Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin

pasbs2

pasbs2

pasbs baner

pasbs baner

Wednesday, September 17, 2014

UCAPTAMA KETUA PEMUDA MUKTAMAR KE 55

UCAPTAMA KETUA PEMUDA PAS MALAYSIA, MUKTAMAR TAHUNAN PEMUDA PAS MALAYSIA KE-55 BERTEMAKAN "MEMPERKUKUH MUAFAKAT"
Saya ucapkan selamat datang ke negeri Johor Darul Takzim dan selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan, pemerhati dan tetamu yang menghadiri Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-55. Selaku anak jati Johor, saya sangat bersyukur dan gembira kerana inilah kali pertama dalam sejarah, kita mengadakan Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia di negeri Johor dan saya yakin Insya-Allah muktamar ini akan menyumbang kepada pencapaian politik dan dakwah yang lebih cemerlang kepada PAS Johor khususnya dan PAS Pusat secara amnya.
Saya mengajak semua para perwakilan supaya memanfaatkan muktamar ini sebagai wadah untuk kita berbahas mencari idea bernas sambil bermuhasabah untuk melihat kekuatan dan kelemahan yang perlu dibaiki agar gerakan kita lebih berkesan dan produktif berbanding masa yang lalu. Marilah kita mengingatkan diri masing-masing dengan sabda Rasulullah SAW:
من استوى يوماه فهو مغبون
Barang siapa yang hari ini (amalannya) sama seperti semalam, ia adalah orang yang rugi. (riwayat al Dailami)
A. TEMA MUKTAMAR
Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia kali ini mengangkat tema Memperkukuh Muafakat sesuai dengan realiti mutakhir yang dihadapi oleh PAS dan Pakatan Rakyat (PR). Tema ini juga bersesuaian dengan tuntutan permuafakatan yang jujur dan ampuh dalam mengurus kepercayaan rakyat yang diberikan kepada PAS dan PR. Dengan izin Allah SWT, rakyat Malaysia berani keluar daripada belenggu yang sekian lama menghantui pemikiran sehingga menyaksikan buat kali pertama dalam sejarah Pilihanraya Umum, Umno-BN hilang undi popular di peringkat nasional. Muafakat menuntut persefahaman, kejujuran dan komitmen untuk merealisasikan cita-cita bersama. Rakyat mendambakan sistem dua parti (two party system) yang menjadi mekanisme terbaik untuk melaksanakana proses semak dan imbang yang membawa maslahah kepada rakyat.
Pada masa yang sama permuafakatan dalaman parti juga wajib setiasa disegar dan diperteguh untuk mendepani cabaran mendatang. Posisi PAS sebagai parti arus perdana politik pada hari ini menuntut setiap pendokong parti khususnya di kalangan Pemuda PAS menginsafi bahawa kita sentiasa diperhati dan dinilai oleh rakyat dan kita mesti menzahirkan saf yang kukuh dan tindakan yang matang dan bijaksana. Muafakat bukan bermakna kita menolak kepelbagaian pandangan dan citarasa, tetapi perbezaan ini diuruskan dengan bijaksana dan mendukung adab al ikhtilaf supaya kita tidak tersasar daripada matlamat besar di hadapan.
Buah salak di dalam kantung,
Kulitnya keras isinya kelat,
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.
Marilah kita menghayati Firman Allah SWT: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” (Al-Anfal: 46).
Ayat yang saya petik ini merakamkan arahan Ilahi supaya kita mentaati Allah dan Rasul-Nya di mana inilah asas wahdah, kesatuan ummah yang terdiri daripada latarbekang keturunan dan daerah yang rencam. Keimanan kita kepada Allah dan Rasul-Nya memberikan kita keyakinan dalam setiap tindak tanduk kita termasuk dalam medan siasah kerana Allah menjanjikan kemenangan bagi golongan yang beriman secara mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya. Keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya memberikan kekuatan untuk menghadapi cabaran dan rintangan kerana motivasi kita bukanlah semata-mata meraih darjat dan pangkat, tetapi menyebar rahmat kepada seisi alam seperti yang dituntut oleh Allah SWT.
Allah SWT juga memberi amaran bahawa pertelingkahan yang tidak berkesudahan adalah penyebab kepada yang kuat menjadi lemah, berpecah dan akhirnya menjadi sejarah. Inilah sunnatullah yang akan berlaku kepada mana-mana kumpulan sekiranya pertempuran dalaman dibiarkan, maka seluruh kumpulan tersebut akan hancur akhirnya. Umpama peribahasa Melayu, “api itu, tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Jangan bermain dengan api, kelak terbakar diri sendiri”.
B. MUHASABAH AGENDA DPPM
Sidang muktamar yang dikasihi,
Firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: 18)
Sebelum kita melangkah lebih jauh, marilah kita merenung kembali perjalanan penuh ranjau yang telah kita tempuhi selama ini, dengan mengukur kekuatan dan kelemahan kita dalam menjayakan 6 Agenda Pemuda PAS Malaysia yang telah ditetapkan di awal sesi ini.
Agenda 1: Mencetus dan Menjuarai Isu Rakyat secara Konsisten, Sistematik dan Berkesan
Sepanjang 10 bulan lepas, kita telah menyusun dan menggerakkan bantahan rakyat terhadap beberapa isu kritikal yang memberikan kesan buruk kepada sebahagian rakyat. Antara tindakan yang telah digerakkan adalah gerakan ‘Suara Orang Kampung’ yang memperjuangkan nasib warga kampung yang dihimpit kejatuhan harga komoditi padi dan getah, ‘Bantah GST’ yang berjaya menghimpunkan jutaan rakyat membantah rejim cukai baru oleh Barisan Nasional, ‘TURUN’ yang berjaya membangkitkan amarah rakyat terhadap kenaikan harga barang, ‘Pertahan Kampung Chubadak’ bagi mempertahankan hak golongan peneroka bandar yang dizalimi, ‘Projek Auto 21’ untuk mendesak proses pendaftaran pengundi secara automatik dan telus, serta beberapa lagi isu nasional dan setempat yang dijuarai. Kita juga dalam rangka untuk mengangkat isu-isu berkaitan nasib golongan kelainan upaya (OKU) supaya kebajikan dan hak-hak mereka terbela. Di sebalik kejayaan menjuarai isu-isu sebegini, perlu diakui bahawa strategi pengurusan isu dan media oleh Pemuda PAS masih perlu diperbaiki bagi memberi natijah maksima dan penyelesaian terhadap perjuangan yang dibawa.
Agenda 2: Memantapkan Hubungan (Engagement) dengan Komponen Pakatan Rakyat, Gerakan Masyarakat Madani, NGO Islam, Media, Anak Muda dan Organisasi Luar Negara
Pemuda PAS mengambil pendekatan inklusif dalam membina jaringan dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara. Antara tindakan awal adalah mengadakan dialog dengan gerakan masyarakat madani seperti BERSIH 2.0, Gerakan Mansuh ISA (GMI) dan lain-lain. Pelbagai maklum balas yang jujur diterima daripada rakan-rakan kita tersebut. Seterusnya Pemuda PAS mengorak langkah bersama-sama dengan rakan-rakan AMK dan DAPSY untuk memantapkan Pemuda PR. Alhamdulillah sepanjang tahun pertama penggal ini, kerjasama antara sayap pemuda PR adalah baik. Beberapa mesyuarat Pemuda PR dapat dilangsungkan dan beberapa kenyataan bersama menyentuh isu-isu kritikal dapat diperakui oleh pimpinan Pemuda PR. Pemuda PAS juga berpartisipasi dalam sidang meja bulat anjuran agensi dan jabatan kerajaan berkenaan maslahah nasional seperti perpaduan dan pembikinan dasar belia nasional yang baru. Di peringkat antarabangsa, Pemuda PAS juga menggerakkan usaha menghidupkan AMSEC dalam format baru dan lawatan kerja ke Indonesia telah diadakan dalam menghimpun komitmen teman-teman daripada parti politik dan NGO Islam untuk meluncurkan AMSEC 2.0. Untuk makluman para aktivis Pemuda PAS, sokongan dan maklum balas teman-teman serantau terhadap idea kita untuk mewujudkan platform koordinasi tindakan pemuda Islam serantau sangat menggalakkan. Pemuda PAS juga telah menjalinan hubungan dengan wakil-wakil kedutaan dalam Dialog bersama Kedutaan yang telah diadakan baru-baru ini. Masih terdapat banyak kumpulan anak muda dalam dan luar negara yang belum disantuni oleh Pemuda PAS. Justeru tindakan yang agresif perlu dilaksana untuk melebarkan jaringan tersebut.
Agenda 3: Menggerakkan Agenda Bersepadu untuk Menguasai Sokongan Pengundi Muda Melayu
Pemuda PAS menginsafi bahawa untuk PAS menjadi dominan di Parlimen dan DUN, usaha menarik sokongan pengundi muda Melayu adalah perkara yang sangat mustahak. Sasaran 60% undi anak muda yang diletakkan oleh Pemuda PAS Malaysia pada PRU13 perlu dipertingkatkan bagi menghadapi PRU14 akan datang. Pada PRU yang lepas, hanya satu kerusi Parlimen PAS mencatatkan sokongan melebihi 70% undi anak muda diikuti sebahagian besar kerusi Parlimen yang dimenangi PAS di Kelantan dan Selangor mencatat sokongan melebihi 60% undi anak muda; dan menariknya setiap kerusi parlimen yang dimenangi PAS mencatatkan sokongan undi anak muda melebihi paras 53%. Ini bermakna, bagi beberapa kerusi yang gagal dimenangi oleh calon PAS, Pemuda PAS perlu mensasarkan penguasaan minima 55% undi anak muda untuk membuahkan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di kerusi tersebut. Selain daripada gerakan memperjuangkan nasib pekebun getah dan pesawah, inisiatif ‘Untukmu Sarawak’ yang diterajui oleh Pemuda PAS Sarawak adalah satu inisiatif yang amat baik. Inisiatif ini adalah langkah strategik untuk mendekati rakyat melalui program pembangunan dan kebajikan yang berimpak tinggi. Insha Allah, program-program di bawah jenama Untukmu Sarawak akan diperhebatkan untuk terus memenangi hati rakyat khusunya Melayu dan Bumiputera menjelang Pilihanraya Negeri yang dijangka seawal-awalnya tahun hadapan.
Pemuda PAS Sabah juga telah mengikut langkah Sarawak dengan melancarkan inisiatif Untukmu Sabah. Satu lagi usaha yang digerakkan oleh Pemuda PAS Malaysia untuk mendekati pengundi muda Melayu adalah penubuhan Jabatan Pembangunan Usahawan yang telah berjaya melancarkan produk sulungnya, IMPAK dan penjenamaan semula Akademi Kepimpinan Remaja (AKR) sebagai vehicle untuk mendekati anak-anak muda Melayu dengan program berkaitan keusahawanan dan pendidikan. Di samping itu, AMAL dan PASTI terus menjadi duta Pemuda PAS dalam memberi khidmat bakti melalui amal kesukarelaan dan pendidikan awal kanak-kanak. Selain itu, program menyantuni faqir miskin juga dilaksanakan dan kemuncaknya adalah pada bulan Ramadan yang lepas di mana program menyantuni fakir miskin dilaksanakan ketika bersahur dan menjelang berbuka puasa dilaksanakan di hampir semua negeri. Saya yakin Pemuda PAS juga mampu melahirkan tokoh berimej wira marhaen seperti yang diperlihatkan oleh Gabenor Indonesia yang menang PilPres Indonesia baru-baru ini, Joko Widodo atau Jokowi. Kelemahan kepada agenda ini adalah Pemuda PAS belum ada pendekatan bersepadu khususnya dalam pendidikan politik untuk mendekati pengundi Melayu muda. Pada masa yang sama, program-program yang disusun untuk mendakati anak muda Melayu oleh agensi-agensi Pemuda PAS masih belum menyeluruh hingga sampai ke akar umbi masyarakat di seluruh negara.
Agenda 4: Menerokai Pendekatan Dakwah yang Lebih Kreatif dan Berkesan
Usaha dakwah kepada masyarakat pelbagai kaum adalah fokus kita sebagai Pemuda PAS. Selari dengan keghairahan masyarakat kepada program Islami, Pemuda PAS juga tidak mahu ketinggalan dalam menyumbang buah tangan kita untuk terus menyemarak momentum positif yang berlaku dalam masyarakat. Sepanjang 10 bulan yang lepas, ada beberapa kelainan yang ditampilkan dalam program dakwah yang dilaksanakan bukan hanya di peringkat Pusat dan Negeri tetapi lahir daripada kreativiti Pemuda PAS Kawasan. Program seperti Street Dakwah, Usrah Kaki Lima (UK5) dan Ride for Dakwah adalah antara program yang telah dilaksanakan dengan pendekatan yang segar dan berjaya menarik perhatian anak muda biarpun dilaksanakan dalam skala kecil. Saya juga secara peribadi, mencuba pendekatan mengajak pimpinan Pemuda PR untuk sama-sama bersahur, berbuka dan menikati juadah pada malam Aidilfitri untuk menzahirkan keindahan Islam kepada masyarakat umum. Aspek yang perlu diperbaiki adalah berkaitan konsistensi, koordinasi antara agensi Pemuda PAS dan penjenamaan aktiviti dakwah agar program-program ini memberikan impak positif yang mendalam kepada masyarakat khususnya kepada anak muda.
Agenda 5: Memperkukuhkan Pengurusan Tarbiah dan Perkaderan dengan Lebih Dinamik
Agenda tarbiah dan kaderisasi dalam organisasi Pemuda PAS Malaysia merangkumi dua aspek kritikal iaitu aspek pemantapan fikrah dan pembinaan kemahiran semasa (soft skills). Program asasi seperti usrah dan tamrin dilaksanakan sekurang-kurangnya ke peringkat kawasan. Selain itu, Pemuda PAS Malaysia telah menganjurkan liqa bersama Tuan Guru Dato Seri Presiden di Baling, Kedah sebagai platform menyampai dan menyelaras perspektif aktivis Pemuda PAS berkaitan isu-isu mutakhir yang didepani parti. Pemuda PAS Malaysia juga mengatur jaulah tarbawi sepanjang bulan Ramadan al Mubarak sebagai kesempatan terbaik mempertemukan pimpinan Pemuda PAS di peringkat nasional dan penggerak di peringkat negeri dan kawasan sambil menghayati ibadah dalam madrasah Ramadan. Sepanjang setahun yang lepas, siri-siri kursus Amilin berjaya dilaksanakan di seluruh negara yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan latihan berkaitan kemahiran-kemahiran asas sebagai penggerak Pemuda PAS di peringkat negeri dan kawasan. Sidang Parlimen Mahasiswa telah dianjurkan untuk mengasah bakat pimpinan mahasiswa dalam berhujah dan membentangkan idea yang bernas dan kritis. Hubungan dengan organisasi mahasiswa dalam dan luar Negara juga dipertingkatkan untuk membina jambatan yang kukuh dengan mereka. Di samping itu, latihan kemahiran pilihanraya juga telah digerakkan ke seluruh negara melalui Kursus Pemantapan Jentera Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia (MANTAP). Namun, ada beberapa aspek yang boleh ditambahbaik dalam agenda tarbiah Pemuda PAS yang saya akan perincikan selanjutnya dalam ucapan ini.
Memperkasa Sistem Pengurusan dan Komunikasi dalam Organisasi
Keberkesanan organisasi besar Pemuda PAS banyak bergantung kepada kualiti pengurusan organisasi dan sistem komunikasi yang baik. Justeru, aspek pengurusan ini diangkat menjadi salah satu agenda Pemuda PAS Malaysia kali ini. Sepanjang tahun yang lepas, pihak sekretariat telah menambahbaik sistem UKJ sebagai bank data ahli dan penyokong Pemuda PAS selain ia menjadi saluran komunikasi dalam organisasi Pemuda PAS. Sistem yang ditambah baik ini dikenali sebagai UKJ 2.0. Pada masa yang sama, penjenamaan semula imej Pemuda PAS juga dilaksanakan dengan pengenalan imej dan logo baru Pemuda PAS akan disempurnakan dalam muktamar kali ini. Usaha ini dianggap penting kerana persembahan visual yang menarik adalah salah satu faktor yang menyumbang minat anak muda gen Y kepada kita selain aspek pengisian (substance) yang sentiasa kita segarkan dan mantapkan dari semasa ke semasa. Walaubagaimanapun, aspek sokongan yang bersifat dalaman seumpama urusan keahlian, permesyuaratan dan perlaporan masih banyak yang perlu diperbaiki.
Sudah pasti, dalam tempoh sepuluh bulan banyak pencapaian yang boleh dibanggakan dan tidak kurang juga banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Pencapaian dan muhasabah tersebut telah direkod dan dibentangkan secara terperinci dalam Laporan Aktiviti Tahunan yang akan dinilai oleh para perwakilan dalam muktamar ini.
Terang bulan angin berlalu,
Cerah dan gelap dirasai bersama,
Sepuluh bulan telah berlalu,
Salah dan Silap dibaiki bersama.
C. ISU-ISU SEMASA DARIPADA PERSPEKTIF PEMUDA PAS
Sidang Muktamar yang dirahmati Allah, Izinkan saya secara ringkas memajukan perspektif Pemuda PAS Malaysia dalam beberapa isu yang dianggap penting kepada kita semua.
1. Gaza dan Derita Ummah Sedunia
Pemuda PAS Malaysia mengucapkan setinggi tahniah kepada HAMAS dan rakyat Palestin khususnya di Gaza yang berjaya dalam peperangan menhadapi Zionis Israel demi mempertahan tanah suci milik rakyat Palestin. Ketika dunia mengira bahawa Israel terlalu ampuh, para pejuang kebebasan (freedom fighters) daripada briged al Qassam dan kumpulan-kumpulan pejuang yang lain memberi pukulan maut kepada tentera Zionis Israel sehinggakan gerombolan Zionis tidak mampu masuk ke kawasan Gaza lebih daripada sepuluh meter. Daripada manakah datangnya kekuatan ini? Inilah nusrah daripada Allah SWT. Kekuatan pejuang Gaza juga kerana sokongan moral yang diterima bukan hanya daripada umat Islam tetapi masyarakat dunia secara umumnya. Daripada Asia hingga ke Amerika Latin, dunia menyaksikan kebangkitan masyarakat sivil menolak kebinatangan Zionis yang membantai Gaza yang terkepung daripada darat, laut dan udara. Biarpun pemimpin dunia khususnya Amerika dan Eropah melontarkan sokongan kepada Zionis Israel, namun jutaan rakyat mereka turun ke jalan raya untuk membantah kekejaman Zionis ke atas manusia dan kemanusiaan di Gaza. Sekali lagi saya mengulangi ikrar yang dilaungkan oleh masyarakat dunia; Zionisme adalah musuh kemanusiaan!
Seperkara yang penting yang dapat dipelajari daripada kekentalan para pejuang Gaza adalah ketegasan dan ketekalan mereka memperjuangkan maruah agama dan tanah air. HAMAS menolak plan awal perjanjian damai tajaan Mesir sebelum ini kerana tidak dimuatkan dalam terma perjanjian tersebut bahawa embargo terhadap Gaza mesti dihentikan. Sudah hampir 10 tahun Gaza secara mutlak menjadi penjara terbuka. Akses ke Gaza melalui jalan laut mahupun udara disekat secara total oleh rejim Zionis. Inilah harga yang sangat mahal dibayar oleh para pejuang kebebasan semata-mata untuk melihat maruah rakyat dan tanah air tercinta dimartabat. Terbaru, regim Zionis Israel dan HAMAS telah bersetuju dengan gencatan senjata jangka panjang dengan Israel bersetuju melonggarkan sekatan di laut dan di darat ke Gaza. Ini bermakna Hamas telah menang dalam pertempuran 51 hari yang menyebabkan lebih 2100 orang rakyat Gaza gugur syahid.
Ketika Pemuda PAS berdiri teguh di belakang perjuangan HAMAS dan pejuang palestin, Pemuda PAS Malaysia pada masa yang sama menolak aliran irhabi iaitu aliran keganasan yang cuba dibawa oleh kumpulan-kumpulan tertentu atas nama Islam seperti ISIL. Pemuda PAS menegaskan bahawa jihad dan irhab adalah dua perkara yang jauh berbeza sebagaimana yang telah dihuraikan oleh pemimpin gerakan Islam sedunia termasuk murabbi kita, Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang. Aliran irhabi inilah menyulitkan keadaan yang sememangnya sudah cukup sulit seperti di Syria dan Iraq. Para pendokong Pemuda PAS seharusnya celik tentang perbezaan ini dan tidak terjebak dalam fitnah yang boleh menggelapkan kemuliaan Islam dan umatnya.
Pemuda PAS Malaysia memandang tinggi kepemimpinan Presiden Turki yang baru, Recep Tayyib Erdogan yang menjadi jurucakap yang lantang dalam menangani permasalahan umat Islam sedunia. Turki muncul sebagai kuasa baru yang berpengaruh dengan kekuatan kepemimpinan dan faktor demografinya yang strategik. Pemuda PAS Malaysia mencadangkan kerajaan Turki menggerakkan sebuah kluster baru yang menggabungkan negara-negara Islam yang lain termasuk Malaysia, Indonesia, Qatar dan Tunisia sebagai pemain baru yang aktif dalam isu-isu global mewakili blok Islam. Kluster ini adalah harapan baru dunia Islam selepas OIC yang langsung tidak dirasai kewujudannya khususnya dalam menangani konflik dan krisis kemanusiaan yang parah yang dihadapi umat Islam sedunia. Pemuda PAS juga meyakini perlantikan Tuan Guru Dato Seri Presiden sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama’ dan Cendekiawan Islam Antarabangsa yang dipimpin oleh Shaykh Dr Yusuf al Qaradawi, adalah satu pengiktirafan tinggi kepada PAS di peringkat antarabangsa dan kita meyakini bahawa tokoh kesayangan kita mempunyai kemampuan sebagai pemimpin dunia Islam untuk merintis jalan keluar kepada krisis yang dihadapi oleh umat Islam seperti peranan yang dimainkan oleh beliau di Acheh, Yaman dan Syria.
2. Tekanan Ekonomi Anak Muda
Satu realiti yang tidak dapat dinafikan adalah tekanan kos sara hidup merupakan kerisauan utama generasi muda Malaysia. Fakta ini disokong oleh dapatan kajian-kajian lapangan yang dibuat UMCEDEL dan Merdeka Centre sebelum dan selepas PRU13. Isu utama yang membelenggu anak muda antaranya adalah pengangguran, harga rumah yang tidak mampu-milik dan tidak mampu-bayar, harga kereta yang tinggi kerana duti eksais, hutang bank dan kad kredit, serta kos makan minum seharian yang mahal. Secara purata, sekitar 40%-50% gaji yang diterima akan digunakan untuk membayar ansuran kereta dan sewa rumah, 10%-15% untuk minyak dan pengangkutan, 20% untuk makan dan minum, dan selebihnya untuk belanja kecemasan atau sedikit simpanan jika ada.
Tidak sedikit graduan universiti yang tidak berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian. Kadar pengangguran di kalangan anak muda sangat tinggi iaitu 10.3%. Statistik ini sangat merunsingkan kerana pengangguran bukan sahaja memberikan kesan ekonomi yang buruk kepada rakyat tetapi juga kesan sosial yang meruncing. Bagi anak muda yang bernasib baik dan memiliki pekerjaan pula, 82.5% anak muda di bawah umur 30 tahun berpendapatan RM3000 ke bawah. Kajian menunjukkan bahawa purata gaji mula bagi graduan universiti hanya meningkat sebanyak 2.3 kali ganda dalam tempoh 30 tahun (kajian perbandingan antara tahun 1980 dan 2012) berbanding dengan kos sara hidup (harga rumah, kereta dan keperluan harian) yang meningkat sehingga 6 kali ganda. Ketidakseimbangan ini memberikan tekanan hidup yang melampau kepada anak muda terutamanya yang bekerja dan/atau tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru.
Isu kos sara hidup ini sangat dekat dengan anak muda, yang sebahagian besarnya tidak cakna-politik kerana isu ini menyentuh periuk nasi mereka. Sebagai penyelesaian kepada isu besar ini, Pemuda PAS berpendapat kerangka ekonomi negara dan rakyat memerlukan satu reformasi yang menyeluruh. Beberapa aspek asasi perlu diberi penekanan dalam masa terdekat oleh pihak kerajaan, peniaga dan rakyat untuk membentuk sebuah sistem ekonomi yang berkebajikan.
Pertamanya, program rumah mampu-milik yang lebih meluas, samada dalam bentuk pembinaan rumah siap, penyediaan rumah sewa atau kemudahan pembiayaan kewangan. Keperluan rumah adalah amat mendesak dalam situasi harga rumah di luar kemampuan anak muda yang sebahagian besar berpendapatan RM5,000 ke bawah.
Kedua, pengurangan harga kereta secara berperingkat dalam bentuk pengurangan duti eksais, pengecualian cukai atau rebat harga kereta, khususnya bagi menggalakkan penggunanaan kenderaan mesra-alam (green-car), di samping meningkatkan kualiti pengangkutan awam untuk menghubungkan kawasan kediaman dan tempat kerja.
Ketiga, disiplin fiskal di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri dalam mengurus perbelanjaan wang rakyat, dengan mementingkan aspek transparensi dan akauntabiliti bagi mengurangkan jurang defisit yang ditanggung kerajaan, di samping rejim cukai yang adil dan progresif, bukan sistem cukai yang membebankan golongan pertengahan sebagaimana yang digunapakai sekarang atau sistem cukai GST yang akan dilaksanakan pada April 2015, tetapi sistem cukai pendapatan dan keuntungan yang tinggi kepada golongan kaya dan berpatutan pada golongan pertengahan.
Keempat, jaminan kawalan harga barangan keperluan asas, yang dapat dilaksanakan dengan memecahkan elemen monopolli dan manipulasi dalam pasaran, yang melibatkan penguasaan kroni-kroni besar dalam mengaut keuntungan atas kesempitan hidup rakyat, seperti konsesi tol, penjana elektrik bebas, pemilik AP kenderaan, pemilik permit import beras, gula dan tepung, dan seumpamanya.
Ini menuntut kepada pimpinan Pemuda PAS di setiap peringkat untuk berperanan dalam memberi tekanan ke arah perubahan dasar kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, di samping menggerakkan usaha pembinaan ekonomi anak muda berdikari dalm bentuk peluang perniagaan dan keusahawanan sebagai antara solusi permasalahan besar ini.
3. Anak Muda dan Perpaduan Nasional
Serentak dengan pengisytiharan slogan 1Malaysia, provokasi yang menyemarakkan sentimen perkauman dan agama juga semakin menjadi-jadi. Utusan Malaysia dan TV3 digunakan secara maksima untuk menyampaikan dakyah bahawa Islam dan Melayu tercabar di bumi bertuah ini. Soalnya, mengapa mantra Melayu tercabar hanya dilaungkan di saat pengaruh politik Umno dan BN semakin lemah? Kalau betulpun Melayu tercabar, siapakah yang menjadi parti pemerintah sejak kemerdekaan Tanah Melayu? Pada masa yang sama, PAS ditohmah oleh UMNO dan sekutunya sebagai sudah mengorbankan prinsip perjuangan Islam. Lebih melucukan, mereka yang bergelar ‘pejuang Melayu’ atau ‘pejuang Islam’ ini juga menyatakan PAS hari ini kononnya sudah menyimpang jauh dari matlamat perjuangan asal dan mendesak agar PAS kembali kepada perjuangan sebenar.
Sejarah menjadi saksi bahawa muafakat rakyat berbilang kaum adalah mimpi ngeri kepada rejim pemerintah. Mari sama-sama kita imbas sejarah permuafakatan PUTERA-AMCJA yang muncul sebagai badan siasah pertama tanahair yang menggabungkan tenaga Melayu dengan bukan Melayu pada tahun 1947 dalam usaha menggerakkan perjuangan menentang penjajah. PUTERA adalah nama singkatan kepada Pusat Tenaga Rakyat yang merupakan gabungan kepada pertubuhan nasionalis kiri yang progresif seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin dan lain-lain pertubuhan. Manakala All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) pula adalah gabungan beberapa pertubuhan kiri dari kalangan bangsa Cina. Namun hayat gabungan ini, terutama pertubuhan-pertubuhan yang bergabung di dalamnya, tidak panjang dan berkubur akibat dari perisytiharan darurat yang dibuat penjajah British pada tahun 1948. Ternyata permuafakatan ini sangat digeruni sehingga sebahagian tokoh pertubuhan-pertubuhan tersebut ditangkap dan dihumban ke dalam penjara penjajah.
Fakta ini memberi tauladan kepada kita bahawa untuk mengimbangi kuasa dan hegemoni politik BN yang sudah kukuh berakar umbi sejak sebelum Merdeka lagi, ianya memerlukan kepada suatu kuasa politik yang juga berasas multi-racial. BN amat menyedari hakikat ini dan sedaya mungkin berusaha untuk memecahkan penentangnya supaya kekal terkurung dalam garis dan jalur bangsa dan ideologi politik masing-masing. Sifirnya selagi BN menjadi wadah tunggal mewakili kaum teras dalam negara ini dan dalam masa yang sama pembangkang masih tidak dapat bersatu, maka selagi itulah BN akan kekal memerintah.
Jadi, jelas kepada kita sentimen agama dan bangsa yang diapi-apikan ini adalah bermotif politik semata-mata demi membolehkan Umno/BN kekal berkuasa. Yang dibimbangi adalah kesan daripada permainan politik yang merbahaya ini bakal memberikan kesan buruk kepada masa depan negara dan boleh meruntuhkan kerukunan hidup rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai agama dan bangsa. Atas premis ini, saya mengajak seluruh anak muda samada di dalam atau di luar PAS agar kita tidak terjebak dalam politik sempit begini. Negara ini adalah negara kita dan kita akan mewariskannya kepada anak cucu kita kelak. Jangan biarkan sikap opportunis politik ini memusnahkan masa depan negara kita.
4. Perlaksanaan Syariah melalui Kerangka Demokrasi
Polemik perlaksanaan hukum hudud bagi negeri Kelantan telah sekali lagi menimbulkan debat yang tidak berkesudahan tentang kesesuaian syariat Islam dengan suasana semasa. Sebagai ummat Islam, kita meyakini bahawa Islam adalah suatu cara hidup (way of life) yang merangkumi seluruh tata aspek kehidupan manusia. Pemuda sesugguhnya berpegang kepada Fasal 5 (1) Perlembagaan PAS yang memperuntukkan bahawa antara tujuan PAS ialah untuk “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”. Atas komitmen ini, Pemuda komited dalam memperjuangkan perubahan Islami di dalam negara ini sebagaimana yang ditegaskan di dalam konsep Negara Berkebajikan PAS yang menekankan intipati good governance, prinsip ketelusan dan integriti, pembelaan ke atas golongan miskin, minoriti dan tertindas, agihan ekonomi yang lebih adil dan seimbang, pemulihan institusi penting negara, keluhuran Perlembagaan, pemantapan demokrasi, penghormatan terhadap hak asasi manusia dan sebagainya.
Pemuda jua ingin buat kesekian kalinya menegaskan bahawa apa jua agenda yang diperjuangkan PAS adalah dibawa sepenuhnya melalui proses demokrasi berparlimen kerana PAS memilih untuk berjuang di atas landasan demokrasi sejak dari awal penubuhan PAS lagi. PAS tidak akan sekali-kali memaksa agendanya diterima melalui ‘pintu belakang’ tanpa proses konsultasi yang sewajarnya sebagaimana yang dituntut dalam sistem demokrasi. Kita amat memahami rules of game dalam kancah sistem demokrasi di mana seandainya rakyat menolak hasrat kita ini melalui saluran yang demokratik, kita akur dan bersedia menelan hakikat tersebut.
Oleh yang demikian, Pemuda meyeru semua pihak agar menyedari dalam konteks Kelantan, PAS telah lima kali berturut-turut memenangi PRU di Kelantan di atas janji untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam. Manakala Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 telah di bentang, dibahas dan diluluskan dengan sewajarnya di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Begitu juga cadangan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi memberi ruang perlaksanaannya juga adalah melalui kerangka proses demokrasi yang sewajarnya dihormati oleh semua pihak. Justeru, Pemuda akan meneruskan pendekatan berdialog dengan sesiapa jua dalam rangka memberi kefahaman terhadap undang-undang Islam ini kepada masyarakat.
5. Krisis dalam Pakatan Rakyat di Selangor
Kejayaan memperolehi 52% undi popular dalam Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu menunjukkan betapa tinggi penerimaan dan harapan rakyat Malaysia kepada Pakatan Rakyat untuk membawa suatu bentuk tatakelola baru ke arah Malaysia yang adil, saksama dan bersih. Namun yang amat mendukacitakan kita, baru setahun selepas PRU, kita berantakan sesama sendiri hingga hampir memusnahkan jalinan hubungan yang telah kita semai sejak bertahun yang lalu dan memesongkan kita dari tanggungjawab sebenar untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Di mana janji-janji muluk untuk membawa politik baru di Malaysia?
Kesan buruk akibat dari krisis ini jangan dipandang enteng. Kajiselidik yang dijalankan pada bulan Mei lalu oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) menunjukkan bahawa sokongan kepada Pakatan Rakyat merudum ke paras 35% berbanding dengan tahap sokongan sebanyak 50% yang direkodkan semasa kajiselidik yang sama dibuat sebelum PRU lepas. Justeru Pemuda PAS menyeru kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat supaya mengambil berat perkara ini dan mengambil langkah segera bagi memperkukukan kembali hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Dapatan kajiselidik oleh UMCEDEL itu harus dijadikan wake- up call untuk kita memperbaiki organisasi dan kembali merapatkan saf. Jangan menunggu sehingga hasil kajian itu diterjemahkan dalam bentuk penolakan kepada kita dalam PRU ke 14.
Dalam apa jua krisis yang dihadapi, Pemuda PAS harus menunjukkan kematangan dan political acumen (ketajaman politik) untuk mengawal krisis tersebut daripada menjadi lebih parah. Ini bukan bermakna kita cuba menyekat kebebasan menyatakan pandangan. Kita tetap bebas utarakan apa jua sikap dan pandangan kita selaku orang muda yang lantang, kritis dan penuh idea namun ia mesti dilakukan secara tertib demi memperbetulkan keadaan. Bak kata orang tua-tua, ‘biar senget, jangan tertiarap. Biar titik, jangan tumpah”. Pemuda PAS tegas mempertahankan keputusan dan pendirian yang dibuat oleh PAS dalam krisis yang kita hadapi. Kita tidak sekali-kali izinkan mana-mana pihak pun memperlekehkan integriti parti kita. Namun, kita juga berusaha untuk mendamaikan krisis. Sebagai contohnya, ketika krisis Selangor sedang memuncak Pemuda PAS bersama rakan-rakan daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan DAP Socialist Youth (DAPSY) mengambil tanggungjawab mencadangkan pertemuan lapan mata dan kemudianya enam mata antara pimpinan utama PR. Pemuda PAS percaya walau setajam mana pun pertentangan dalaman yang berlaku, masih ada ruang untuk memperbaiki keadaan jika kita benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan pertentangan tersebut dan bukan berniat untuk menjadikan pertentangan itu sebagai alasan untuk berpecah.
6. Pertahan Kerajaan Kelantan
Kekalahan PAS di Kedah dalam pilihanraya ke-13 adalah suatu pengalaman yang sangat perit kepada kita. Hasil post-mortem parti mengenai prestasi PAS dalam PRU yang lepas mendapati punca utama kekalahan di Kedah adalah disebabkan masalah dalaman yang gagal diurus dengan baik. Akhirnya rakyat menghukum kita di Kedah. Kekalahan ini bukan sahaja memberi imej tidak baik kepada PAS di Kedah malah seluruh negara. PAS hanya bertahan satu penggal di Kedah seperti juga hanya mampu bertahan satu penggal di Terengganu dalam PRU ke-10. Sedangkan Pakatan Rakyat boleh mempertahankan kemenangan lebih daripada satu penggal di Selangor dan Pulau Pinang.
Dalam PRU ke-13 sokongan rakyat Kelantan yang tinggal di Kelantan telah merosot bawah 50%. Kemenangan PAS dibantu oleh sokongan daripada anak Kelantan di perantauan yang balik mengundi. Ini adalah satu isyarat bahawa rakyat tempatan Kelantan tidak berpuashati dengan prestasi kepemimpinan kita. Kita juga bimbang sekiranya anak Kelantan di perantauan tidak lagi pulang mengundi di negeri kelahiran mereka sendiri atas pelbagai sebab. Perlu diingatkan juga bahawa rakyat Kelantan terkenal dengan pemikiran politik yang kritikal dan dinamik. Sejarah telah membuktikan mereka boleh sahaja menolak PAS jika mereka tidak berpuashati dengan prestasi Kerajaan Negeri pimpinan kita. Faktor ketokohan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sangat berpengaruh dalam membantu kemenangan PAS di Kelantan sebelum ini. Ada di kalangan rakyat Kelantan yang tidak bersetuju dengan PAS tetapi sayang dengan kepemimpinan Tok Guru maka mereka mengundi PAS. Bagi sesetengah pengundi, pengaruh Tok Guru lebih besar daripada pengaruh PAS itu sendiri. Kini Tok Guru tidak lagi menjadi Menteri Besar Kelantan dan PAS belum teruji kekuatannya dalam Pilihanraya Umum tanpa faktor Tok Guru. Keadaan ini sangat membimbangkan.
Justeru perancangan rapi perlu dilaksanakan di Kelantan, masalah dalaman perlu segera diuruskan, perubahan kehendak rakyat perlu diteliti, nilai tambah kepada kerjaan Kelantan perlu dilaksana, janji pilihanraya wajib ditunai dan pemimpin mesti sentiasa bersama denyut nadi rakyat. Pemuda PAS Malaysia bersama Pemuda PAS Kelantan berikrar untuk membantu sehabis baik untuk mengekalkan kemenangan PAS di Kelantan dalam Pilihanraya Umum akan datang, insya Allah!
7. Pengurusan Krisis dalam PAS
Agenda memperkasa parti adalah satu kemestian pada waktu ini. PAS Pusat dilihat semacam tiada plan tindakan dalam mengurus konflik yang berlaku dalam parti. Perbezaan pendapat dalam PAS tidak diruskan dengan baik sehingga menjadi krisis yang parah. Pemuda PAS sangat sedih apabila Majlis Syura Ulama diperlekeh dan dipertikai oleh sesetengah ahli dan pihak luar. Isi kandungan mesyuarat boleh dicapai oleh media luar parti dengan begitu cepat. Perbincangan dalaman boleh sampai ke media pihak lawan. Media baru yang sepatutnya menjadi alat untuk berdakwah sudah menjadi alat untuk menembak kaki sendiri. Lebih malang lagi apabila masalah di rumahtangga jiran, tiba-tiba rumahtangga kita pula yang berantakan. Masyarakat umum menggeleng kepala melihat betapa lemahnya kita mengurus krisis sehingga luka kecil akhirnya bernanah.
Walaubagaimana pun kita masih belum terlambat. Saya yakin PAS mampu membuat perubahan dalam memantapkan pengurusan parti. Majlis Syura Ulama perlu diperteguh untuk terus memandu parti agar tidak terbabas daripada landasan syara’. Kita juga perlu sedar bahawa musuh-musuh kita sudah mengenalpasti ‘lubuk’ kita untuk terus dimanipulasi bagi melemahkan parti. Justeru aspek pengurusan krisis (crisis management) dalam parti perlu dimantapkan segera. Saya juga menyeru para pimpinan parti untuk menjadi qudwah dalam menunjukkan disiplin dan adab yang tinggi kepada ahli parti khususnya ketika mengahadapi satu-satu krisis. War Room PAS Pusat yang ditubuhkan perlu di aktifkan. Lembaga Disiplin parti juga dilihat terlalu lesu dan perlu diperteguhkan segera. PAS Pusat perlu lebih serius menguruskan krisis yang sedang berlaku.
D. AGENDA BERTINDAK
Untuk tempoh setahun daripada sekarang, saya mengajak seluruh pimpinan dan pendokong memberikan fokus mengisi 6 agenda bertindak Pemuda PAS Malaysia. Saya sangat yakin bahawa masih banyak yang mampu dilakukan oleh jentera Pemuda PAS di setiap peringkat dalam memastikan keenam-enam agenda bertindak tersebut dilaksanakan secara berkesan
1. Mencetus dan Menjuarai Isu Rakyat secara Konsisten, Sistematik dan Berkesan
Pemuda PAS mesti peka dan cakna terhadap masalah orang muda di sekeliling kita. Kita mesti memahami masalah anak muda dan mengetahui akar umbi masalah. Kehadiran Pemuda PAS hendaklah memberi manfaat kepada mereka. Falsafah orang Jawa menyebut: “Urip iki Urup” Hidup itu nyala. Hidup hendaklah memberi manfaat kepada orang lain sekitar kita
Tahap penggangguran di kalangan anak muda yang berada di atas paras 10%, gaji yang rendah, beban hutang yang tinggi, harga komoditi pertanian seperti getah dan padi yang rendah, kos sara hidup yang terus melambung dan keadaan akan menjadi lebih parah apabila GST akan mula dikuatkuasakan menjadi kerisauan anak muda Malaysia pada hari ini. Ini belum ditambah dengan evergreen issues yang lain seperti gejala sosial, peningkatan kadar jenayah, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain. Tuntasnya, isu-isu anak muda di sekeliling kita begitu banyak. Persoalannya, apakah kita peka dan bingkas menjadi jurucakap rakyat dalam meperjuangkan isu-isu tersebut? Memperjuangkan isu rakyat juga bukan sekadar dengan mengeluarkan kenyataan media atau berdemonstrasi semata-mata sebaliknya aktivis Pemuda PAS seharusnya lebih kreatif dalam mengangkat isu-isu tersebut dan memenangi hati anak muda dengan keprihatinan kita yang genuine.
Kelemahan kita dalam mengurus isu-isu anak muda mesti diatasi. Walaupun kita ‘dihadiahkan’ dengan isu-isu yang sangat baik, sekiranya isu tersebut gagal ditangani dan diurus secara berkesan, maka isu-isu tersebut tidak akan dapat menggugah sang pemerintah sekaligus meringankan keperitan rakyat. Justeru, Saya mengarahkan kepada semua Pemuda PAS Negeri untuk segera menubuhkan bilik tempur (war room) yang dipengerusikan oleh Pengarah Strategi Pemuda PAS Negeri untuk memastikan pengurusan isu dapat dilaksanakan secara berkesan.
Saya juga menyeru pimpinan mahasiswa mengambil kesempatan daripada pindaan AUKU untuk lebih agresif dalam mengangkat permasalahan orang muda ke tengah-tengah masyarakat dengan kekuatan idealisme dan iltizam tegar yang diasuh di menara gading. Ini ditambah dengan lanskap politik negara kita yang telah berubah di mana Umno-BN hilang mandat 2/3 dalam parlimen dan pengaruh gerakan sivil yang semakin melebar dalam masyarakat. Saya menaruh harapan yang besar khususnya kepada gerakan mahasiswa Islam untuk menjadi peserta yang aktif dan trampil dalam arena politik negara kerana inilah potensi yang digeruni oleh pemerintah.
2. Memantapkan Hubungan (Engagement) dengan Komponen Pakatan Rakyat, Gerakan Masyarakat Madani, NGO Islam, Media, Entiti Anak Muda dan Organisasi Luar Negara.
Fokus utama saya dalam setahun yang akan datang adalah memperkukuhkan Pemuda Pakatan Rakyat bagi memastikan kombinasi ini benar-benar mantap untuk memikul harapan rakyat. Antara agenda yang akan diusulkan adalah program pendidikan politik, sesi dialog pemuda PR, agenda bersama Pemuda PR, keahlian bersama Pemuda PR dan Konvensyen Pemuda PR. Pemuda PR perlu terlebih dahulu merobohkan tembok perkauman sempit di kalangan para pendokongnya sekiranya mahu melihat terbangunnya Malaysia baru yang terbina atas nilai-nilai persaudaraan yang universal.
Menyedari bahawa isu-isu penindasan dan kemunduran umat Islam di rantau ini seperti isu Rohingya, isu Selatan Thailand, isu kedaifan umat Islam di Kemboja, isu konflik umat Islam selatan Filipina memerlukan pembelaan daripada pemuda Islam maka Pemuda PAS berazam untuk menghidupkan semula AMSEC sebagai platform mengkoordinasikan tindakan Pemuda Islam ASEAN dalam menangani isu-isu umat khusunya di rantau ini. Pengupayaan semula AMSEC 2.0 juga selari dengan inisiatif komuniti ASEAN yang dilakukan di peringkat kerajaan-kerajaan Negara ASEAN. Format keanggotaan AMSEC ini akan ditambah baik di mana penyertaanya bukan hanya di kalangan parti-parti politik Islam, bahkan daripada kalangan NGO atau ORMAS Islam utama di negara-negara ASEAN.
Isu-isu bersama membabitkan Malaysia dengan negara jiran kadangkala menjadi panas sehingga mewujudkan ketegangan diplomatik. Contohnya isu VEP (Vehical Entry Permit) dengan Singapura, isu tuntutan Sabah dengan Filipina, isu pembantu rumah dengan Indonesia, isu keganasan di selatan Thailand dan isu blok minyak di Brunei. Anak muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan perlu didedahkan dengan isu-isu bersama negara jiran. Maka Pemuda PAS merasakan perlu membina jaringan anak muda enam negara jiran. Pemuda PAS akan menggerakkan Dialog Anak Muda Enam Negara yang meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina dalam masa yang terdekat. Saya mengarahkan Lujnah Antarabangsa segera merealisasikan agenda pengupayaan AMSEC dan Dialog Anak Muda Enam Negara serta melaksanakan inisiatif membina jariangan sosial serta pendidikan dengan negara-negara luar yang berpengaruh.
Engagement melalui media baru adalah salah satu platform yang wajib dimanfaatkan oleh pimpinan dan agensi Pemuda PAS untuk mendekati anak muda. Rata-rata anak muda pada hari ini adalah daripada gen Y atau net-gen. Mereka sangat aktif bersosial melalui platform media sosial. Di Malaysia, pengguna Facebook lebih daripada 13 juta iaitu hampir separuh daripada jumalah rakyat Malaysia dan kumpulan umur terbesar pengguna FB adalah daripada 18-24 tahun. Bahkan hari ini aplikasi-aplikasi seperti whatssapp, wechat dan lain-lain telah mengubah dinamika komunikasi anak-anak muda pada hari ini. Pemuda PAS harus menekuni trend dalam berkomunikasi ini untuk mendampingi anak muda. Kita menginsafi betapa ramai diktator digeruni tumbang di tangan keyboard warriors. Pada masa yang sama, kita harus cermat dan kreatif dalam menyampaikan mesej dan kerana sebarang keterlanjuran dan ke‘poyo’an akan dihukum serta-merta oleh net-gen ini termasuklah ditroll tanpa belas kasihan.
3. Menggerakkan Agenda Bersepadu untuk Menguasai Sokongan Pengundi Muda Melayu
Pemuda PAS mengharapkan kerajaan PR khususnya di Pulau Pinang dan Selangor yang memiliki komposisi masyarakat berbilang kaum, menunjukkan contoh terbaik bahawa nasib Melayu terbela dan dimartabatkan di bawah polisi-polisi yang dilaksanakan oleh kedua-dua kerajaan PR tersebut. Pemuda PAS melihat inilah antara aspek yang masih kurang menonjol dan usaha hendaklah digiatkan khususnya di bawah portfolio pembangunan luar Bandar dan portfolio belia dan sukan. Pemuda PAS berpandangan bahawa dasar afirmatif tetap relevan untuk membantu Melayu, Bumiputera dan bangsa lain yang hidup melarat. Kami menyeru supaya Kerajaan PR meneruskan perlaksanaan dasar afirmatif secara mapan dan berkesan yang benar-benar mampu membela nasib Melayu dan bangsa lain yang terpinggir daripada limpahan kekayaan ekonomi. Kita tidak mahu ada di kalangan warganegara yang tercicir daripada menikmati limpahan kekayaan negara. Sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan, secara sendiri terkuburlah khurafat yang mengatakan bahawa orang Melayu hanya bermartabat sekiranya berada di bawah Umno.
Tidak keterlaluan sekiranya saya mengatakan bahawa PAS masih belum benar-benar memahami citarasa anak muda Melayu pada hari ini. Walaupun kita berulang kali memperkatakan tentang matlamat untuk memenangi hati dan minda anak muda Melayu, kita masih belum begitu berjaya dalam merealisasikan matlamat tersebut khususnya di kawasan luar Bandar. Sudah tentu ada perkara yang perlu difikirkan semula dalam menyusun strategi untuk menguasai kumpulan sasaran ini. Pemuda PAS mengusulkan kepada Pusat Penyelidikan PAS (PPP) dengan kerjasama Institut Kajian Polisi (IKP) Pemuda PAS Malaysia menggerakkan siri-siri kajian lapangan selain daripada mengambil manfaat daripada kajian-kajian ilmiah di universiti untuk merumuskan kesimpulan terbaik berkaitan pendekatan yang sesuai untuk mendekati orang Melayu di negara kita.
Pemuda PAS juga harus memperhebatkan usaha pendidikan politik di kawasan luar bandar dengan pendekatan yang sesuai dengan anak muda luar bandar. Pemuda PAS mesti memecahkan pemikiran perkauman melampau di kalangan pemuda Melayu muda yang menjadi salah satu punca kekalahan PAS dalam siri PRU yang lepas. Secara relatifnya, kesedaran politik dan akses terhadap maklumat alternatif masih rendah di kawasan luar bandar. Pada masa yang sama, program seperti wacana atau diskusi politik semasa ‘tidak laku dijual’ di kawasan ini kerana tahap pendidikan masyarakat yang rendah. Seperti peribahasa Melayu, tebu ditanam takkan peria yang tumbuh, saya menyeru seluruh jentera Pemuda PAS supaya berani mencuba pendekatan baru dan kreatif termasuklah menyampaikan pendidikan politik secara tidak formal melalui pendekatan sukan, hiburan, adat resam setempat, kesukarelawan, keraian dan pendekatan-pendekatan lain yang berimpak tinggi. Agensi-agensi Pemuda PAS terutamanya AMAL, DACS, PASTI, Jabatan Pembangunan Usahawan dan Jabatan Pendidikan Politik akan mengepalai usaha ini bersama agensi-agensi yang lain untuk menjayakan agenda ini.
4. Menerokai Pendekatan Dakwah yang Lebih Kreatif dan Berkesan.
Mutakhir ini, kelihatan arus dakwah dalam masyarakat kita semakin kuat. Program televisyen, radio, majalah, novel hingga dakwah jalanan, semuanya mendapat sambutan daripada masyarakat khususnya di kalangan generasi muda. Ini adalah suatu perkembangan yang menggembirakan kita. Pada masa yang sama, Pemuda PAS wajib memainkan peranan dalam terus menyemarakkan minat dan kesedaran masyarakat untuk beragama ini. Saya memuji kreativiti para Pemuda PAS dalam menganjurkan pebagai program dakwah secara kreatif seperti UK5, Street Dakwah, Busking Dakwah, Ride for Dakwah, filem pendek Islami dan lain-lain. Walaubagaimanapun, kita tidak mahu program bersifat one-off sebaliknya program-program ini mesti disusun secara berterusan dan sentiasa ditambahbaik sehingga menjadi jenama yang kukuh dan diminati oleh masyarakat khususnya di kalangan anak muda.
Salah satu aset Pemuda PAS adalah kita memiliki ramai asatizah dan ulama muda samaada graduan universiti dalam mahupun luar negara. Begitu juga ilmuan yang dilahirkan daripada pondok dan pesantren. Kita juga memiliki barisan ‘protaz’ yang memiliki kefahaman asas Islam yang mantap dan mampu menyampaikan fikrah Islam dengan baik. Mereka sememangnya bergerak dan mengisi pelbagai platform dakwah termasuk dalam media massa utama. Sudah sampai masanya aset ini disusun secara sistematik bagi memastikan mesej yang disampaikan selari dengan manhaj dan pendirian yang murni dan wasati yang dipegang oleh jamaah kita. Tidak mengapa menggelarkan diri sebagai pendakwah bebas selagi mana terikat dengan penyusunan dan fikrah jamaah.
Dakwah kepada non-Muslim adalah salah satu aspek yang masih ketinggalan dalam program dakwah kita. Ia adalah jawapan terbaik untuk meyanggah budaya politik berasaskan sentimen dan prejudis perkauman yang sengaja dimarakkan oleh Umno-BN dengan tujuan mendapatkan keuntungan politik. Penekanan dakwah kepada non-Muslim juga sangat penting disemarakkan di Sabah dan Sarawak untuk meluaskan pangkalan sokongan PAS di negeri-negeri berkenaan. Konsep berdakwah sambil melancong sesuai dipraktikkan di Sabah dan Sarawak oleh para pendakwah muda dari Semenanjung Malaysia ke arah merancakkan lagi usaha penerangan Islam kepada masyarakat berbilang kaum di sana. Saya juga mengingatkan para penceramah dan nuqaba’ supaya cermat dalam menyentuh agama-agama dan kepercayaan-kepercayaan lain kerana penghinaan dan cacian terhadap kepercayaan agama lain adalah perkara yang dilarang oleh Islam dan menyebabkan golongan non Muslim semakin jauh daripada Islam.
5. Memperkukuhkan Pengurusan Tarbiah dan Perkaderan dengan Lebih Dinamik.
Sepanjang setahun yang lepas, kita begitu pilu dengan kehilangan sekurang-kurangnya dua tokoh tarbiah yang banyak berjasa iaitu al Marhum Dato Harun Taib dan al Marhum Dato Abu Bakar Chik rahimahumullah. Mereka meninggalkan legasi gemilang dalam mengasuh para qiyadah dan amilin parti yang tidak sedikit jumlah mereka. Saya menyeru Pemuda PAS di setiap peringkat untuk memperhebatkan program tarbiah dengan melibatkan para murabbi kita terutamanya Tuan Guru Presiden PAS sendiri selain turut memberi fokus dalam membina kumpulan pakar tarbiah di kalangan pendokong Pemuda PAS sendiri.
Saidina Umar al Khattab berpesan:
ربوا أبناءكم على غير أخلاقكم فإنهم خلقوا لزمان غير زمانكم
“Didiklah anak-anak kamu bukan mengikut cara kamu dididik kerana mereka dilahirkan untuk zaman yang bukannya (sama) dengan zaman kamu”.
Cabaran dan expectation terhadap perkaderan PAS pada hari ini lebih mencabar. Kita menghadapi mad’u daripada gen Y yang terdedah dengan pelbagai maklumat yang menyebabkan mereka mempunyai perspektif tersendiri terhadap sesuatu subjek ataupun isu. Justeru para nuqaba kita di setiap peringkat; sekolah, universiti dan semua lapisan masyarakat harus mempunyai empati dan bijaksana dalam mendekati dan mengasuh anak-anak muda dalam circle tarbiyyah kita.
Tarbiah kita bermatlamatkan untuk melahirkan rijal yang memiliki aqidah yang mantap, fikrah yang cemerlang, akhlak yang murni dan punya kemahuan serta kemampuan yang tinggi untuk berjuang. Saya mengulangi seruan yang disampaikan oleh mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia yang lepas, al-Fadhil YB Ustaz Nasrudin Hasan al-Tantawi dalam muktamar yang lepas bahawa perlunya silibus tarbiah kita disemak semula untuk memastikan bahawa silibus tersebut dapat disegarkan dengan input-input semasa termasuk ijtihad-ijtihad politik dan taujihad tarbawi yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama (MSU) dan para murabbi tarbiah PAS. Saya bercita-cita untuk melihat dalam masa terdekat kita mampu menerbitkan silibus tarbiah




No comments: