Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin

pasbs2

pasbs2

pasbs baner

pasbs baner

Tuesday, June 28, 2011

TAAT DAN WALA' DALAM PERSPEKTIF HARAKAH ISLAMIYAH

TAAT DAN WALA' DALAM PERSPEKTIF HARAKAH ISLAMIYAH

Persoalan taat dan wala' sering kali diperbahaskan oleh para pendokong
harakah Islamiah. Namun, seiring itu juga kita dapat memerhatikan gerak
kerja dan sikap para anggota harakah bersalahan dengan kefahaman taat dan
wala'. Tulisan ringkas ini bertujuan menjelaskan pengertian taat dan wala'
kepada setiap individu yang bergabung dengan gerakan Islam dalam negara ini.
Ketaatan kepada Allah, Rasul dan Ulil Amri adalah suatu kewajipan yang
diperintahkan oleh Allah Taala di dalam Al Quran.
Firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan
Rasul dan Ulil-Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. [ Surah An Nisa’:59 ]
Taat kepada Allah dan Rasul


Imam Ibnu Jarir At Tabari R.H dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini
bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah pada segala
perintah dan larangan-Nya. Taatilah kamu kepada Rasulullah kerana ketaatan
kamu kepada Rasul merupakan ketaatan kepada Allah. Kerana ketaatan kamu
kepada Rasul itu adalah perintah dari-Nya”.

Kata Imam At Tabari lagi dalam meriwayatkan pendapat para ulama mufassirin
yang lain,”Ayat ini adalah perintah Allah supaya mentaati Rasulullah S.A.W
sewaktu baginda hidup pada segala suruhan dan larangannya serta mengikut
sunnahnya setelah kewafatannya”.

Taat kepada Ulil Amri

Para ulama mufassirin berbeza berkenaan maksud Ulil Amri di antaranya :
1. Para pemimpin.
2. Para ulama, fuqaha’ dan agamawan.
3. Para Sahabat Nabi Muhammad S.A.W.
4. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.


Pendapat yang rajih (kuat) di sisi Imam At Tabari maksud Ulil Amri
berdasarkan hadis-hadis yang sahih daripada Nabi S.A.W, Rasulullah
memerintah agar taat kepada pemimpin selagi mana pemimpin itu taat kepada
Allah dan menjaga kemaslahatan umat Islam.
Dalam menjelaskan perkara ini al-Hafiz al-Imam Ibnu Katsir meriwayatkan
dalam tafsirnya sebuah peristiwa yang berlaku ketika mana Nabi S.A.W
menghantar sekumpulan tentera yang diketuai seorang lelaki dan memerintahkan
para sahabat supaya taat kepadanya. Sampai di suatu kawasan, lelaki tersebut
mengarahkan agar dikumpulkan kayu api dan dinyalakan. Lalu dia memerintahkan
semua tentera agar terjun ke dalam api tersebut.

Kemudian ada seorang tentera membantah lalu diadukan hal itu kepada
Rasulullah S.A.W apabila mereka kembali kepada Baginda. Lalu Rasulullah
S.A.W bersabda :
"Sekiranya kamu memasuki api itu, kamu tidak akan keluar darinya
selama-lamanya. Hanya sesungguhnya ketaatan itu dalam perkara yang makruf
(baik)".

Dalam hadis yang lain, Abdullah Ibn Umar berkata bahawa Rasulullah S.A.W
bersabda :
"(Kewajipan) mendengar dan mentaati seseorang pemimpin Islam itu adalah pada
perkara yang disenangi atau tidak senangi, selagi mana tidak disuruh
melakukan maksiat. Jika disuruh melakukan maksiat, maka tiada lagi
(kewajipan) mendengar dan mentaati".

Rasulullah menuntut Para Sahabat dari kalangan Ansar agar berjanji untuk
memberi ketaatan dalam peristiwa Bai’at Al Aqabah Kedua sebelum Baginda
S.A.W bersetuju untuk melakukan hijrah ke Madinah. Di dalam perjanjian itu
Rasulullah bersabda :

“Berbai'ahlah kepadaku supaya memberi ketaatan ketika rajin dan malas,
sanggup berinfak (harta) di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan
menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menegakkan agama
Allah tanpa menghirau celaan orang, sanggup menolong aku apabila aku tiba ke
tempat kamu (Madinah) dan sanggup mempertahankan nyawa aku sebagaimana kamu
mempertahankan nyawa kamu, isteri-isteri kamu, anak-anak kamu dan bagi kamu
syurga”.

Jelaslah berdasarkan nas-nas Al Quran dan Hadis bahawa ketaatan kepada Allah
dan Rasul-Nya adalah bersifat wajib dan mutlak. Manakala ketaatan kepada
Ulil Amri (para pemimpin) tidak bersifat mutlak. Ia bergantung kepada sejauh
mana pemimpin Muslim taat kepada Allah dan Rasulullah. Ketaatan itu hanya
pada perkara yang makruf dan bukan dalam perkara maksiat.

Pengertian Wala’
Menurut Muhammad Said Al Qahtani dalam kitabnya Al Wala' wal-Barra' fil
Islam, pengertian wala' dari segi istilah syarak ialah :
“Memberi pertolongan, kecintaan, kemuliaan dan penghormatan. Ini dilakukan
kepada mereka yang diberikan wala' itu secara zahir dan batin”.
Di dalam Al Quran, Allah menjelaskan wala' itu hanya diberikan kepada Allah,
RasulNYA dan orang-orang yang beriman. Hanya kepada mereka diberikan
pertolongan dan kasih sayang berdasarkan aqidah dan keimanan. Firman Allah
Taala :

“Hanya sesungguhnya wali (pelindung dan penolong) kamu ialah Allah,
Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, menunaikan
zakat dan mereka itu sentiasa tunduk dan patuh (kepada Allah)..” [ Surah Al
Maidah:55 ]

Imam At Tabari menafsirkan ayat ini dengan katanya,”Tiadalah bagi kamu
sebarang wali (pelindung) dan penolong melainkan Allah dan Rasul-Nya dan
orang-orang yang beriman yang disebutkan dalam ayat ini sifat-sifat mereka”.
Mereka mestilah orang-orang yan mendirikan solat dan menunaikan zakat. Iaitu
menunaikan hak Allah dan hak sesama manusia serta tunduk dan patuh kepada
segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Ketaatan Yang Dituntut Dalam Harakah Islamiah
Dalam gerakan Islam, ketaatan itu mestilah diberikan oleh para anggota
harakah kepada pemimpin. Ketaatan itu lahir daripada sikap saling
mempercayai di antara pemimpin dan para pengikut. Para pengikut pula
mentaati pemimpin atas dasar ketaatan pemimpin itu kepada Allah dan
Rasul-Nya serta berjuang menegakkan agama Allah.
Ini hanya berlaku apabila pemimpin berkenaan mempunyai keikhlasan dan
menunjukkan contoh pengorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada
perjuangan yang didokong secara jama'ie oleh semua anggota harakah Islamiah.
Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, ketika rajin dan malas, di waktu
senang dan susah, di masa lapang dan sibuk dan dilaksanakan dalam perkara
yang tidak maksiat. Justeru itu, kegagalan anggota gerakan Islam mengikut
arahan kepimpinan dari masa ke semasa akan mencacatkan perjalanan gerak
kerja jamaah dan menyebabkan berlaku kepincangan dalam parti.

Pengajaran daripada peperangan Uhud sudah cukup memberi iktibar kepada kita
tentang sekumpulan tentera pemanah yang melanggar arahan Nabi S.A.W apabila
mereka meninggalkan bukit untuk mengaut harta ghanimah. Akhirnya tentera
Islam mengalami kekalahan.

Dalam konteks Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul
Hadi Awang menyebut berkenaan ketaatan dan wala' yang dituntut dalam gerakan
Islam di negara ini :
A) Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan
dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut
yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam jamaah atau parti yang
mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh
membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.


B) Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh
anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak
boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera
masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu
sama lain.

C) Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di
dalam parti, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang
yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.
Wala’ dan hubungannya dengan Harakah Islamiah (PAS)
Dalam aspek ini perlu dibahagikan wala’ itu kepada beberapa aspek yang perlu
diberikan penekanan.

a) Wala’ terhadap aqidah perjuangan
Sesungguhnya wali kamu ialah Allah dan Rasul-Nya. Wala’ dalam aspek ini
berkait erat dengan ketaatan secara mutlak kepada Allah dan RasulNya,
wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan
segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman kepada Rasul yang
wajib dengan sifat-sifat kerasulannya.
Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala’ kepada Allah dan rasul secara
mutlak kepada Al Quran dan Al Hadis yang menjadi rukun dan hukum tertinggi
bagi Harakah Islamiah, dan dalam konteks kita di Malaysia ini ialah Parti
Islam Se-Malaysia (PAS).

b) Wala’ kepada Jamaah
Menurut rukun dan hukum, adalah haram seseorang ahli yang telah memberi
bai’ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala’ kepada kumpulan lain samada
yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang bernama Islam. Ini bercanggah
dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan jamaah, strategi dan
jenteranya.

Adapun wala’ kepada jamaah itu bergantung kepada wala’ jamaah terhadap
aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi kewajipan kepada ahli
mempertahankannya daripada menyeleweng.

c) Wala’ kepada pemimpin
Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah satu daripada tonggak yang
penting kepada jentera dan perjalanan jamaah. Oleh yang demikian, wala’
kepada pemimpin dalam pengertian kasih dan taat mestilah diberi dengan penuh
tanggungjawab. Wala’ ini mesti diberi di semua peringkat pimpinan. Ia juga
bergantung kepada perinsip perjuangan parti atau jamaah.

Adakah kita benar-benar memberi wala' kepada pemimpin Harakah Islamiah
(PAS)?
Jika kita memerhatikan sikap dan ragam mereka yang mengaku bergabung dengan
Harakah Islamiah (PAS) akhir-akhir ini, ternyata mereka tidak mempunyai
ketaatan dan tidak bersikap wala’ kepada pimpinan jamaah.
Seperti mana yang telah kita ketahui bahawa wala’ itu ialah memberi
pertolongan, perasaan kasih sayang, kemuliaan dan penghormatan. Ini
dilakukan kepada pimpinan yang diberikan wala’ itu secara zahir dan batin.
Wajib anggota harakah menunjukkan sikap wala' iaitu menghormati, mengasihi,
mentaati dan membantu pimpinan sama ada secara peribadi yang zahir mahu pun
naluri yang tercetus dalam hati. Menunjukkan sifat bermuka-muka secara
berhadapan dan menyembunyikan sifat hasad dan kebencian dalam hati hanyalah
menyerupai perangai yang dilakukan oleh orang-orang munafik kepada
Rasulullah S.A.W.

Sikap memburuk-burukkan pimpinan yang dilakukan oleh sesetengah individu
secara terang-terangan, melalui laman web, laman sosial dan sebagainya atas
nama kebebasan bersuara tidak mencerminkan sifat mereka yang berakhlak dan
memahami dengan sebenar-benarnya konsep taat dan wala' dalam perspektif
Harakah Islamiah.

Sesungguhnya kemenangan itu hanya akan datang apabila kesemua ini dapat
direalisasikan bersama oleh para pejuang Islam dalam akhlak berjamaah.
Perhatikan firman Allah Taala ini :
“Dan sesiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi
penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti
mendapat kemenangan. Iaitu: orang-orang yang menjadikan Allah, RasulNya dan
orang-orang yang beriman sebagai penolongnya". [ Surah Al Maidah:56 ]

Oleh: Imran al-Malizi
( imran_almalizi@yahoo.com)

No comments: