KERAKUSAN Presiden Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia), Tun Sakaran Dandai memanipulasi dan membolot semua harta Usia yang didermakan Parti USNO dan meletakkan hak sebahagian harta tersebut sebagai harta peribadinya amat dikesali dan tiba masanya berundur daripada menjadi Yang DiPertua Usia.
Mantan Pegawai Khas (Risikan) Allahyarham Tun Mustapha, Abdullahsani Haji Abdul Salleh, mendedahkan bahawa semua ahli USNO yang bernaung di dalam lebih 100 cawangan tertipu dengan helah Sakaran yang ketika itu memaklumkan bahawa beliau meletak hak dua pintu kedai empat tingkat atau satu pertiga daripada harta Bangunan USNO di Semporna atas nama dirinya kerana mendakwa beliau telah membayar premium ke atas tanah berkenaan bernilai RM60,000.
“Tetapi sepuluh tahun kemudian barulah terbongkar bahawa Tun Mustapha telah mengembalikan wang pembayaran premium yang dibayar terlebih dahulu oleh Sakaran melalui orang kepercayaan Tun Mustapha, Ridi Alawangsa,” ujar Abdullahsani yang mengakui terpana oleh pembohongan Sakaran ketika mesyuarat khas pembubaran USNO di Semporna.
Abdullahsani menekankan bahawa Bangunan USNO Semporna dibina pada 1970-an atas derma para pejuang dan partisan USNO dan bukannya dibina dengan peruntukan individu walaupun permohonan tanah didaftarkan oleh Penghulu Haji Hindi Basarani.
“Allahyarham Tun Mustapha telah menyerahkan semua harta USNO secara lisan tanpa ‘hitam putih’ menyebabkan Sakaran yang memimpin Usia ketika itu begitu rakus untuk meletak hak sebahagian harta yang didermakan USNO sebagai milik peribadinya dengan mencipta ‘cerita palsu’ pembayaran premium dan sebagainya," katanya lagi.
Tegas Abdullahsani, bagaimana harta ini boleh dipindahmilikkan kepada dirinya menjadi persoalan utama dan merupakan kecuaian terbesar ROS kerana sehingga kini Usia belum melantik sebarang Pemegang Amanah, tambahanpula hampir semua pemimpin Usia tidak amanah.
“Fasal 55 dan 56 Perlembagaan Usia jelas memperuntukan bahawa sebuah badan penjaga harta dan pemegang amanah wajib dilantik untuk menjaga semua harta Usia yang diperolehi melalui apa cara sekalipun, namun Usia memanipulasi kedua-dua fasal ini dan memfaraidkan semua harta kepada pemimpin tertentu yang semakin rakus membaham harta karun USNO,” ujar Abdullahsani lagi.
Abdullahsani turut menegaskan bahawa senario ini berlaku di seluruh Sabah dan akibat tidak ada badan menjaga harta dan pemegang amanah, maka banyak harta Usia ditadbirurus segala salah sehingga Bangunan Usia di Tawau (berhadapan Milimewa) kini ditadbir Pemegang Amanah Raya.
“Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia sewajarnya menyiasat bagaimana modus operandi ‘mencuri’ harta Usia dilakukan oleh pemimpin Usia dilakukan secara bebas dan terbuka seolah-olah Usia itu Sakaran dan Sakaran itu Usia. Kenapa pemimpin Islam dalam Usia begitu bacul?,” ujar Abdullahsani yang kesal kerana ROS tidak pernah mengarahkan Usia mematuhi Seksyen 55 dan 56 Perlembagaan Usia sedangkan ianya wajid dipatuhi secara mandatori.
Kejadian pecah amanah, kata Abdullahsani, begitu berleluasa di dalam Usia dan ‘kuasa Veto’ yang Di Pertua Usia menyebabkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa begitu menjadi-jadi di dalam NGO yang kini ‘dinaiktaraf’ sebagai sebuah agensi kerajaan kerana Setiausaha Agungnya, Haji Abdullah Hussin dilantik oleh Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman untuk ‘memperkuda Usia’ dari dalam bagi misi ‘1Borneo’ kerana Abdullah menerima elaun lebih daripada RM11,000 sebulan dan boleh berbelanja sesuka hati seolah-olah Usia adalah syarikat peribadinya.
Kini, kata Abdullahsani, Sakaran adalah liabiliti paling besar kepada Usia dan wajib mengundurkan diri daripada memimpin Usia, apatah lagi identiti sebenar dan pembohongan berlegasi Sakaran telah didedahkan Sabahkini.net sebelum ini.
Dalam pada itu, Abdullahsani mendedahkan bahawa pada 1992, semua Ahli USNO telah diterima sebagai ahli Usia secara automatik, selaras dengan persetujuan Pendaftar Pertubuhan selaras dengan langkah yang turut dibuat oleh UMNO yang menerima semua ahli dan cawangan USNO secara en-block dan kini Usia mempunyai 23 Bahagian di Sabah.
“Saya yakin bahawa saya masih ahli Usia kerana sebelum ini saya adalah ahli USNO yang diserap secara automatik terus ke dalam Usia. Tetapi mengikut maklumat yang saya terima, Usia tidak menyelenggarakan rekod keahlian sehingga berlaku cawangan yang tidak cukup ahli dan ahli yang tidak pernah wujud atau ahli hantu,” ujar Abdullahsani yang mengakui kelicikan Sakaran mengarahkan semua mesyuarat agung cawangan dan bahagian hanya dibuat di ‘atas meja’ tanpa sebarang prosiding mesyuarat.
Sehubungan itu, kata Abdullahsani, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) hendaklah mengarahkan agar Usia menundakan tarikh mesyuarat Agung yang dijadualkan pada 13 hingga 15 Oktober 2009 di 1Borneo bagi membolehkan Usia mengemaskini rekod.
“Perbetulkan dahulu rekod keahlian, cawangan dan bahagian. Setiausaha Agung bukan malaikat atau nabi yang mempunyai mukjizat untuk mengubah rekod di ROS yang turut bersubahat menerima laporan tahunan palsu yang dikemukakan Setiausaha Agung selama ini,” ujar Abdullahsani yang menyeru agar Usia kembali kepada landasan sebenar ditubuhkan Tun Mustapha seperti yang termaktub di Fasal 4, Perlembagaan Usia.
ROS juga kata Abdullahsani hendaklah membekukan semua harta Usia sehingga Badan Penjaga Harta dan Pemegang Amanah dilantik untuk mentadbir urus harta Usia dan ‘merampas’ kembali semua harta yang dipindahmilik secara tidak sah kepada Sakaran dan pemimpin Usia yang menjadikan pertubuhan itu sebagai lubuk emas.
“Persoalannya sekarang, adakah Majlis Tertinggi Usia turut bersubahat dengan Sakaran memperkayakan dirinya melalui harta Usia atau mereka tidak tahu menahu kerana banyak harta Usia telah dicagarkan atau dimajukan tanpa kelulusan Mesyuarat Agung atau Majlis Tertinggi. Sehubungan itu penyata tahunan dan penyata kewangan yang dibentangkan di dalam mesyuarat Agung selama ini adalah tidak sah dan batal kerana tidak menzahirkan kedudukan sebenar operasi dan kewangan Usia,” tegas Abdullahsani yang mendakwa Pemeriksa Kira-Kira gagal menjalankan tugas.
Oleh: JAMIL NASRAH
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment