Komen : Memang sah SPR menipu
SPR: Dakwat kekal guna pewarna makanan, bukan bahan kimia
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui hari ini di Dewan Rakyat tiada bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, sebaliknya digantikan dengan pewarna makanan.Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu dalam transkrip jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang mahu SPR menjelaskan kandungan dakwat kekal tersebut memandangkan keberkesanannya semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dipersoalkan kerana boleh ditanggalkan. "Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna makanan yang diluluskan," kata Shahidan hari ini.
Kenyataan tersebut nyata berbeza dengan penjelasan SPR sebelum ini yang mengatakan mereka menggunakan Nitrat Perak dalam dakwat kekal sebelum ini dan memberikan alasan pengurangan kandungan tersebut sebagai punca kemelut dakwat kekal tersebut ditanggalkan berlaku.
Shahidan juga berkata tarikh luput dakwat kekal adalah empat bulan daripada tarikh ia dikeluarkan serta menyalahkan pengundi yang sengaja berusaha menanggalkan dakwat tersebut sebagai punca ia tidak kekal.
"Kesan ketahanan penggunaan dakwat kekal adalah tertakluk kepada individu dan usaha-usaha yang dilakukan bagi tujuan menghilangkan dakwat kekal berkenaan," katanya lagi.
Dalam jawapan bertulis lagi, Shahidan juga memberitahu dewan sejumlah RM6.9 juta dibelanjakan untuk penggunaan dakwat kekal disamping perbelanjaan tambahan RM200 ribu meliputi kos pengangkutan, pembungkusan serta penyimpanan dan menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM7.1 juta.
Shahidan turut berkata SPR tidak bercadang untuk memaklumkan maklumat pembekal dakwat kekal kepada umum atas sebab keselamatan.
Pakatan Rakyat menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi kerajaan walaupun menang undi popular dalam Pilihan Raya 2013.
Isu dakwat kekal yang boleh ditanggalkan antara penipuan didakwa oleh PR dilakukan oleh SPR, malahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu dalam perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah menggesa orang awam untuk membuat laporan polis jika mereka berhadapan dengan insiden dakwat kekal tanggal daripada jari mereka sebaik mengundi pada 5 Mei lalu.
Malahan, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan dakwat kekal yang digunakan pada PRU13 tidak kekal lama selepas dicalit.
Barisan Nasional (BN) mempertahankan kuasa dalam pilihan raya 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen, lebih 21 daripada syarat 112 kerusi Parlimen untuk menang majoriti mudah.
Walau bagaimanapun, kemenangan BN kali ini lebih kecil di Parlimen sejak negara Merdeka pada 1957.
PR enggan menerima kekalahan tersebut, sebaliknya mempertahankannya dengan kemenangan undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN 48 peratus — keputusan sama yang diperoleh pemerintah pada 1969 selepas kehilangan undi popular.
PR juga telah memfailkan 39 petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan di dalam 25 kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana BN menang dengan majoriti kecil, yang didakwa mereka hasil penipuan semasa pilihan raya.
Walaupun tedapat bantahan besar ke atas pengendalian PRU13, SPR menegaskan mereka telah menjalankan pilihan raya secara adil dan berjaya, serta memberikan jumlah tinggi yang keluar mengundi sebanyak 84.84 peratus sebagai bukti keyakinan terhadap sistem pilihan raya di Malaysia. - 26 Jun, 2013.
No comments:
Post a Comment