Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin

pasbs2

pasbs2

pasbs baner

pasbs baner

Tuesday, March 30, 2010

INILAH GELARAN KITA AKAN DAPAT SECARA AUTOMATIK SELEPAS KITA MATI


Nauzubillah ...Mudah-mudahan kita tidak mati begini (gambar hiasan)
Gelaran Bagi Si Mati

Gelaran bagi si mati, seperti Allahyarham, almarhum dan sebagainya, merupakan gelaran-gelaran yang sangat sinonim di dalam masyarakat kita. Terdapat juga beberapa gelaran yang kita gunakan ke atas para ulama', seperti asy-syahid, al-hafiz dan sebagainya. Pada kali ini, terdapat beberapa komen berkenaan gelaran-gelaran ini, sama ada boleh digunapakai, atau ada gelaran lain yang lebih sesuai kita gunakan. Maka dengan itu, ada kupasan satu demi satu mengenai topik ini.


1. Allahyarham & Allahyarhamah
Merupakan sebaik-baik gelaran yang kita gunakan. Allahyarham bermaksud 'Allah merahmatinya', atau secara teknikalnya 'mudah-mudahan Allah merahmati rohnya'. Adapun gelaran allahyarhamah,' maka ia merupakan gelaran yang didapati amat lucu sekali.

Ini kerana, perkataan Allahyarham itu adalah kata kerja, maka mana mungkin kata kerja kita berikan sifat lelaki dan wanita? Dengan mengatakan allahyarhamah, samalah seperti kita mengatakan 'Muhammad menulis', dan 'Aisyah menulisah'. Atau 'Ali pergi ke kedai,' dan 'Fatimah pergiah ke kedai'.


2. Almarhum
Merupakan gelaran yang tidak berapa sesuai kita gunakan ke atas si mati. Ini kerana al-marhum bermaksud 'dia telah mendapat rahmat Allah', atau teknikalnya, 'secara pasti Allah telah merahmatinya', sedangkan hak mutlak untuk merahmati atau menyeksa seseorang insan bukanlah hak kita.

Itu adalah hak Allah semata-mata, jika Dia hendak merahmatinya, Dia akan merahmatinya dan jika Dia berkehendak untuk menyeksanya, Dia akan menyeksanya sebagaimana yang Dia mahu. Kerana itu dikatakan, gelaran Allahyarham adalah yang terbaik, kerana ini adalah merupakan doa kita, 'mudah-mudahan Allah akan merahmatinya.'

Perlu diingatkan juga bahawa gelaran ini merupakan gelaran yang tidak berapa disukai oleh ahli hadis. Adapun gelaran yang menunjukkan seseorang itu pasti mendapat rahmat, hanyalah gelaran yang kita guna pakai ke atas:
i) Para Rasul
ii) Sahabat Rasulullah S.A.W


3. Arwah
Seperti yang selalu digunakan, 'arwah aki', 'arwah atuk' dan sebagainya. Ingin dinyatakan di sini bahawa, perkataan arwah itu merupakan kata jama' ataupun plural bagi 'roh'. Maka apabila kita katakan contohnya 'arwah aki', bermaksud 'roh-roh aki'. Jelas itu tidak bertepatan dengan maksud yang ingin kita gunakan.


4. Asy-Syahid
Gelaran yang kerap digunakan ke atas para ulama' yang kita anggap mati syahid di jalan Allah. Sebagaimana yang dinyatakan seperti di atas, gelaran yang berupa bentuk 'secara pasti' ini, di dalam erti kata ini, 'secara pasti dia telah mati syahid', merupakan gelaran yang tidak berapa disukai oleh para ahli hadis. Ini kerana kata mereka, benar sekali kita mengharapkan bahawa beliau (si mati) mati syahid, namun untuk mengatakan secara pasti, secara mutlak bahawa dia mati syahid, itu bukanlah hak dari kita, malahan itu juga hak Allah semata-mata.

Ini kerana walaupun pada mata kasar kita dia mati syahid, namun isi hatinya yang sebenar di saat kematiannya dan juga niatnya ketika mati merupakan pengetahuan Allah semata-mata, tiada satu pun dari makhluk Nya yang tahu secara mutlak akan isi hati makhluk yang lain.


5. Rahimahullahu ta'ala
Seperti yang selalu digunakan 'Imam Abu Hanifah Rahimahullah', 'Imam Malik rahimahullah' dan seterusnya. Gelaran ini merupakan setaraf dengan 'Allahyarham', cuma saja didatangkan dalam bentuk perkataan yang lain sedikit. Ertinya juga sama, iaitu 'Allah merahmatinya', atau teknikalnya 'mudah-mudahan Allah merahmatinya'.


6. Alaihis salaam
Merupakan gelaran yang khas bagi para nabi dan rasul dan gelaran ini bermaksud 'kesejahteraan ke atasnya'. Ini merupakan pegangan ahli sunnah wal jamaah, bilamana menyebut mana-mana nabi dan rasul, disertakan dengan ungkapan alaihis salaam.

Adapun puak Syiah Imamiah akan menyebut perkataan ini setiap kali mereka menyebut nama imam-imam mereka, seperti Ja'far as-Saadiq alaihissalaam dan sebagainya. Ini kerana mereka menganggap imam-imam mereka bersifat maksum, yang mana pegangan ini bercanggah dengan Al-Quran dan sunnah yang sahih.


7. Radiyallahu 'anhu
Gelaran yang khas kita gunakan kepada para sahabat baginda Rasulullah S.A.W. Gelaran ini bermaksud 'Allah telah redha kepada mereka (untuk mereka masuk syurga)', atau dengan kata lain, syurga itu merupakan janji Allah kepada mereka, di atas keimanan dan pertolongan mereka ke atas Nabi akhir zaman, nabi Muhammad S.A.W.


8. Al-Hafiz
Ini bukanlah merupakan gelaran yang digunakan bagi si mati, cuma sahaja ia dimasukkan bersama untuk menilai serba sedikit konteks penggunaannya.

Dalam masyarakat kita, al-hafiz digunakan bagi mereka yang menghafal Al-Quran secara keseluruhannya. Penggunaannya tidaklah salah, jika demikian itu kefahaman orang ramai. Pada hakikatnya, al-hafiz merupakan gelaran kepada mereka yang menghafal 300,000 hadis berserta sanadnya, sebagaimana halnya dengan Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Katsir, Ibnu Hajar dan seterusnya. Ini merupakan penggunaan gelaran al-hafiz yang tepat di dalam buku-buku akademik.



Sesungguhnya, gelaran-gelaran yang kita gunakan ini, mempunyai maksud-maksud yang tersendiri yang mana, jika dilihat secara teliti, ada mengandungi unsur akidah di dalamnya. Sebagaimana di dalam penggunaan 'almarhum', itu berkait rapat dengan hak Allah dan juga batas hak kita sebagai manusia yang menentukan siapakah yang mendapat rahmat dan siapa pula yang mendapat azab seksa Allah.

Mudah-mudahan selepas ini, kita akan menggunakan gelaran yang berpatutan kepada si mati kerana gelaran yang patut itu, bukan sahaja sesuai dengan akidah Muslim kita, malahan ia juga merupakan doa yang baik bagi si mati, terutamanya mereka yang kita kasihi.


Wallahua'lam
sumber: Majalah i edisi Mac 2010, Bil.89
ditulis oleh: Mohd Azri Mohd Nasaruddin

No comments: