Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1980-an telah melancarkan skim cepat kaya . Syarikat-syarikat Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, MAS, bekalan air, khidmat pos, hospital, Taman Negara dan jalan raya – semua ini contoh syarikat dan harta orang yang diagih-agihkan olehnya kepada kaum kerabat dan kroninya.
Inilah skim cepat kaya Mahathir yang dijadikan dasar gerombolan United Malays National Organisation. Pada tahun-tahun itu, ketika Mahathir masih di takhta, kita ada mendengar berita Mamat Basikal Buruk jadi taukeh gedung-gedung perniagaan.
Kita mendengar Mat Drebar Lori jadi pemilik empangan terbesar. Kita mendengar Mat Sekolah Tak Tamat menjadi tuan punya syarikat penerbangan. Kita mendengar cerita Mat Tak Pandai Cakap Inggeris menjadi pemilik loji air.
Semua harta dan syarikat yang dimiliki orang ramai telah diambil alih untuk dijadikan milik peribadi. Semuanya dirompak untuk diagihkan kepada kroni.
Cara rompakan ini cukup senang: Para kroni mengajukan cadangan-cadangan dengan kertas kerja kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Bunyinya cukup lunak tetapi hakikatnya amat berlainan. Badan perancangan ini juga dirasuah untuk meluluskan rompakan ini. Para birokrat di badan perancangan ini juga mendapat habuan untuk meluluskan rompakan ini. Mereka bersubahat untuk sama-sama merompak.
Hasilnya di zaman Mahathir banyak lanun dan perompak menjadi kaya-raya.
Bayangkan puluhan puluh tahun syarikat dan harta ini cuba dibangunkan sedikit demi sedikit. Syarikat MAS - dari dua buah kapal terbang yang disewa akhirnya menjadi sistem penerbangan antarabangsa.
Bayangkan dari hanya beberapa buah peti pos akhirnya perkhidmatan pos berjaya memberikan khidmat ke seluruh negara.
Cuba fikirkan bagaimana hutan diteroka, jalan raya dan landasan keretapi dibuat.
Berapa bilion ringgit pelaburan telah dicurahkan oleh kerajaan? Berapa banyak masa, tenaga dan berapa banyak nyawa rakyat telah digunakan untuk mendirikan syarikat-syarikat ini?
Dalam sekelip mata sahaja semua harta ini dirompak oleh Mahathir. Harta-harta milik kita semua ini dengan begitu senang diagih-agihkan kepada kaum keluarga dan kroni.
Dasar rompak harta orang ramai inilah yang dipanggil dasar penswastaan. Dasar ini juga dikaitkan dengan apa yang dipanggil dasar globalisasi. Dasar ini membolehkan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa datang sama menjarah dan merompak harta negara kita.
Apakah kita lupa syarikat Air Kelantan pada satu masa dahulu sebahagian besarnya adalah milik Thames Water dari United Kingdom?
Tidakkah kita berasa takut apabila air yang kita minum ini tuan empunyanya ialah orang luar? Tidakkah kita berasa gerun apabila hospital kita adalah milik Singapura, Britain atau Amerika Syarikat?
Tidakkah kita terganggu apabila syarikat telefon kita kini dimiliki oleh Jepun, Korea Selatan dan Australia?
Dasar penswastaan telah berjalan lebih 20 tahun. Porak-peranda hasil pelaksanaan dasar ini sedang kita lihat. Sekolah dan universiti bukan lagi gudang ilmu untuk mendidik warga bangsa tetapi menjadi gedung "menipu" untuk membuat duit.
Hospital yang dulunya milik kita bersama kini apabila kita jatuh sakit kita pula kena bayar. Kita diberi ubat yang "tidak bermutu" tetapi jika hendakkan ubat yang bermutu – sila bayar.
Berapa banyak jalan raya sedang dihalang dengan tol. Air dan api dinaikan tarifnya saban tahun. Telefon terus melonjak sewanya. Untung, untung dan untung dijadikan akidah syarikat-syarikat swasta ini.
Dahulu - ketika semua syarikat ini dimiliki oleh orang ramai – jika dapat untung, keuntungan ini akan dimasukkan ke dalam dana negara. Apabila syarikat ini diswastakan, apabila ada untung, maka untung ini masuk ke dalam poket tuan pemilik saham syarikat ini.
Inilah bezanya antara syarikat milik kerajaan dengan syarikat yang diswastakan.
Sime Darby ingin merompak Institut Jantung Negara melalui penswastaan. Ia telah dipersetujui oleh Najib. Dia sendiri membuat kenyataan - dia tidak akan menghalang niat Sime Darby.
Kenapa projek penswastaan ini tidak diberitahu secara telus kepada wakil rakyat di Parlimen? Kenapa dengan tiba-tiba Najib bersetuju? Mana dia dasar ketelusan yang selalu diuar-uarkan oleh gerombolan United Malays National Organisation?
Semua perjanjian penswastaan dibuat dalam gelap. Hingga ke hari ini kita – orang ramai – masih belum dapat membaca perjanjian antara kerajaan dengan syarikat pemegang konsesi lebuh raya. Perjanjian syarikat ini telah dibuat dengan kerajaan.
Rakyat wajib berwaspada dengan dasar penswastaan. Orang ramai perlu membuka mata dan berjaga-jaga kerana perompak-perompak harta orang ramai ini masih berkeliaran.
Selagi mereka berkuasa, rompakan harta rakyat akan berterusan. Untuk ini kita tidak ada pilihan – hentikan dasar ini dan mereka ini kita keluarkan mereka dari tampuk kuasa.
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
No comments:
Post a Comment