
AMPANG: Seorang lelaki hanya mampu berputih mata apabila kereta berharga RM100,000 yang baru dibelinya tidak sampai tujuh jam hangus terbakar dalam kejadian di jejambat Lebuh raya Lingkaran Tengah (MRR 2) di sini, petang kelmarin.
Menurut mangsa dikenali sebagai Lim Teck Ann, 30, dia terkilan kerana tidak sempat menunjukkan kereta baru itu kepada ahli keluarga apabila ia hangus ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Melati, kira-kira jam 7.30 malam.
Difahamkan, mangsa membeli kereta itu dari sebuah kedai menjual kenderaan terpakai di Selayang Auto City di Selayang.
“Tepat jam 12 tengah hari, saya memandu keluar kereta itu selepas urusan jual beli selesai. Saya memandu kereta itu ke pejabat saya di Ampang dan ketika itu, kereta berada dalam keadaan baik.
“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke rumah, tiba-tiba kereta saya mengeluarkan asap hitam lalu memberhentikannya di tempat kejadian.
“Sebaik keluar, api mula marak dan saya hanya mampu melihat ia terbakar sambil memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain.
“Seorang lelaki yang cuba membantu memadam kebakaran kereta saya menggunakan alat pemadam api juga gagal,” katanya.
Kebakaran itu berjaya dikawal sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah dengan bantuan sebuah jentera kira-kira 10 minit kemudian.
Sumber:http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment