MELAKA: Peringatan 'Judi adalah haram bagi orang Islam' di setiap kedai nombor ekor termasuk di negeri ini, kini boleh dianggap sekadar hiasan, berikutan segelintir masyarakat Islam, dilihat keluar masuk ke premis terbabit seolah-olah 'menghalalkan' aktiviti yang diharamkan.
Hanya kerana mahukan kekayaan dalam sekelip mata, kaki judi ini sanggup melabur banyak wang sehingga ribuan ringgit bagi mengejar pulangan lumayan, walaupun hanya segelintir daripada mereka sebenarnya yang bernasib baik.
Malah, ada antara mereka sanggup menggunakan bomoh ekor kononnya dapat membantu memberi petunjuk mendapatkan nombor bertuah.
Selain itu, ada juga tahi judi ini sanggup meminjam wang daripada keluarga dan sahabat semata-mata memenuhi tabiat berjudi. Ada pula yang bukan saja membeli satu tiket nombor ekor, malah puluhan tiket dengan harapan mampu memperoleh habuan wang ringgit yang dihajati. Hakikatnya, ramai kerugian akibat tabiat itu.
Tinjauan Berita Harian di beberapa kedai nombor ekor sekitar Semabok, Melaka Tengah, dekat sini, baru-baru ini mendapati premis terbabit mendapat sambutan masyarakat Islam.
Berdasarkan pengamatan, kebanyakan pembeli berusia antara 20-an hingga 40-an dan mereka tanpa segan silu sanggup berbaris panjang bersama-sama bukan Islam memegang kertas dan pen untuk membeli nombor ekor.
Ada juga yang memakai topi keledar ketika membeli nombor ekor bagi mengaburi pandangan ramai atau pihak berkuasa.
Selain rakyat tempatan, premis itu juga menjadi 'destinasi pilihan' warga asing untuk mencuba nasib.
Tinjauan juga mendapati terdapat segelintir suami yang tergamak membiarkan isteri kepanasan menunggu di dalam kereta di tepi jalan dalam keadaan jalan sesak bagi membolehkan mereka membeli nombor.
Lebih mendukacitakan apabila si suami yang selamba keluar dari kereta biarpun gelagatnya dilihat orang ramai yang lalu lalang berhampiran kedai nombor ekor.
Malah, lebih mengaibkan si isteri yang kelihatan 'alim' dengan bertudung seolah-olah memberi restu kepada suami demi mendapatkan wang segera dengan cara paling mudah.
Faktor lain yang menyumbang pertambahan bilangan tahi judi Melayu ini berikutan kakitangan premis perjudian nombor ekor memberi kerjasama dengan menjual nombor ekor tanpa menghiraukan status pembeli.
Seorang kaki judi Melayu yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmat, berkata urusan membeli nombor ekor cukup mudah dengan hanya membayar duit dan menulis nombor ekor atas sekeping kertas.
Beliau mengakui memperuntukkan minimum RM200 seminggu untuk membeli nombor ekor walaupun tidak selalu menang.
"Jika dikira jumlah wang yang saya laburkan sudah mencecah puluhan ribu ringgit sejak mula membeli nombor ramalan di universiti, namun saya tidak berputus asa untuk terus mencuba nasib," katanya yang mendakwa sukar menghentikan tabiat itu biarpun sudah berumahtangga dan mempunyai tiga anak.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani ketika dihubungi berkata, pihaknya baru-baru ini menahan 16 individu yang membeli nombor ekor di sekitar kawasan Melaka Tengah.
Katanya, semua yang ditangkap didakwa mengikut Seksyen 81 di bawah Enakmen Kesalahan Syariah negeri 1991 iaitu berjudi, sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.
"Tindakan ini bukan saja dikenakan kepada mereka yang membeli nombor ekor tetapi individu yang berada di dalam premis juga boleh dikenakan tindakan sama. Kita akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kegiatan ini terus mencemar nama Islam.
"Jaim hanya mampu menyebarkan kefahaman dan menyedarkan masyarakat Islam mengenai kepentingan mematuhi ajaran agama dan mencegah daripada melakukan perbuatan yang dilarang agama. Soalnya ia terpulang kepada individu atau kelompok masyarakat Islam itu sendiri untuk mengubah pandangan mereka untuk terbabit atau menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang," katanya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Wilayah/20091222073559/Article/index_html
BERSAMA BANTERAS ARAK DAN JUDI , MUSUH NO 1 UMAT ISLAM DI MALAYSIA BERSAMA PMBAJ DI http://pmbaj.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment