Harapan BN agar Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) menghasilkan keputusan muktamad berkecai bila Presiden MCA (Ong) dan Timbalan Presidennya ditolak perwakilan MCA.
Lebih memeritkan masa ini lah UMNO/BN sangat memerlukan sokongan parti komponen ke2 terbesar di Malaysia ini dalam kempen Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang.
Usul undi tidak percaya terhadap Presiden Ong Tee Keat diluluskan hanya dengan majoriti 14 undi, sementara usul memulihkan jawatan Timbalan Presiden Chua Soi Lek ditolak dengan majoriti 74 undi. Chua hanya berjaya mengekalkan keahliannya dengan majoriti 109 undi.
Dengan kata lain, EGM yang mencatat peratus kehadiran 96.93% (2,307 daripada 2,380 orang perwakilan) ini melabuh tirai dengan kesudahan yang cukup dramatik, memperlihatkan bagaimana "kuasa ketiga" memainkan peranannya.
Kuasa ketiga?
Ramai yang tidak mengendahkan kewujudan "kuasa ketiga" dalam MCA, ketika Ong berbalah dengan Chua. Malah, siapa sebenarnya dalang di sebalik "kuasa ketiga" ini masih belum dikenalpasti. Desas-desus mula-mula mengaitkan Liow Tiong Lai dan Kong Cho Ha, Naib Presiden MCA kini yang dijangka memperolehi manfaat seandainya Ong dan Chua tersingkir.
Khabar angin juga menyebut nama pemimpin veteran MCA, seperti Chan Kong Choy, Ting Chew Peh, Ong Ka Chuan dan sebagainya, yang tidak berpuas hati kerana terpinggir dalam MCA. Sehingga dua hari sebelum EGM diadakan, pemimpin veteran MCA, Tan Kah Choun tampil mendakwa dirinya sebagai jurucakap untuk "kuasa ketiga".
Pada perhitungan Tan Kah Choun, Ong dan Chua menguasai seribu undi masing-masing. Maka, kira-kira 300 undi yang selebihnya itu akan menjadi "kingmaker". Pandangan yang dilontarkan ini munasabah, namun pelontarnya diperlekehkan memandangkan Tan bukan pemimpin yang berpengaruh pada masa kini.
Namun, ia terbukti tepat apabila pengumuman keputusan EGM petang ini memperlihatkan margin yang sempit di antara Ong dan Chua. Tidak mustahil seandainya segelintir pemimpin menggunakan pengaruhnya untuk menjurus kepada senario ini.
Lantaran daripada keputusan ini, MCA berdepan dengan kemelut yang lebih besar. Pembubaran AJK dan pemilihan parti baru mungkin antara jalan yang boleh dipertimbangkan. Cuma, berapa masa yang tinggal untuk MCA?
No comments:
Post a Comment