Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Friday, December 11, 2009
BERTEMU DI RAWANG SELEPAS 50 TAHUN
Ibu dan anak bertemu semula selepas 50 tahun terpisah
ASMAH Dollah (tengah) dipeluk oleh dua orang anaknya Rohani Saidin (kiri) dan Azizah Saidin (kanan) setelah terpisah dan bertemu kembali selepas 50 tahun bertempat di Rawang Tin, Rawang, semalam.
RAWANG – ‘‘Saya rasa seolah-olah berada dalam syurga ketika ini.’’ Demikian luahan hati seorang ibu, Asmah Dollah, 69, yang menderita selama 50 tahun kerana terpisah dengan dua anak kandungnya, Rohani Saidin, 52, dan adiknya Azizah, 50.
Asmah berjaya bertemu semula dengan kedua-dua anaknya sejak terpisah pada 1959 selepas bercerai dengan arwah suaminya, Saidin Saad.
‘‘Selepas itu ibu mertua mengambil dan menjaga anak-anak, saya langsung tidak berpeluang berjumpa dengan mereka sehinggalah hari ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia sambil menitiskan air mata.
Selepas 50 tahun terpisah, tiga beranak tersebut akhirnya bertemu semula hasil usaha rakan anaknya, Khairi Ismail, 59, yang juga pesara tentera menjejaki Asmah.
Usaha tersebut akhirnya berjaya mempertemukan anak beranak itu di rumah ibu saudara mereka di Rawang Tin di sini hari ini.
Tangisan dan pelukan erat tiga beranak itu membuktikan hubungan darah mereka yang masih utuh walaupun masing-masing hampir putus harapan untuk berjumpa semula.
Menurut Khairi, sebelum bercerai, Saidin dan Asmah tinggal di sini selama beberapa tahun sebelum dia berhenti kerja sebagai anggota polis di Balai Polis Rawang.
‘‘Kemudian mereka berpindah balik ke kampung Saidin di Pokok Sena, Kedah pada 1959 dan ketika itu Azizah dilahirkan.
‘‘Ketika Rohani berusia dua tahun dan Azizah dalam lingkungan tujuh bulan, Saidin dan Asmah telah bercerai dan Asmah dihantar pulang ke Rawang semula,’’ jelasnya.
Katanya, Rohani dan Azizah dipelihara oleh neneknya sehinggalah mereka berumah tangga manakala Saidin telah meninggal dunia pada 1963.
Khairi memberitahu, keakraban keluarganya dengan keluarga Azizah di Kuala Nerang telah membuka hatinya untuk membantu mencari ibu kandungnya.
Jelasnya, dengan bantuan polis dan seorang rakan, dia mencari alamat pada sijil lahir Rohani di Rawang Tin dan berjaya menemui rumah kelahiran Rohani yang masih dihuni oleh Fatimah Dollah, 76, iaitu kakak kepada Asmah.
‘‘Saya menemubual Fatimah dan anaknya mengenai perkara tersebut dan mereka menyatakan masih berhubung dengan Asmah sehingga kini. Ekoran itu saya merangka pertemuan keluarga tersebut hari ini,’’ tambahnya.
Jelasnya, Asmah dan suami keduanya, Mohamed Hamid Idris, 65, kini menetap di Puchong bersama anak ketiganya, Azman Mohamed Hamid, 38.
Asmah mempunyai enam anak bersama suami keduanya iaitu empat perempuan dan dua lelaki.
Dalam pada itu, Rohani yang tinggal di Alor Setar berkata, dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan berjumpa semula dengan ibu kandungnya itu.
‘‘Saya tidak dapat menjelaskan bagaimana perasaan saya ketika ini dan berharap dapat membawanya pulang ke Kedah untuk berjumpa saudara-mara dan anak-anak saya yang lain di sana,’’ katanya.
Jelasnya, dia sudah puas berusaha mencari ibunya dan pernah tiba di Rawang Tin namun disebabkan kurangnya maklumat, usahanya gagal.
Azizah yang tinggal di Kuala Nerang pula berkata, dia sangat gembira dengan pertemuan itu dan bersyukur kerana doanya untuk berjumpa ibu kandung telah dimakbulkan Tuhan.
‘‘Saya berhajat mengadakan kenduri kesyukuran di atas pertemuan kami sekeluarga hari ini,’’ ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment