Sehingga hari ini Sabtu 16 Mei 2009 pelbagai pihak sudah tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran Kg. Muslim. Antara yang membuat sumbangan termasuklah Menteri Wilayah Persekutuan RM 300 ribu, Jabatan Kebajikan Masyarakat RM 300 Ribu, Pejabat Parlimen Labuan RM 50 Ribu, Labuan Liberty Port RM 26 Ribu.
Turut menghulurkan sumbangan ialah Jabatan Belia & Sukan, Jabatan Penerangan, D'One Mart, Tunas Rakyat, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dewan Perniagaan dan Industri Kadazan dan orang perseorangan.
Sumbangan masih datang mencurah-curah sehingga catatan ini dibuat. Kepada yang ingin membuat sumbangan boleh terus sahaja ke Kompleks Sukan Labuan kerana difahamkan mangsa ini akan ditempatkan di Kompleks Sukan sehingga hari Isnin ini.
Satu kebakaran besar berlaku di Kampung Muslim minggu lepas. Kejadian menyaksikan hampir keseluruhan rumah di kawasan berkenaan musnah dalam kebakaran, termasuk kantin dan surau.
Usaha untuk memadamkan dan mengawal kebakaran oleh Jabatan Bomba, Bomba Sukarela, dan Rela agak sukar akibat cuaca kering dan berangin. Tekanan air juga dikatakan amat rendah sehingga memaksa Jabatan Bekalan Air Labuan menghantar bantuan bekalan air, sebagai usaha untuk mengawal kebakaran.
Kejadian yang berlaku berdekatan dengan Bengkel Jabatan Kerja Raya itu mengundang orang ramai menyaksikan kejadian tersebut dengan lebih dekat. Kunjungan LabuanKini di kawasan berdekatan menyaksikan suasana agak terkawal, tanpa sebarang gangguan, panik, walaupun keadaan lalulintas agak sesak pada sebelah tengahari.
Punca kebakaran masih belum dapat dikenalpasti.
No comments:
Post a Comment