

SERENDAH - Serendah Perdana, sebuah projek di bawah skim pemberian tanah secara terancang bertemakan Country Resort Living kini tinggal impian kosong bagi para pembelinya. Sejak dilancarkan pada 2002, hanya kerja-kerja tanah dan meratakan bukit sahaja yang dilakukan oleh pemajunya, Kamsu Sdn Bhd. Projek dengan keluasan tanah 120 ekar ini melibatkan 550 unit rumah banglo, berkembar dan teres telah dijual hampir 50 peratus. Penglibatan Pejabat Tanah Daerah Hulu Selangor di dalam projek ini di dalam bahan pemasaran Kamsu turut menimbulkan tanda tanya dan sedikit sebanyak menjejaskan imej kerajaan negeri.
Pengerusi Task Force Pemulihan Projek Terbengkalai Negeri di bawah Exco Perumahan, Hj Saari yang mengadakan lawatan bersama agensi berkaitan dan pembeli ke tapak berkenaan baru-baru ini mendapati sebahagian jalan masuk ke tapak sudah tidak boleh dilalui lagi. Ini disebabkan runtuhan tanah dan hakisan air lantaran tapak projek yang berada di kawasan tinggi.
Kerajaan negeri melalui mesyuarat MMKN kali ke-12/2009 telah menimbang dan bersetuju supaya pentadbir tanah Hulu Selangor mengiklankan tanah seluas 120 ekar di Mukim Serendah ini kepada PKNS, lain-lain anak syarikat yang berpotensi dan pihak pemaju terlibat bagi mendapatkan harga tawaran terbaik bagi membangunkan tanah tersebut. Walaubagaimanapun tanah tersebut tidak boleh dibangunkan sebagai projek pembesaran kampung. Ini seterusnya membawa maksud literal projek Kamsu ini dibatalkan.
Pihak PKNS sedang dalam proses mengkaji kebolehupayaan projek ini disamping mengambil kira semua pembeli yang telah membeli unit projek ini.
No comments:
Post a Comment