REFORMASI PILIHANRAYA
Saya setuju gesaan agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melakukan pindaan kepada undi pos. Sekiranya ia bersifat penambahbaikan kepada proses demokrasi di negara ini, maka saya fikir ia wajar dilakukan. Pindaan itu harus dilakukan dengan nawaitu sedemikian, bukannya bertujuan memberikan kelebihan persaingan (competitive advantage) kepada mana-mana pihak, apatah lagi menggunakannya sebagai perang psikologi dalam pilihanraya kecil.
Bukan sekadar undi pos. Banyak lagi elemen-elemen penting pilihanraya di negara ini yang perlu diubah. Pendaftaran pemilih. Proses pencalonan. Kaedah kempen. Reformasi pilihanraya, itulah yang perlu dilakukan. Keseluruhan proses itu harus dilihat semula.
Satu aspek yang perlu dikaji ialah proses pendaftaran pemilih. Ini penting bagi menentukan bahawa prinsip asas pilihanraya iaitu memberikan peluang kepada penduduk di satu-satu kawasan memilih wakil rakyat di kawasannya sendiri.
Pada masa ini, sesiapa saja boleh dibawa ke sesuatu kawasan untuk mengundi calon tertentu. Inilah yang berlaku sekarang. Apa yang disebutkan sebagai "pengundi luar" bukan sekadar orang tempatan yang bekerja di luar, tetapi juga orang luar yang dipindahkan bagi mengundi di sesuatu kawasan (untuk mempertahankan penguasaan atau mengambilalih kawasan itu dari parti lain).
Dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin memprotes mengenai pengundi hantu. Beliau menyebut mengenai jumlah pengundi yang terlalu ramai di satu alamat (rumah). Apa yang disebutkan oleh Khairy sebagai pengundi hantu adalah tidak tepat. Orang yang dikatakan "hantu" itu memang wujud. Bagaimanapun, mereka bukanlah penduduk di situ.
Ada parti politik yang memindahkan pengundi ke situ, lalu yang mengundi dalam pilihanraya itu bukanlah keseluruhannya orang Permatang Pasir. Alasannya mudah, Permatang Pasir adalah satu-satunya kubu PAS di negeri itu dan penyokong-penyokong PAS di Pulau Pinang didaftarkan di situ bagi mempertahankannya. Kalau begitu, konsep mewakili rakyat sesebuah kawasan ke legislatif (DUN) sudah tercemar. Saya tak kata ia salah dari segi undang-undang. Saya sebutkan bahawa konsep itu telah tercemar.
Saya boleh sebutkan lain-lain lagi kawasan di mana pengundi dipindahkan.
Untuk melakukan perubahan, maka saya mencadangkan agar semua warga negara yang mencapai umur layak mengundi secara otomatik, di alamat yang tertera dalam kad pengenalannya. Pada masa ini, perubahan kawasan mengundi boleh dilakukan dengan merujuk kepada alamat kedua seseorang yang boleh dimasukkan sebagai sebahagian rekod warga negara (hanya alamat pertama ditulis di muka hadapan kad pengenalan).
Sekiranya cadangan saya diterima, parti-parti politik tidak dapat memindahkan pengundi (sama ada secara sukarela atau tidak) ke lokasi lain tanpa perubahan alamat di kad pengenalan. Saya tak fikir akan ada orang yang secara sesuka hati menukar alamat yang tertera di kad pengenalan semata-mata kerana ingin mengundi di tempat lain. Implikasi sampingan adalah besar.
Cadangan pendaftaran otomatik berdasarkan alamat yang tertera kad pengenalan akan membolehkan hanya penduduk berdaftar di sesuatu kawasan itu memilih calon wakil rakyat masing-masing.
Persoalannya ialah adakah ada mana-mana parti politik yang akan menyokong cadangan ini? Atau, mungkin soalan yang lebih relevan ialah adakah terdapat mana-mana parti politik yang tidak melakukannya? Dalam konteks Permatang Pasir, saya sebutkan nama PAS. Adakah ini bermaksud UMNO, DAP dan PKR tidak melakukannya?
Hal ini mengingatkan saya mengenai isu lompat parti. Sewaktu isu ini sedang hangat dulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Nazri Aziz berkata beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan undang-undang lompat parti. Pengerusi DAP Karpal Singh berkata beliau menyokong undang-undang itu.
Sekarang, apa jadi dengan undang-undang itu?
Saya berpendapat sekiranya kita ingin melihat reformasi pilihanraya, maka rakyat yang harus mendesak -- bukan membiarkan kepada orang-orang politik yang ada kepentingan dengannya. Dan, perubahan pilihanraya harus dilakukan dengan melihat keseluruhan konsep itu sendiri, bukannya meminda apabila sesuatu pihak ada kepentingan.
Ah, mungkin betul kata-kata, "Orang politik ialah seseorang yang menjadikan kepentingan peribadi sebagai kepentingan awam!"
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment