuat tuduhan kepada PKR sekiranya mahu, namun kerajaan mahu menumpukan untuk mengumpul bukti dan fakta terlebih dahulu dan tidak sekali-kali membuat tuduhan sembarangan.
Beliau berkata polis tidak akan pilih kasih dalam sebarang tindakannya setelah bukti yang diperolehi mencukupi tidak kira ia melibatkan orang Umno atau sesiapa sahaja yang didapati terlibat.
“Sekarang polis sudah bertindak termasuk menahan seorang anak pegawai polis. Ini menunjukkan pihak berkuasa tidak pilih kasih dalam tindakan yang penting setelah kita mempunyai bukti untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan pula berkata dakwaan tentang penglibatan Pemuda Umno dalam insiden itu hanyalah satu strategi baru pembangkang yang kini mensabitkan semua kejadian buruk kononnya datang dari Umno.
Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, Umno juga boleh menuduh PKR atau pembangkang melakukan perbuatan tersebut, tetapi Umno tidaklah sejahil itu untuk membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.
“Saya nak ingatkan pembangkang jangan buat tuduhan melulu. Jika ada bukti sila dedahkan. Yang penting Umno tak suruh. Jika misalnya ada ahli Umno yang terlibat mencuri, itu bukan Umno yang suruh. Itu yang penting,” katanya.
– BERNAMA
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment