Tertekan.
Jiwa berselirat beban.
Segalanya serba tidak kena.
Dihantui bayang-bayang resah.
Itu semua adalah mainan biasa bagi mereka yang pernah berhutang dan dikejar pemiutang. Malah jika ada yang tersasul jalan memilih Ah Long sebagai tempat berhutang, barangkali hidup pasti lebih parah dan tertekan. Ah Long sebagaimana umum tahu, mereka akan menggunakan apa sahaja cara ‘hitam’ demi mendapatkan wang kembali. Bukan itu saja, mereka juga akan mengenakan ‘bunga’ yang sama sekali tidak masuk aqal bahkan menyeksa penghutang.
Masalah hutang yang paling popular saat ini ialah PTPTN. Saya percaya, sangat ramai graduan Universiti yang berhutang dengan PTPTN masih belum mampu membayar apatah lagi melunaskan kesemua jumlah ribuan ringgit hutang yang bergunung itu. Dan dalam banyak-banyak graduan yang tidak mampu membayar hutang, bukanlah kesemuanya berniat tidak mahu membayar, tetapi barangkali atas faktor keluarga, silsilah hidup yang naif, susah mendapat peluang pekerjaan, gaji yang tidak setimpal, kos sara hidup yang menekan atau apa sahaja problem yang menghantui penghutang.
Segalanya ini tentu saja boleh menyebabkan penghutang terdesak dan tertekan. Bahkan lebih menyesakkan bilamana sistem kehidupan kapitalisme sekarang sangat terarah menjahanamkan manusia supaya selalu terikat dengan bebanan hutang atau dipaksa membayar segala kos protokol hidup yang tidak munasabah. Sila baca mengenai konteks mengenakan riba, bunga, cukai, tol, perompakan wang rakyat, kenaikan harga barang mendadak dll.
Bayang-bayang Hitam Hutang
Terus terang saya katakan, saya juga saat ini dihantui oleh lembaga hitam bernama hutang. Lembaga hitam ini mula mengganas bila mana saya melangkah keluar dari alam IPT, dan terus mengejar ke benua Ardhil Kinanah. Segala surat menuntut bayar balik pinjaman – MARA, Lembaga Biasiswa Negeri Kedah – terus menerus dihantar ke rumah.
“Jika tidak melunaskan, akan diambil tindakan undang-undang.” Ini amaran surat.
Surat amaran turut dihantar kepada penjamin, yang juga sekampung dengan saya. Maka, apabila surat itu sampai yang seringkali menjadi mangsa perli sinis ialah mak saya sendiri.
“Nanti kalau ada duit, bayarlah balik hutang. Mak terasa juga bila orang dok cakap-cakap pasal itu. Cakap pula di depan orang ramai, lebih lagi terasa.”
Pengaduan mak membuatkan telinga saya panas berdesing. Terngiang-ngiang sehingga kini. Ia bagai halilintar membelah bumi, terus menusuk ke sukma tanpa terhalang.
“Tak apa mak, nanti Farid cuba usahakan untuk bayar, dan buktikan pada mereka.” Gigi geraham saya berketuk-ketuk menahan geram.
Usaha Bermula
Dipertengahan tahun 2010, saya mendapat sokongan dan idea dari rakan-rakan blogger untuk menghimpukan artikel bagi mengeluarkan sebuah buku sendiri. Terdetik di hati, mungkin dengan cara ini selain dapat menyebarkan secebis ilmu, dapat juga saya menjelaskan hutang tertunggak itu.
Saya bersetuju dengan sebulat suara untuk menerbitkan buku tersebut. Pada asalnya buku itu akan diterbitkan di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Namun atas sebab-sebab teknikal, ia tidak berjaya dicetak di sana. Saya jadi sedikit kecewa. Lantas pulang ke Malaysia, dengan harapan besar buku itu boleh diterbitkan di Malaysia.
Kemudian saya cuba menghantar buku tersebut ke syarikat penerbitan di Malaysia. Akan tetapi tiada jawapan balas positif. Sehinggalah satu hari saya dicadangkan oleh seorang rakan untuk menerbitkan secara sendiri. Ini bermakna saya memerlukan wang sebanyak RM5,000 sebagai modal untuk kos percetakan.
Alhamdulillah, selepas daripada itu ada seorang hamba Allah sudi membantu. Beliau menyuntik modal penuh sebanyak RM5,000. Saya berjanji padanya akan membayar setelah mendapat hasil. Lantas saya mengusahakan sendiri dengan menjual buku tersebut ke serata tempat. Ini termasuklah meletakkan buku tersebut di toko-toko buku terpilih dan mengedarkannya kepada rakan-rakan.
Tidak berapa lama kemudian, saya mendapat tawaran daripada Mustread Sdn. Bhd. untuk mencetak buku Travelog: Debu-debu Kota 1000 Menara. Tawaran itu tidak saya lepaskan memandangkan pasaran berwasilahkan syarikat penerbitan buku agak luas berbanding dipasarkan sendiri.
Selesai cetak, pihak Mustread memanggil saya untuk ke pejabat utama di Kuala Lumpur bagi menandatangani kontrak perjanjian. Pihak Mustread juga bertanyakan kepada saya mengenai buku Travelog yang berada di pasaran ketika itu. Mereka menyuruh saya menarik balik kesemua buku tersebut kerana ia telah melanggar etika perjanjian kontrak. Saya terkesima sebentar.
Dalam fikiran saya, tidak lain tidak bukan hanya memikirkan bagaimana untuk menjual buku berjumlah 1000 naskhah dan membayar balik wang pinjaman RM5,000. Walhal penjualan buku Travelog tersebut telah terbantut, dan sudah tentu ia bakal menjadi khazanah yang melorekkan garis hitam dalam kehidupan saya. Saya menyesal. Tetapi sesalan itu tidak lagi membawa apa-apa erti. Saya harus menelan hempedu kerugian.
Hingga saat ini, saya hanya mampu mengedarkan buku dan menjual kepada kenalan rapat. Tidak lagi mampu menyebarluaskan walaupun dengan mengiklan di laman sosial ataupun blog.
Buntu.
Proses Menuntut Hutang
Seperti yang dijanjikan, pemiutang akan segera memungut hutang apabila sampai tempohnya. Saya pula masih terkial-kial sendiri – jadi serba tidak kena. Manakan tidak, hampir beratus buah buku Travelog ini bertimbun di rumah. Sedangkan pemiutang sudah berkali-kali tanya mengenai hutang tersebut. Jujurnya, saya bukan berdiam diri untuk menghasilkan duit. Khususnya demi melangsaikan hutang tertunggak. Siang malam saya bekerja keras mengumpul wang, tetapi ada saja dugaan yang menimpa.
Membina Perniagaan Sendiri
“Abang berniaga ini bukan apa, disamping untuk keperluan kita, abang perlu tolong keluarga dan yang paling penting mahu selesaikan hutang.”
Berkat pertolongan isteri dan hasil duit yang saya kumpulkan. Saya bina perniagaan sendiri – Fareiyla Design & Souvenirs Enterprise. Modal permulaan hanya dikumpul sikit demi sedikit. Antara sebab utama untuk saya berniaga ialah mahu membayar hutang tertunggak.
Siang malam saya bertungkus lumus, bahkan hingga larut malam saya bekerja sendirian di kedai hanya semata-mata mahu mengumpul wang segera. Tetapi perancangan Allah SWT lebih hebat.
Bulan Oktober, adalah tarikh yang saya janjikan untuk membayar hutang. Allah SWT hadirkan ujian dengan berupa kesempitan wang. Kereta saya rosak dan kosnya memakan himpunan wang dikumpul. Dalam kesempitan itu, abang saya juga mahu melangsungkan perkahwinan dan dia memohon agar saya membantu sedikit sebanyak perbelanjaan persiapan kahwin.
Saya buntu lagi.
Ramai orang menyangka saya sudah jadi kaya-raya serta jutawan apabila memilik syarikat sendiri. Hakikatnya hidup bukan semudah kalian berbicara. Mahu berjaya, bukan semudah memasak Mee segera. Demi Allah, saya tidak lari daripada mahu membayar hutang. Siang dan malam saya memikirkan tentangnya, bahkan berusaha keras ke arah itu!
“Ya Allah, hanya Engkau aku berserah dan mengharap. Allah, bantulah aku…”
9:21PM, 16 Oktober 2011,
Pasir Gudang, Johor.
Faridrashidi.Com
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment