90 penduduk Paya Jaras bakal miliki geran tanah sendiri
– SEPTEMBER 21, 2013
SUNGAI BULOH 21 SEPTEMBER : Seramai 90 orang penduduk Kampung Matang Jaya, Paya Jaras berasa teruja kerana penantian puluhan tahun untuk memiliki geran tanah bakal ditunaikan Kerajaan Negeri.
Seorang penduduk, Manimegalaen,35, berkata beliau amat terharu tanah yang diduduki selama lebih 20 tahun bakal menjadi miliknya.
“Akhirnya impian saya untuk memiliki geran tanah sendiri selepas segala urusan pada pagi ini selesai, terus-terang saya merasa sangat-sangat gembira kerana sudah menunggu bagi tempoh yang lama untuk memilikinya,” katanya.
Bagi Rajasami,67, pula berkata usaha Kerajaan Negeri memberikan hak milikan kepada penduduk wajib dipuji kerana ia membuktikan kepedulian pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Saya ingin ucapkan terima kasih khusus kepada Kerajaan Negeri dan Tan Sri kerana membuktikan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan beliau sentiasa mengutamakan kehendak rakyat yang selama ini dipinggirkan kerajaan sebelumnya,” katanya.
Manimegalaen dan Rajasami ditemui ketika menyelesaikan urusan pemilikan geran tanah yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama firma guaman yang terlibat di Dewan Orang Ramai Kampung Matang Pagar dekat sini, hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Safie, 41 berpendapat jumlah bayaran premium RM1,000 yang dikenakan Kerajaan Negeri adalah tidak membebankan rakyat yang ingin memiliki geran tanah sendiri.
“Biarpun belum selesai lagi prosesnya, saya rasa jika perlu dibayar RM1,000 pun saya sanggup kerana ia masih berpatutan dan saya percaya penduduk lain juga sependapat dengan saya,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir PKNS, Ismarazi Ismail berkata urusan pengambilalihan geran tanah ini mempunyai beberapa peringkat sebelum penduduk dapat memiliki geran tanah sendiri.
Katanya, PKNS sentiasa membantu bagi melicinkan proses berkenaan dengan bertindak sebagai pengantara diantara penduduk dan firma guaman serta pejabata tanah.
“Tujuan utama program kita hari ini adalah membantu melicinkan proses pemilikan geran tanah supaya penduduk tidak perlu bersusah payah untuk ke firma guaman serta pejabat tanah kerana rata-rata penduduk tidak tahu mengenai kaedah serta prosesnya,” katanya.
Dalam pada itu, Ismarazi berkata, semua penduduk berkenaan dijangka dapat memiliki geran tanah sendiri dalam tempoh sebulan selepas semua urusan diselesaikan oleh Pejabat Tanah.
1 comment:
Alhamdulillah...saya doakan semoga Allah panjangkan umur dan berkati Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kekalkan pemerintahan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor dan negeri2 yang lain. Takbir !!!
Post a Comment