Dr Mahathir sedia bagi keterangan kes Ling Liong Sik
Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun mengakui terdapat banyak perkara yang berlaku tanpa pengetahuannya dan Kabinet.
Beliau menyatakan demikian ketika memberitahu sanggup memberi keterangan di mahkamah sekiranya dipanggil berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dimana bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion bagi projek PKFZ, hampir lapan tahun lalu.
"Jika seorang itu dikhendaki memberi keterangan di mahkamah, dia perlu berbuat demikian. Dia tidak boleh kata 'Saya tidak mahu'," katanya kepada wartawan yang bertanya hal itu selepas beliau melancarkan Yayasan Universiti Teknologi Petronas (Yayasan UTP) di pejabat Petronas, di Kuala Lumpur, Selasa.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata bahawa 'seorang Perdana Menteri tidak boleh dipertanggungjawabkan atas perkara yang dia tidak tahu.'
Menurutnya terdapat banyak perkara yang berlaku tanpa pengetahuan Perdana Menteri dan Kabinet.
"Memang, Perdana Menteri sentiasa bertanggungjawab tetapi ada batasan kepada tanggungjawab itu. Apabila dia (Perdana Menteri) tidak mengetahui sesuatu, anda tidak boleh kata dia bertanggungjawab," katanya.
Ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa mendakwa bekas Presiden MCA itu ,Dr Mahathir berkata, pendakwaan sedang berjalan dan bukan hak beliau membuat sebarang spekulasi.
"Bersalah atau tidak, itu kita tidak tahu lagi. Biarlah mahkamah yang menentukannya. Kita tidak boleh menuduh secara melulu tanpa sebarang bukti," katanya.
No comments:
Post a Comment