Lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mengadakan piket bagi menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian segera terhadap masalah bekalan air di kampus itu.
Piket tersebut adalah yang pertama seumpamanya di pulau ini berikutan kekurangan bekalan air yang berlaku di sini sejak pertengahan tahun lepas.
Sambil membawa sepanduk dan poster, mereka berkumpul di kampus itu, yang terletak kira-kira 14km dari bandar Labuan, sejak pukul 9 pagi di bawah pengawasan polis.
Kuliah di kampus berkenaan dihentikan sementara berikutan piket itu.
Bercakap kepada Bernama, Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL, Herry Anto Hasanudin berkata mereka telah menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti itu sebelum piket tersebut diadakan.
Katanya dalam memorandum itu, pelajar meminta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat UMSKAL bagi melihat sendiri keadaan di situ; meminta bekalan air bersih disediakan secara berterusan; dan meminta universiti itu ditutup sehingga masalah bekalan air di situ diselesaikan.
Lebih 2,500 pelajar menuntut di universiti itu, sebahagian besarnya berasal dari tanah besar Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta sebilangan kecil dari China, Indonesia dan negara lain.
"Akibat masalah bekalan air ini, ada pelajar yang berhenti dan melanjutkan pengajian di universiti lain," katanya.
Herry Anto berkata pelajar menghadapi masalah bekalan air di kampus itu sejak semester pertama tahun lepas dan berharap keadaan akan bertambah baik pada semester kedua.
"Malangnya, keadaan bertambah buruk. Kami telah suarakan masalah ini sejak tahun lepas, tapi ia terus berlarutan. Kami harap menteri berkenaan akan mencari jalan bagi membantu kami," katanya.
Kini, pelajar universiti itu bergantung pada bekalan air yang dihantar oleh lori tangki Jabatan Bekalan Air bagi memenuhi keperluan harian mereka.
Herry Anto berkata mereka cuba menghubungi Naib Canselor universiti itu untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak berjaya.
Usaha Bernama untuk menghubungi pengarah UMSKAL juga tidak berhasil.
Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal berkata beliau telah meminta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mencari penyelesaian bagi masalah kekurangan bekalan air di Labuan.
"Kami tidak boleh biarkan para pelajar dan rakyat kami terus mengalami masalah ini sepanjang masa. Kami tak akan dapat menarik pelabur sekiranya masalah ini berterusan," katanya.
UMSKAL memerlukan sekurang-kurangnya 120,000 gelen air sehari bagi memenuhi keperluan pelajar dan petugasnya.
Sementara itu, berikutan perbincangannya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Ahmad Phesal Talip, Jabatan Bekalan Air dijangka menghantar bekalan air yang secukupnya ke universiti itu.
Masalah kekurangan bekalan air di Labuan dijangka berakhir Disember ini apabila projek saluran paip dasar laut dari Beufort ke pulau berkenaan berharga RM365 juta, disiap sepenuhnya.
Kini, Labuan bergantung pada bekalan air dari tanah besar Sabah melalui saluran paip dasar laut dari Sungai Padas di daerah Beaufort. Permintaan terhadap bekalan air di Labuan ialah kira-kira 56 juta liter sehari, sedangkan bekalan semasa hanya berjumlah 42 juta liter.
Masalah bekalan air di Labuan bermula apabila dua daripada tiga empangan kering awal tahun lepas.
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
1 comment:
assalamualaikum
Semasa teman tinggal di Labuan dikawasan perumahan tepi pantai pulak itu, banyak kali juga pergi kerja tanpa mandi atau kadang-kadang terpaksa juga kemesjid yang berhampiran untuk "qhada hajat".Ini akibat gara-gara air tak cukup atau bekalan air kurang dilabuan.Rupanya bukan hamba je yang kena,tapi ada satu kawasan perumahan diSg Berdaun(4km dari UMSKL) penduduknya mengalami nasib macam hamba juga malah sampai berminggu-minggu tak berair hanya bergantung dengan bekalan dari JBA dibawa dengan lori tanker.Sabor je yeop kata orang Perak.Inilah masanya kita harap MP Labuan dengan tenaga pemikirnya. Jangan tidur siang dan malam untuk memikirkan macam mana nak mengatasi masalah ini.Jumpa teman,mungkin teman boleh bagi buah fikiran macam mana nak atasinya insyaalah.
Post a Comment