LEBIH SEPULUH TAHUN PENAFIAN ROYALTI MINYAK TERENGGANU – PENGAJARAN BESAR KEPADA RAKYAT KELANTAN
Pada 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak dalam ucapannya di Parlimen, menyatakan bahawa;
“Tuan Yang di-Pertua, semua negeri di Malaysia, melainkan Sabah dan Selangor telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974”. Saya diberitahu Kerajaan Negeri Selangor pun telah bersetuju menandatangani perjanjian ini. Mengikut perjanjian itu, “Tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di dalam negeri masing-masing, sama ada yang diperolehi itu dalam perairan ataupun di luar perairan negeri tersebut yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”
Maka sejak dari tarikh tersebut Kerajaan Negeri Terengganu telah menerima wang royalti minyak secara langsung dengan tunai bernilai hampir RM7 bilion selama 22 tahun tanpa sebarang gangguan dan sekatan sepertimana yang terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu.
Namun sebaik sahaja Pas berjaya menawan Terengganu pada pilihanraya umum ke 11 tahun 1999, pelbagai usaha telah dijalankan bagi menyekat serta menafikan hak royalti kepada kerajaan Terengganu. Maka pada 5 September 2000, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu dan menggunakan kaedah baru yang dikenali “Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan” tanpa menyalur terus kepada kerajaan negeri lima peratus royalti petroleum.
Malahan Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa “pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan”. Lebih malang lagi ada menteri dan pimpinan UMNO negeri Terengganu sendiri yang sanggup mengkhianati hak dan amanah rakyat Terengganu ini serta menyatakan bawawa perjanjian antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas hanyalah merupakan suatu MOU sahaja. Apakah mereka ini buta dan memejamkan mata dan menolak hak yang telah termeterai dalam perjanjian yang dilaksanakan sejak 25 tahun yang lalu dengan Petronas?
Perlu di fahami bahawa dengan penarikan balik wang royalti kepada kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Pas pada tahun 2001 Kerajaan Pusat telah memaksa sebuah negeri yang merupakan sebahagian daripada negara Malaysia bertukar dari sebuah negeri yang berdaulat dan bebas yang menyertai Persekutuan Malaysia secara sukarela dan terhormat kepada sebuah negeri peminta sedekah yang hanya layak diberikan Ehsan dan bukannya hak yang termeterai didalam perjanjian.
Dengan tindakan yang tidak bermaruah ini, Kerajaan Pusat secara terbuka memaklumkan kepada dunia bahawa ia bersedia untuk menjajah mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia yang diingininya biarpun tindakan tersebut berlawanan dengan Perlembagaan Negara dan kehendak rakyat. Ini adalah kezaliman dan keterlanjuran yang amat jelek sekali. Lebih parah lagi ianya merupakan suatu pencabulan kepada prinsip demokrasi berparlimen, konsep Federalisma serta bertentangan dengan perlembagaan negara kita sendiri.
Begitu juga apakah yang sedang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Kelantan juga boleh dianggap sebagai ‘Ehsan’? Bagi saya ini sebenarnya adalah suatu lagi kezaliman yang dikenakan kepada sebuah Kerajaan Negeri yang mendapat mandat yang sah daripada rakyat melalui sistem demokrasi yang mereka sendiri angung-agungkan. Ini bukan bayaran Ehsan tetapi bayaran nazi ataupun bayaran zalim yang berniat meyiksa rakyat Kelantan yang telah memberi mandat kepada kerajaan PAS sepertimana yang telah berlaku kepada negeri Terengganu pada tahun 2001. Malah mereka kini sanggup menghina dan menghukum 1.8 juta rakyat Kelantan yang 96 peratus adalah berbangsa Melayu Islam.
Jika diimbas kembali implikasi kepada penafian royalti yang dilakukan terhadap kerajaan Terengganu dari tahun 2001, banyak pengajaran yang boleh didapati oleh kerajaan Kelantan yang kini berhadapan dengan situasi yang sama sekarang ini;
Yang pertama, bila wang royalti digantikan dengan Ehsan, adakah bermakna bahawa wang itu adalah daripada duit Petronas sebab tidak dijelaskan oleh Menteri Kewangan kita ataupun wang ini daripada duit Kerajaan Pusat ?
Yang kedua, kalau duit itu daripada Petronas, adakah Kerajaan Pusat dari segi perundangan dan undang-undang, berhak mengambil royalti bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu ?
Yang ketiga, kalau duit itu dari Kerajaan Pusat, di bawah item mana dalam buku Belanjawan yang dibentangkan di Parlimen setiap tahun dari tahun 2001 yang menyatakan dengan jelas tentang wang Ehsan tersebut ?
Yang keempat ialah apabila wang ini diberikan kepada rakyat secara langsung oleh Kerajaan Pusat, apakah ini dikatakan sebagai menghormati rakyat? Apakah apabila kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan adanya pilihan raya setiap lima tahun, penghormatan kepada rakyat, bukan sahaja dengan kita membantu rakyat tetapi kita menghormati pilihan rakyat memilih sebuah kerajaan negeri untuk menguruskan sumber kewangan mengikut tatacaranya sendiri?
Namun apa yang berlaku di negeri Terenggnu adalah merupakan suatu pengajaran besar kepada seluruh rakyat Kelantan yang cintakan keadilan. Penarikan serta penafian royalti minyak kepada kerajaan Terenggan bukan sahaja telah menghukum rakyat Terengganu, malahan menghukum keseluruhan rakyat Malaysia yang selama ini amat mnghurmati sistem demokrasi berparlimen serta konsep Federalisma yang diamalkan di Malaysia. Malahan pelabur-pelabur asing juga mula ragu dan mula menarik diri serta menjauhi pelaburan mereka di Malaysia sedangkan pada masa yang sama ekonomi serantau menunjukkan kemakmuran.
Lebih memeritkan lagi sepanjang wang royalti Terengganu di rompak oleh kerajaan Persekutuan UMNO/BN dan diletakkan dibawah ‘Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan’ negeri Terengganu septutnya BERHAK menerima royalti berjumlah lebih dari RM15.4 billion dari tahun 2000-2009.
Jika diperincikan perbelanjaan ‘wang Ehsan’ yang diurus oleh Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh 9 tahun royalti yang di nafikan kepada kerajan Terengganu, mereka berbelanja semewah-mewahnya;
A. Projek-projek
- Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal
- Monsoon Cup
- Lebuhraya pantai Timur
- Stadium baru Sultan Mizan
- Pembinaan Lapangan Terbang Baru
Jumlah RM7.1 billion
B. Kementerian
Jumlah RM7.7 billion
C. Pembinaan rumah oleh Syarikat Perumahan Negara bhd. Di negeri Terengganu
Jumlah RM102 juta
D. Perbelanjaan kepada negeri-negeri lain selain Terengganu
Jumlh RM 900 juta
E. Pembinaan rumah Syarikat Perumahan Negara Bhd. Di negeri-negeri lain selain Terengganu
Jumlah RM771 juta
JUMLAH KESELURUHAN RM 16.5 BILLION TERMASUK PENGELUARAN
Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional selepas mereka menafikan hasil royalti ini? Yang nyata mereka telah berbelanjakan semewah-mewahnya royalti minyak secara langsung dengan tunai bernilai tidak kurang daripada RM15.4 bilion. Wang ihsan yang kononnya untuk membantu golongan miskin seperti nelayan, petani, penarik beca di Terengganu di jaja secara meluas sehinggakan rakyat Terengganu di perangkap dan terpenjara dengan ‘budaya subsidi’ UMNO/BN.
Amat menakjubkan apabila budget kerajaan Terengganu setiap tahun sepanjang lima tahun terakhir ini mencecah hampir RM 2 billion dan yang kedua tertinggi di Malaysia serta mengatasi negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Bayangkan tidak ada negeri di Malaysia ini yang memperuntukkan lebih RM 50 juta setiap tahun untuk berbelanja Hari Raya sahaja! Tidak ada negeri di Malaysia ini yang memperuntukkan lebih RM 7 juta untuk membeli buah kurma dan air zamzam untuk rakyatnya! Malah tidak ada negeri di Malaysia ini yang memperuntukkan lebih RM11 juta bagi memberi subsidi ‘atap biru’ kepada rakyat.
Begitu juga dengan ‘projek-projek runtuh’ seperti Stadium Sultan Mizan yang runtuh bumbungnya, Makmal komputer sekolah yang juga runtuh bumbungnya, pasar baru yang juga runtuh bumbungnya serta Kolam renang yang bocor dan tidak boleh digunakan. Inilahlah keajaiban Kerajaan Terengganu di bawah UMNO/BN sepanjang royalti di tarik dan di letakkan di bawah Dana Ehsan.
Namun, persoalan yang terus bermain di minda seluruh rakyat Terengganu sehingga kini adalah dengan wang yang sebesar jumlah ini, mengapakah rakyat Terengganu terus dihimpit kemiskinan dan mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi iaitu 17.3 peratus dengan rakyatnya kebanyakannya hidup merempat, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, walaupun pendapatan per kapita Terengganu adalah yang kedua tertinggi di seluruh negara.
Amat jelas, walaupun negeri Terengganu mendapat kekayaan yang besar dari sumber royalti minyak tetapi rakyat hidup dalam keadaan yang merempat. Adakah pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang ada sekarang ini menganggap rakyat Terengganu tunggul kayu, pak turut dan bodoh sehinggakan mereka boleh di perkotak-katikkan secara tidak bermaruah. Tetapi inilah cara yang dilakukan oleh UMNO/BN yang berbentuk, daylight robbery bagi menafikan hak yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Terengganu selama ini.
Ya ini ada pengajaran awal kepada seluruh rakyat Kelantan dan syabas kepada Tengku Razaligh Hamzah yang berjaya mengenepikan sentimen kepartaian sempit bagi membela rakyat Kelantan. Ya, saya yakin kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz akan menyeret UMNO dan Barisan Nasional ke mahkamah, tetapi bukan ke mahkamah yang ada ini, tetapi akan membawa mereka ke mahkamah rakyat. Biarlah rakyat yang akan menjadi hakim dan biarlah rakyat yang akan membuat perhukuman terhadap kezaliman-kezaliman pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang ada sekarang ini.
Ya, di Terengganu kite ini...Menteri Besarnya kini sibuk menguruskan kedatangan bintang Bollywood seperti Sharukh Khan dan Ranee Mukherjee serta beberapa selebreti filem bollywood untuk pengembaraan filem percintaan...Ya penyu akan terus menangis lagi...inilah nasib rakyat Terengganu
Dicatat oleh blog Dr Syed Azman di 3/16/2010
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment