Denmark
sekali lagi mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia di dunia
berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network,
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2013
(World Happiness Report 2013).
Tahap kegembiraan sesebuah negara dinilai berdasarkan enam elemen penting iaitu kesihatan jangka hayat (health life expectancy), persepsi terhadap rasuah (perceptions of corruption), KDNK per kapita (GDP per capita), kebebasan untuk membuat pilihan hidup (freedom to make life choices), sokongan sosial (social support) dan juga and kemurahan hati (generosity). Laporan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Earth Institute di University of Columbia itu mengklasifikasikan tahap kebahagiaan pada skala 1 hingga 10. Denmark mendapat 7.693 mata manakala Malaysia pula berada di tangga ke-56 dengan 5.760 mata dari keseluruhan 156 negara yang tersenarai.
Apa yang
menarik, kelima-lima negara yang mengungguli carta negara paling gembira atau
bahagia di dunia adalah negara yang terletak di utara eropah iaitu Denmark (1),
Norway (2), Switzerland (3), Netherlands (4) dan juga Sweden (5). Jadi, apakah
punca sebenar rakyat di negara tersebut gembira dan bahagia? Adakah faktor
cuaca dan lokasi sesebuah negara?
Daripada
pemerhatian dan pengamatan penulis yang berada di bumi Denmark selama hampir
tiga tahun, terdapat banyak faktor yang mendorong Denmark menjadi negara paling
gembira di dunia. Apa yang pasti ia bukan disebabkan faktor cuaca kerana negara
di skandinavia mengalami musim sejuk yang panjang. Mana mungkin, seseorang itu
boleh menjadi lebih gembira sekiranya sentiasa dibelenggu cuaca yang sejuk dan
dingin sepanjang tahun. Jadi apakah faktor sebenar yang melayakkan Denmark
digelar sebagai negara paling bahagia?
Kebajikan
rakyat terjaga
Denmark
sememangnya cukup dikenali sebagai model contoh sebuah negara kebajikan. Semua
warganegara mempunyai hak yang sama dalam aspek keselamatan sosial dan beberapa
perkhidmatan disediakan untuk rakyat secara percuma. Contohnya kemudahan
kesihatan. Di Denmark, setiap individu bebas memilik klinik panel dan doktor
keluarga masing-masing. Ini termasuk semua penduduk sama ada berstatus penduduk
tetap ataupun sementara. Semua diberikan insurans kesihatan bagi menjamin
kebajikan orang yang menetap di Denmark terjaga.
Tidak
keterlaluan dinyatakan bahawa negara ini turut menitikberatkan kebajikan haiwan
peliharaan. Penulis sendiri pernah melalui pengalaman yang merumitkan walau
sekadar ingin memelihara ikan kecil di dalam rumah. Ini adalah kerana untuk
memelihara ikan, sampel air di rumah perlu dihantar untuk dianalisis dan perlu
membeli akuarium yang mempunyai saiz tertentu serta lengkap dengan peralatan
khas termasukkan sistem pengaliran udara dan juga penapisan air. Pendek kata,
jika tuntutan tersebut tidak dapat dipenuhi maka ikan tidak akan dijual. Semua
langkah ini dijalankan bagi memastikan kebajikan ikan yang bakal dipelihara
terjaga.
Pendidikan
percuma
Dalam
sistem kebajikan Denmark, pendidikan juga adalah percuma dari sekolah rendah
hingga universiti. Kadar literasi di Denmark antara yang tertinggi di dunia
iaitu 99%. Pendidikan awal kanak-kanak lebih tertumpu sebagai tempat membina
kemahiran berdikari dan bersosial serta menyuburkan nilai murni dan jati diri.
Pelajar sekolah tidak terbeban dengan timbunan kerja sekolah yang perlu
dilangsaikan setiap hari. Sekali seminggu, guru akan membawa kanak-kanak kecil
melawat zoo, muzium, taman rekreasi dan tasik dengan hanya menaiki pengangkutan
awam seperti bas dan juga keretapi tanpa perlu menempah bas sekolah atau van.
Mudah dan senang bukan?
Semua
mahasiswa di universiti tidak perlu membayar yuran pengajian bagi institusi
pengajian tinggi awam dan juga hampir semua institusi pengajian tinggi swasta.
Malahan semuanya ditawarkan bantuan kewangan bulanan yang dikenali sebagai
Statens Uddannelsesstøtte (The State's Educational Support). Institusi
pendidikan di Denmark mempunyai tahap yang tinggi dan menggabungkan pendekatan
pembelajaran yang inovatif bagi menghasilkan pelajar yang berperananan aktif
dalam masyarakat berasaskan pengetahuan global. Apa yang menarik, institusi
pendidikan turut mendapat manfaat daripada kerjasama yang erat dengan pihak
industri dan institusi penyelidikan lain bagi memperkayakan suasana
pembelajaran yang efektif untuk pelajar.
Kerja
sedikit, gaji banyak
Organisation
for Economic Co-operation and Development (OECD) pada tahun lalu melaporkan
pekerja di Denmark mempunyai purata tempoh waktu kerja yang kedua terendah
selepas Netherlands iaitu hanya 33 jam seminggu. Semua pekerja turut
memperolehi sekurang-kurangnya lima minggu cuti bergaji untuk bercuti di musim
panas. Tidak dinafikan pekerja di Denmark juga turut selesa menikmati gaji
bulanan yang tinggi. Misalnya gaji minimum yang disyaratkan oleh kerajaan
Denmark adalah 115 danish kroner iaitu kira-kira RM66 sejam.
Bagaimanapun,
pekerja dikenakan cukai yang cukup tinggi. Purata cukai yang dikenakan adalah
dari 38-55% bergantung kepada jumlah pendapatan tahunan. Malah, potongan cukai
boleh mencapai sehingga 68%. Walaupun cukai yang dikenakan tinggi, warga
tempatan seolah reda kerana mereka sama-sama dapat menikmati kemudahan dan
prasana kelas pertama yang disediakan kerajaan. Misalnya, jaringan pengangkutan
awam yang efisen serta pilihan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang
baik.
Selain
itu, undang-undang buruh negara Denmark mengamalkan konsep 'flexicurity' iaitu
gabungan unik di antara fleksibiliti (flexibility) dan juga keselamatan ataupun
jaminan (security). Konsep unik ini membolehkan majikan bebas melantik atau
memecat pekerja. Bagaimanapun, sekiranya dipecat, pekerja tersebut akan
dilindungi kerajaan yang mana penganggur berhak mendapat gaji minimum yang
membolehkannya menyara hidup sehingga mendapat kerja yang baru dalam tempoh dua
tahun.
Pekerja
juga mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Kebanyakan majikan membenarkan
pekerja memilih waktu masuk kerja. Apa yang penting kerja yang ditugaskan
diselesaikan dalam tempoh waktu kerja yang ditetapkan. Lebih menarik, ibu yang
melahirkan anak boleh mendapat cuti bersalin dengan gaji penuh sehingga
setahun. Manakala si bapa pula boleh mendapat cuti bergaji jika pasangan
bersalin hingga tiga bulan. Menarik bukan?
Persekitaran
sihat dan selamat
Penduduk
di sekitar bandar Copenhagen gemar menggunakan basikal untuk ke sesuatu tempat.
Oleh itu kesesakan lalu lintas adalah sangat kurang walaupun pada waktu puncak.
Situasi ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar malah baik untuk kesihatan.
Masyarakat tempatan juga gemar melakukan aktiviti riadah tanpa mengira waktu.
Seringkali kelihatan orang ramai bersenam dan berjoging tidak kira dalam
kehujanan, pada waktu malam malah semasa salji turun sekalipun. Di kawasan
kejiranan pula banyak disediakan taman kecil dan tempat beriadah. Sementelahan
itu, jika cuaca baik, maka berpusu-pusu orang ramai keluar bersiar-siar atau
hanya sekadar duduk di bangku di beranda sambil menikmati sinar mentari.
Malah
sewaktu musim sejuk sekalipun mereka gemar menceriakan suasana sambil
beristirehat di rumah dengan memasang lilin beraroma atau lebih dikenali
sebagai 'hygge' dalam bahasa tempatan. Perkataan itu sendiri sebenarnya sukar
didefinisikan kerana mempunyai konotasi berbeza-beza. Tetapi boleh ditakrifkan
sebagai keselesaan. Contohnya, dengan menikmati secawan kopi sambil dibaluti
selimut sambil membaca buku. Suasana sebegini sudah tentu mendamaikan dan
membuatkan hati menjadi tenang dan selesa.
Antara
faktor lain yang menjadikan seseorang itu sentiasa gembira adalah apabila
berasa selamat. Kadar jenayah di Denmark secara keseluruhannya rendah. Jarang
sekali terdengar kes tembakan, kecurian atau rompakan. Tirai besi tidak
diperlukan untuk membaluti tingkap kaca rumah. Anak kecil juga boleh bebas
bermain di sekitar kediaman tanpa ibu bapa perlu risau bahaya kes penculikan.
Lantaran
itu, faktor sebegini mendorong rakyat di Denmark menjadi sentiasa ceria dan
gembira serta sangat berpuas hati dengan kehidupan masing-masing. Memang
penduduk negara kaya cenderung untuk lebih bahagia tetapi kekayaan sesebuah
negara bukanlah menjadi faktor penentu untuk mengukur tahap
kebahagiaan.M/Insider
Oleh Muhammad Imran Ismail
* Penulis
adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark
No comments:
Post a Comment