
Jawapan Untuk PPP, Tendang Keluar!
Salam,
Imej BN jatuh merudum terutama selepas dilanda Tsunami politik pada PRU12 lalu. Terlepas genggaman di 5+1 negeri dan kehilangan majoriti 2/3. Malah ada Presiden parti komponen yang tewas.
Usaha memperkukuhkan BN sedang dipergiatkan oleh pimpinan baru BN, termasuk mewujudkan jawatan Penyelaras BN dan cadangan Puteri BN. Semua dilakukan untuk memastikan keberlangsungan BN menjelang PRU13.
Bagaimanapun, usaha pemulihan ini tidak mungkin akan berjaya tanpa kerjasama daripada semua parti. Komitmen dituntut di setiap peringkat gabungan BN. Tanpa kompromi, semua parti wajib memperkemaskan jentera dan mengelakkan konflik sama ada sesama parti gabungan atau di dalam parti masing-masing.
Namun, situasi pasti akan bertambah parah dan pemulihan akan gagal jika melihat apa yang berlaku dalam PPP. Sebuah parti yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi, walaupun prestasi dalam pilihanraya sangat mengecewakan. Dua kerusi diperuntukkan, pada tahun 2004 menang satu dan tahun lalu, kalah kedua-duanya.
Kini PPP ada dua Presiden, Kayveas dan Murugiah. Jika gaya politik zaman purba masih diamalkan, memecat ahli yang bakal mengancam kedudukan, seperti yang dilakukan Kayveas, pasti kemelut PPP sukar untuk berakhir.
Jawapan paling mudah untuk PPP ialah keluar dari BN dan selesaikan kemelut dalaman sehingga selesai. Sememangnya pun Kayveas sebelum ini pernah mengancam untuk keluar BN jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.Biar PPP 'berperang' di luar BN supaya imej BN tidak terus tercalar.
Atau, jika PPP enggan tapi tetap gagal mengatasi kemelut dalaman, jawapnya: Tendang Ja Keluar!
No comments:
Post a Comment