Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata sebuah bot Catamaran bernilai RM2 juta yang ditempah kerajaan negeri, tiba di perairan Kuala Terengganu untuk kegunaan mengangkut penumpang di Tasik Kenyir.

"Bot Catamaran yang dibuat di Johor itu sampai di Jeti Dataran Shahbandar Kuala Terengganu pada Rabu lepas dengan mengambil masa perjalanan melalui laut selama 20 jam 40 minit manakala sebuah lagi akan sampai tidak lama lagi.

"Kami tempah dua bot berkenaan untuk memberi perkhidmatan mengangkut penumpang di pulau-pulau dalam kawasan Tasik Kenyir apabila tasik itu dijadikan kawasan bebas cukai tahun depan," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya di Kemaman.

Ahmad berkata bot Catamaran itu, untuk 100 penumpang bagi satu perjalanan, boleh dijadikan model pembelian bot lain kerana bot-bot yang sedang beroperasi di tasik itu kini ada yang sudah tidak sesuai dan perlu dinaik taraf.

Dengan adanya bot berkenaan, ia akan mengubah suasana perkhidmatan bot di Tasik Kenyir kerana ia memberi imej baharu sesuai dengan kawasan zon bebas cukai tasik buatan manusia itu, katanya.

dari Bernama 6:37PM at  19 Ogos 2013