Komen teman : Blogger terkenal ini sangat berani meluahkan fakta kenapa DUN Kota Siputeh perlu dibuat Pilihan Raya Kecil.Memamng fakta dan ceritanya amat logik dan kena pada tempatnya.
Perjalanan pulang ke kampung memakan masa lima jam. Kali ini saya dapati ada perubahan. Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan tidak perlu lagi berhenti membayar tol di Ipoh. Dari Shah Alam, terus saja membayar tol di Juru. Ah, perjalanan menjadi cukup lancar dan cepat.
Saya masih ingat lagi, sewaktu Lebuhraya Utara-Selatan dibina terdapat tiga lokasi "tanpa tol", iaitu di Ipoh, Butterworth dan Kepala Batas (Alor Setar) -Bukit Kayu Hitam. Tidak sukar untuk memahami mengapakah PLUS begitu bermurah hati tidak mengenakan tol di kawasan-kawasan tersebut.
Kepala Batas (Alor Setar) -Bukit Kayu Hitam terletak dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu. Ahli Parlimen ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri. Laluan Butterworth (dari Juru hingga Sungai Dua) sebahagian besarnya terletaknya dalam Parlimen Permatang Pauh. Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada waktu itu. Manakala, di Ipoh ia merentasi kawasan Parlimen Sungai Siput di mana Ahli Parlimennya ialah Menteri Kerjaya, Dato' Seri S Samy Vellu.
Begitulah istimewanya pengundi di ketiga-tiga kawasan Parlimen sewaktu lebuhraya itu mula dibuka.
Bagaimanapun, kawasan Parlimen saya iaitu Jerlun dan secara khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh tidak seberuntung itu. Sebaik saja saya pulang ke kampung baru-baru ini, saya memandu sekitar DUN Kota Siputeh bagi melihat pembangunan di sana. Tidak banyak perbezaan yang ada.
Nat Sabtu (pekan minggu) masih di lokasi lama. Projek pembangunan yang ada hanyalah rumah kedai dua tingkat milik Majlis Daerah Kubang Pasu di tapak perhentian bas lama. Dua buah kedai yang sinonim dengan Kodiang iaitu Toko Buku Othman (dikenali sebagai "Kedai Buku Pak Man) dan Kedai Pasembor Majid (warisan Pasembor Kodiang, Pak Hussein) sudah dipindahkan dari situ. Projek pembesaran jalanraya dari Kodiang ke Jitra sudah lama dimulakan dan belum siap sepenuhnya.
Kodiang, sebuah pekan yang "paling besar" dalam DUN Kota Siputeh hanya ada sebuah bank (Maybank), sebuah balai polis, sebuah pejabat pos dan dua buah stesyen minyak (iaitu Petronas dan Caltex). Selain itu, ia tidak lebih dari sebuah pekan koboi.
Kalau ada pun perubahan, saya melihat Markas PAS semakin dibesarkan. Sekurang-kurangnya tiga buah markas parti itu berhampiran Pekan Kodiang sedang dibesarkan. Nampaknya parti itu semakin bersungguh-sungguh menyediakan pusat aktivitinya. Mereka tidak mengharapkan dewan orang ramai ataupun dewan serbaguna, walaupun Menteri Besar Kedah adalah orang PAS.
Selain Kodiang, pekan-pekan kecil di DUN Kota Siputeh ialah Padang Sera dan Megat Dewa (itu pun kalau penempatan ini boleh dikatakan "pekan").
Apabila timbul isu keanggotaan Ahli DUN Kota Siputeh, Dato' Abu Hassan Sharif di Dewan Undangan Negeri Kedah, maka saya beritahu kawan-kawan, "Eloklah!"
Saya mengharapkan pilihanraya kecil diadakan di DUN Kota Siputeh kerana saya berpendapat inilah satu-satunya cara untuk meletakkan kawasan ini dalam kata pembesar media nasional.
Biarlah Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri dan Menteri Besar Kedah turun pagi-petang siang-malam di Kodiang, Padang Sera dan Megat Dewa untuk bertemu rakyat. Saya juga tidak ada masalah sekiranya mereka ingin mengumumkan sebarang projek untuk rakyat di situ. Kalau rakyat mendapat manfaatnya, pedulikan apa kata orang politik yang berkepentingan.
Untuk sekian lama, saya fikir penduduk di kawasan DUN Kota Siputeh memerlukan pembangunan. Mereka pernah mengundi calon PAS dan calon Barisan Nasional sebagai anggota Parlimen. Begitu tinggi harapan mereka kepada calon kedua-dua buah parti politik ini, namun perubahan yang diharapkan tidak berlaku.
Dalam pilihanraya yang lepas, mereka telah memilih Dato' Mukhriz Mahathir sebagai Ahli Parlimen. Saya masih mengharapkan agar Mukhriz menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri melobi projek pembangunan di kawasan itu, agar ia boleh menjadi pusat pertumbuhan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Parlimen Jerlun mempunyai barisan pemimpin-pemimpin yang cukup hebat. Ahli Parlimen Jerlun sebelum ini termasuklah Tan Sri Sanusi Junid, Dato' Seri Syed Nahar Tun Syed Sheh Shahabudin, dan Tun Syed Ahmad Shahabudin (yang kemudiannya menjadi Yang Dipertua Negeri Melaka). Wanita Besi, Dato' Maznah Abd Hamid adalah merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerlun.
Walaupun begitu, kawasan DUN Kota Siputeh tidak banyak berubah. Dibandingkan dengan jirannya DUN Jitra atau DUN Arau, kawasan DUN Kota Siputeh jauh ketinggalan. Begitu ketinggalan, sehingga nama peti undi pun dieja tidak betul. Peti Undi Kampung Bahagia sepatutnya dinamakan Peti Undi Kampung Bendahara, mengambil nama sebuah kampung di situ dan juga Sekolah Rendah Tunku Bendahara dan Sekolah Menengah Tunku Bendahara.
Atas alasan itulah, maka saya tidak mahu berpolemik mengenai keanggotaan Abu Hassan di Dewan Undangan Negeri Kedah. Saya biarkan PAS dan UMNO berpolemik soal itu sementara menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihanraya mengenainya.
Sebagai penduduk dalam DUN Kota Siputeh, saya hanya inginkan pilihanraya kecil.
Hendaknya, dengan pilihanraya kecil ini, Pasembor Kodiang akan dikenali seperti orang mengenali "mee udang" di Permatang Pauh, petugas pilihanraya akan "menyorok" dengan nasi goreng dan ikan sepat ronggeng dan ikan sepat benua, dan mereka akan "naik mutu" dalam pida (tak perlu tergeliat lidah menyebut perkataan "feeder") untuk berkempen.
Saya juga mengharapkan agar pilihanraya kecil DUN Kota Siputeh akan mengubah Kodiang dari "pekan koboi" kepada "pekan cowboy!"
Kenapa dinamakan Blogspot Ulama Pewaris Nabi ? Blog ini telah diaktifkan sejak tahun 2008 dengan berlatarbelakang memberi info tentang Islam dan politik. Blog ini sentiasa berterusan memperjuangkan memberi, menwar, memapar maklumat/info/penerangan ISLAM & politik namun Ulama Pewaris Nabi adalah menjadi idola dan perlu dijadikan ikutan dan juga sebagai sempadan kebaikan yang akan menahan atau membatas kejahatan agar tidak berterusan dan disedarkan sehingga akhirnya kebaikan akan menguasai keadaan.Nama blog ini tidak mencerminkan blogernya seorang Ulama tetapi sedang berusaha dan bercita-cita ke arah itu.Amin
pasbs2
pasbs baner
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment