Undang-Undang Hudud dan Qisas akan diusahakan untuk dilaksanakan di Kelantan bagi membendung kejadian buang bayi dan jenayah lain kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nit Mat. Undang-undang sedia ada di negara ini dilihat gagal dan terlalu lemah untuk menangani gejala sosial dan jenayah bila tidak disandarkan pada agama.
Katanya undang-undang bukanlah jawapan sebenar ke arah penyelesaian kepada jenayah dan gejala sosial, seperti kes rasuah, pembuangan bayi yang sedang melanda negara sekarang.
“Polis dan menggari pesalah adalah perkara kedua, yang penting dan utama ialah didikan agama supaya dapat ditanam roh takwa di kalangan umat manusia,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Hududullah dan Seminar Hukuman Sebat Syariah di Kompleks Balai Islam,
Tiga kertas kerja dibentangkan dalam seminar itu, iaitu “Hukuman Sebat Daripada Perspektif Islam” oleh Felo Kanan Jabatan Undang-Undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Mohd Saleh Ahmad; “Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah; Realiti Pelaksanaan” oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad dan Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah” oleh Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa.
Kelantan dan Terengganu merupakan dua negeri yang sudah mempunyai Undang-Undang Hudud dan Qisas untuk orang Islam ketika di bawah pentadbiran PAS tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Antara percanggahan itu termasuk pelaksanaan terhadap prosedur, kesalahan dan hukuman jenayah termasuk mencuri dan membunuh yang telah mempunyai peruntukan undang-undang Persekutuan di negara ini.
Nik Abdul Aziz berkata penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup mengawal manusia tanpa disertai didikan dan tarbiyah syariat Islam dari peringkat ibu bapa, guru hingga pentadbir kerajaan negeri dan pusat.
Justeru itu, katanya, kerajaan negeri tetap berusaha untuk melaksanakan hukum hudud yang tidak harus dilihat sebagai suatu hukuman potong tangan terhadap pencuri semata-mata.
Hukum itu sendiri bertindak untuk mengajar umat manusia supaya tidak melanggar perkara yang dilarang tuhan kerana kelak ia akan membawa satu penyakit kanser moral kepada manusia, yang akhirnya menjatuhkan ketamadunan manusia sendiri, katanya.
“Hudud adalah garis sempadan yang ditentukan Allah menghadkan sesuatu yang termasuk dalam apa yang dilarang dan diperintah dan bukan semata-mata hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina,” tegas beliau. — Bernama
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
No comments:
Post a Comment