
SHAH ALAM 14 Jun - Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2011 yang telah berjaya menamatkan kejohanan SUKMA 2011 sebagai naib juara keseluruhan dengan pungutan 26 pingat emas, 20 perak dan 28 gangsa.
Meskipun gagal mendapat kejuaraan, beliau percaya bahawa kontinjen SUKMA Selangor 2011 seramai 412 atlet dan pegawai telah menunjukkan komitmen tidak berbelah-bahagi sepanjang tempoh persediaan dan juga semasa hari pertandingan yang berlangsung dari 2 hingga 12 Jun 2011.
“Sebagaimana adatnya, sukan menuntut daya saing tinggi dan pada akhirnya tidak semua boleh mendapat tempat pertama. Bagi yang berjaya, saya ucapkan tahniah dan untuk mereka yang belum berjaya, janganlah berputus asa kerana sejak dahulu lagi banyak prestasi cemerlang telah diperbaharui catatan rekodnya. Ingatlah bahawa yang baik itu sentiasa boleh ditambah baik,” kata Menteri Besar.
Bagi menghargai segala usaha dan pencapaian yang telah ditunjukkan, beliau akan menganjurkan satu majlis makan malam bersama kontinjen SUKMA Selangor 2011 pada hari Jumaat, 17 Jun 2011 bertempat di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Shah Alam.
No comments:
Post a Comment