SHAH ALAM 2 Sept. – Selepas tujuh tahun, bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad (gambar) akhirnya berpeluang meraikan Hari Raya Aidilfitri kali ini dengan lebih bermakna apabila dibebaskan daripada 24 pertuduhan rasuah.
Abdul Kudus, 47, terlepas daripada hukuman penjara 10 tahun 11 bulan dan denda RM370,000 bagi kesalahan itu setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini menerima rayuannya untuk mengetepikan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Ampang tahun lalu.
Hakim Mohd. Yazid Mustafa semasa membacakan penghakiman berkata, keterangan saksi utama pendakwaan, Steven @ S. Sathiasilan tidak boleh dipercayai kerana dia mempunyai kepentingan secara langsung dalam kes itu.
Beliau berpendapat, Steven adalah rakan sejenayah Abdul Kudus kerana dia terlibat secara aktif dan secara langsung dalam kesemua 24 transaksi yang melibatkan tertuduh.
Katanya, keterangan saksi itu juga tidak disokong oleh sebarang keterangan bebas yang mengesahkan berlakunya permintaan dan penerimaan rasuah oleh tertuduh.
‘‘Saya dapati Steven adalah pihak yang memulakan percubaan untuk merasuah tertuduh sebagai Pengarah Penguat Kuasa MPAJ dan bukan sebaliknya.
‘‘Steven mempunyai kepentingan untuk melindungi restorannya, dia bukan mangsa tetapi seorang yang memainkan peranan aktif dalam semua transaksi,’’ katanya.
Hakim Mohd. Yazid juga merumuskan tidak munasabah sekiranya tertuduh meminta dan menerima wang rasuah daripada Steven sedangkan restorannya masih berterusan diserbu dan disaman oleh MPAJ.
Jelasnya, keterangan antara Steven dan seorang saksi juga bercanggah yang sekali gus menunjukkan bayaran-bayaran yang dikatakan dibuat tidak wujud serta hanya rekaan.
Tegas beliau lagi, pihak pendakwaan juga gagal memanggil ibu Steven bagi mengesahkan anaknya ada meminta duit RM8,000 untuk diberikan kepada tertuduh.
‘‘Saya menerima pembelaan tertuduh sebagai munasabah. Ini adalah kerana pihak pendakwaan tidak membuktikan tuduhan-tuduhan permintaan dan penerimaan wang rasuah melibatkan tertuduh sebagaimana pertuduhan.
‘‘Hakim Mahkamah Sesyen telah gagal membuat penilaian maksimum di peringkat kes pendakwaan. Tertuduh tidak sepatutnya dipanggil membela diri. Rayuan dibenarkan. Tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada 24 pertuduhan,’’ katanya.
Abdul Kudus diwakili peguam M. Manoharan dan Afifuddin Hafifi manakala Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fariza Hamzah mewakili pihak pendakwaan.
Sebaik sahaja mahkamah bersurai, Abdul Kudus dilihat dipeluk oleh kakaknya yang turut hadir mengikuti prosiding sambil menangis.
Semasa ditemui di luar mahkamah, Abdul Kudus yang dilihat bergenang air mata melahirkan rasa syukur serta berterima kasih kepada barisan peguamnya.
Walaupun berkeyakinan akan dibebaskan sejak dari awal, namun Abdul Kudus menganggap ia tidak lagi bermakna selepas kehilangan keluarga dan ibunya.
‘‘Tidak ada apa-apa boleh diraikan kerana hidup saya dan keluarga saya telah musnah disebabkan kes ini. Ibu saya meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung disebabkan peluru yang dihantar ke rumah. Sejak itu, sudah empat tahun saya beraya di kubur ibu saya,’’ katanya.
Abdul Kudus yang kini menjadi pemandu teksi dan lori secara sambilan berkata, dia akan berbincang dengan peguamnya berhubung tindakan lanjut termasuk menyaman pihak pendakwaan.
Pada 30 Jun tahun lalu, Mahkamah Sesyen Ampang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun 11 bulan dan denda RM370,000 ke atas Abdul Kudus selepas didapati bersalah atas 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah RM59,000 antara 2001 dan 2003.
Pada 27 Ogos lalu, Abdul Kudus gagal dalam tuntutan samannya terhadap MPAJ setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati surat pemberhentian kerja terhadap Abdul Kudus adalah sah dan MPAJ berhak memecatnya. - Noor Azmah Ibrahim
Imbasan:
[Mstar]...Kes perbicaraan yang mengambil masa hampir enam tahun, bermula 9 Ogos 2003 ini melibatkan 11 orang saksi di pihak pendakwaan dan 12 orang saksi di peringkat pembelaan yang antaranya turut memanggil bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Kayveas.
Abdul Kudus, 46, didakwa terhadap 24 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000 daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 11(a) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda maksimum lima kali ganda daripada nilai suapan.
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment