Thursday, February 12, 2015

ATE !... DR HATTA JUGA DIJADIKAN KETUA !

Seorang lagi anak Anwar mengumumkan pelancaran satu inisiatif kebangkitan bagi menuntut keadilan terhadap bapanya yang dipanggil “March to Freedom”.

Nurul Nuha berkata, kempen itu ialah kesinambungan perjuangan untuk membebaskan Anwar dan memberi suara kepada rakyat yang menghadapi kezaliman di Malaysia.

“Marilah bersama kami dalam perjuangan ini. Sama-sama kita hentikan kezaliman," katanya pada sidang media itu.

Nurul Nuha berkata, tujuan utama kempen ialah bagi menyatakan yang Anwar menjadi mangsa keadaan sistem di negara ini.

Katanya, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli akan menjadi ketua sekretariat kempen “March to Freedom” itu. Perincian tentangnya akan diumumkan kemudian setelah sekretariat itu dibentuk.


“Bagi pihak keluarga kami, saya dengan penuh rasa rendah diri ingin menyampaikan rasa terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi dengan sokongan dan semangat solidariti daripada rakan serta penyokong di dalam dan luar negara.

“Semalam merupakan sebuah hari yang penuh dengan ujian. Harapan kami untuk tertegaknya keadilan musnah sama sekali,” kata Nurul Nuha, 31.

Katanya, selepas 17 tahun mereka bergelumang dengan tekanan, fitnah, gangguan dan penganiayaan, semuanya kini berakhir dengan Anwar dihukum penjara.

Sepanjang tempoh itu, kata Nurul Nuha, Anwar menunjukkan kesungguhan, erti keberanian, perjuangan, sifat belas kasihan dan yang paling utama, erti kasih sayang.

“Dialah contoh terbaik seorang yang berjuang menongkah arus melawan kezaliman. Nilai-nilai ini akan kekal bersama kami sehingga ke akhir hayat.

“Sebagai anak-anak, kami perlu mengambil alih, dan meneruskan perjuangan, harapan serta cita-cita ayahanda kami. 17 tahun yang lepas merupakan sebuah tempoh yang lama.

“Kita tidak tahu berapa lama lagikah perjuangan ini akan berterusan, tetapi kami akan bersama-sama dengan ayahanda kami sehingga nyawa berada di hujung badan,” katanya. – 11 Februari, 2015.

No comments:

Post a Comment

Ulasan dan komen adalah dialu-alukan ...