Rantaian bukti, peranan Jude Pereira jadi tumpuan peguam Anwar
Sampel DNA akan mengalami degradasi (terjejas kualiti) jika tidak
disimpan dengan segera dalam peti sejuk beku, kata peguambela Datuk Seri
Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan hari ini, dalam usaha mematahkan
hukuman yang disabitkan ke atasnya.
Menurut Ramkarpal Singh, sampel DNA milik Mohd
Saiful Bukhari Azlan hanya disimpan dalam kabinet pejabat pegawai polis
dan bukan dalam peti sejuk beku bagi mengelak degradasi dan pencemaran.
Ramkarpal, salah seorang daripada 14 peguambela Anwar, meneruskan hujah
selepas mahkamah berehat sementara, dengan mempersoalkan integriti
sampel yang diambil dan keadaan semasa ia disimpan.
Anwar, 67, dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun pada Mac tahun ini tetapi
mendapat penangguhan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan
yang bersidang sehingga esok. Beliau diikat jamin sebanyak RM10,000
dengan seorang penjamin.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu didakwa meliwat Saiful, bekas pembantunya di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun, 2008.
Ramkarpal berkata pegawai penyiasat polis gagal mematuhi prosedur dalam melindungi sampel itu.
Katanya, pejabat pihak pendakwaan mempunyai catatan menghuraikan prosedur yang sepatutnya diketahui semua penyiasat.
"Menurut catatan itu, sebaik diambil, bahan bukti itu perlu dihantar ke
satu bilik pengeringan yang sewajarnya, menunjukkan ia perlu dilakukan
secepat mungkin. Namun, perkara ini tidak dilakukan," katanya.
Sampel tersebut sebaliknya disimpan dalam laci kabinet selama 48 jam
lagi. Dalam senario ini, kemungkinan pencemaran bakteria berlaku.
Sampel itu diambil daripada Saiful pada 28 Jun, 2008 tetapi hanya dihantar ke Jabatan Kimia pada 30 Jun.
Saiful juga tidak pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan segera
selepas didakwa diliwat, tetapi menunggu 36 jam kemudian, kata
Ramkarpal.
Secara keseluruhan, mereka mengambil masa 96 jam bagi menghantar
sampel kepada ahli kimia kerajaan bermula dari masa kejadian didakwa
berlaku.
Bagaimanapun, ahli kimia kerajaan Dr Seah Lay Hong memberi keterangan
mengatakan DNA tersebut berada dalam keadaan "tidak tercemar".
Ramkarpal mempertikaikan keputusan ujian tersebut sama ada ia konsisten
dengan jarak masa yang digariskannya, mengatakan sampel dalam keadaan
tersebut tidak mungkin boleh dianggap "tidak tercemar".
"Saya juga boleh mempertikai mengatakan ia bukan sampel yang sama," katanya.
Kehadiran satu lagi DNA lelaki dalam sampel Saiful, yang diambil dari
kawasan perianal juga menimbulkan keraguan terhadap integriti sampel
itu, kata Ramkarpal .
Beliau berkata apabila terdapat keraguan, undang-undang biasa menuntut
perkara itu diselesaikan dengan berpihak kepada pihak tertuduh bagi
memberi manfaat kesangsian.
Menjadi satu kesalahan, kata Ramkarpal apabila Mahkamah Rayuan
meletakkan beban bukti kepada pihak pembelaan dan bukannya pihak
pendakwa.
Awal hari ini, pasukan peguam bela memberitahu mahkamah, DNA dari item
dalam lokap Anwar diambil secara tidak sah kerana tidak ada bukti
mengatakan Anwar menggunakannya iaitu berus gigi, botol air dan tuala.
Peguam bela juga membangkitkan beberapa perkara bagi menunjukkan Saiful
bukan seorang saksi berkredibiliti kerana keterangannya yang sentiasa
berubah.
Pasukan peguam bela Anwar terdiri daripada 14 peguam dan diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas ketua hakim persekutuan.
Anwar, 67, dijatuhi hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah Rayuan Mac
lalu, tetapi diberi penangguhan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan
selesai.
Beliau dituduh meliwat Saiful di sebuah kondominium di Damansara pada 26
Jun 2008. Mahkamah Tinggi membebaskan beliau pada Januari 2012 sebelum
keputusan diubah oleh Mahkamah Rayuan.
Kes liwat ini merupakan kali kedua dihadapi Anwar, pertama pada 1998,
apabila dituduh meliwat bekas pemandunya Azizan Abu Bakar. Namun, beliau
dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004.
Kali ini, karier politik Anwar mungkin berakhir jika mahkamah tertinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment